Ramai yang mula bercuti hari ini. Cuti hujung minggu, bersambung pula dengan cuti sempena Hari Keputeraan Yang Dipertuan Agong dan Awal Muharam pada Isnin dan Selasa depan. Wah, pasti meriah stesen-stesen bas di seluruh negara. Terminal Bas Bersepadu di Bandar Tasik Selatan juga penuh sesak semalam, macam nak balik raya!
Ada yang mengambil peluang untuk pulang ke kampung dan ada pula yang memilih untuk melakukan ‘short vacation’ ke tempat-tempat menarik di dalam dan luar negara. Walaupun sedang bercuti, kita juga boleh melakukan ibadah sepanjang tempoh tersebut. Berikut digariskan beberapa perkara yang boleh anda lakukan:
#1. Berdoa Dalam Tempoh Musafir
ثَلَاثُ دَعَوَاتٍ مُسْتَجَابَاتٌ لَا شَكَّ فِيهِنَّ: دَعْوَةُ الْمَظْلُومِ، وَدَعْوَةُ الْمُسَافِرِ، وَدَعْوَةُ الْوَالِدِ عَلَى وَلَدِهِ
“Tiga waktu dikabulkan doa yang tidak diragukan lagi iaitu: doa orang yang dizalimi, doa seorang musafir(pengembara), dan doa orang tua pada anaknya.”
(HR. Ahmad 12/479 no. 7510, At Tirmidzi 4/314 no. 1905, Ibnu Majah 2/1270 no. 3862. Syaikh Al Albani menghasankan hadits ini)
Lihatlah betapa besarnya ruang dan peluang yang telah Allah berikan kepada hamba-hambanya untuk beribadah sehinggakan waktu ketika musafir juga menjadi waktu yang mustajab untuk berdoa.
Usah lepaskan peluang ini untuk meminta apa yang kita inginkan daripada Tuhan. Dimudahkan segala urusan, disihatkan keluarga, saudara atau kenalan yang sakit, diberi jalan untuk keluar dari kepayahan hidup dan sebagainya. Mintalah apa saja, InsyaAllah akan dikabulkan.
Maksudnya: Dan (Dia lah) yang menciptakan sekalian makhluk yang berbagai jenisnya; dan Ia mengadakan bagi kamu kapal-kapal dan binatang ternak yang kamu dapat mengenderainya, Supaya kamu duduk tetap di atasnya; kemudian kamu mengingati nikmat Tuhan kamu apabila kamu duduk tetap di atasnya, serta kamu (bersyukur dengan) mengucapkan:” Maha Suci Tuhan yang telah memudahkan kenderaan ini untuk kami, sedang kami sebelum itu tidak terdaya menguasainya -“Dan sesungguhnya kepada Tuhan kamilah, kami akan kembali!
(Surah al-Zukhruf, 43:12-14)
#2. Tidak Meninggalkan Ibadah Fardhu
Musafir tidak menjadi alasan untuk kita meninggalkan solat fardhu. Islam adalah suatu agama yang mudah dan tidak menyusahkan penganutnya. Kita boleh sahaja menunaikan solat secara jama’ atau qasar. Cara-cara solat jama’ dan qasar yang diterangkan oleh Masjid Wilayah Persekutuan adalah seperti berikut:
1- Jamak Takdim(himpun) dan di Qasarkan (dipendekkan)
Melakukan sembahyang Asar dalam waktu Zuhur itu di namakan jamak takdim.
Lakukan sembahyang Zuhur 2 rakaat selepas itu di ikuti pula sembahyang Asar 2 rakaat.
Niat untuk sembahyang Zuhur ialah “Sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana Allah Taala”.
Niat untuk sembahyang asar pula ialah “Sahaja aku sembahyang fardhu Asar 2 rakaat qasar dengan jamak takdim kerana Allah Tallah”.
2 – Jamak Takhir dan di Qasarkan (dipendekkan)
Melakukan sembahyang Zuhur dalam waktu Asar itu di namakan Jamak Takhir.
Tapi dengan syarat kita mesti niatkan dahulu dalam hati sebelum habis waktu Zuhur iaitu:-
“Aku nak jamakkan sembahyang Zuhur dalam waktu Asar”
Lakukan sembahyang Asar 2 rakaat selepas itu di ikuti pula sembahyang Zuhur 2 rakaat.
Niat untuk sembahyang Asar ialah “Sahaja aku sembahyang fardhu Asar 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana Allah Taala”.
Niat untuk sembahyang Zuhur ialah “sahaja aku sembahyang fardhu Zuhur 2 rakaat qasar dengan jamak takhir kerana Allah Talla”.
Kita boleh juga jamakkan Maghrib dengan Isyak atau sebaliknya tapi waktu Maghrib tidak boleh diqasarkan ia tetap 3 rakaat caranya ialah:
1- Jamak Takdim dan di Qasarkan (dipendekkan)
Melakukan sembahyang Isyak dalam waktu Maghrib itu dinamakan jamak takdim.
Niat untuk sembahyang Maghrib ialah:
“Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib 3 rakaat dijamakkan fardhu Isyak dengan jamak takdim kerana Allah Talla”.
Niat untuk sembahyang Isyak ialah:
“Sahaja aku sembahyang fardhu Isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardhu Maghrib dengan jamak takdim kerana Allah Tallah”.
2. Jamak Takhir dan di Qasarkan (dipendekkan)
Melakukan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak itu dinamakan jamak takhir.
Tapi jangan lupa niatkan sebelum waktu Maghrib berakhir
“Aku nak jamakkan sembahyang Maghrib dalam waktu Isyak”
Niat untuk sembahyang Isyak ialah:
“Sahaja aku sembahyang fardhu Isyak 2 rakaat qasar dijamakkan fardhu Maghrib dengan jamak takhir kerana Allah Talla”.
Niat untuk sembahyang Maghrib ialah:
“Sahaja aku sembahyang fardhu Maghrib 3 rakaat dijamakkan fardhu Isyak dengan jamak takhir kerana Allah Tallah”.
Manakala lafaz niat serta cara-cara solat dalam gambar dibawah telah disusun oleh pihak Unisza dalam ‘Panduan Mengerjakan Solat Khas’.
#3- Menjaga Kebersihan Tempat-Tempat Yang Dilawati
Peliharalah kebersihan dan juga kemudahan yang disediakan di tempat-tempat yang anda lawati. Jangan tinggalkan sampah atau lebih mudah anda boleh membawa plastik sampah sendiri. Berikut adalah hadis sahih berkenaan tindakan baik seorang lelaki yang berusaha menjaga keselamatan tempat yang dilaluinya supaya tidak mengganggu pengguna jalan yang lain.
(أنَّ رسولَ اللهِ صلَّى اللهُ عليهِ وسلَّمَ : ( بينما رجلٌ يمشي بطريقٍ ، وجد غصنَ شوكٍ فأخذَهُ ، فشكرَ اللهُ لهُ فغفرَ لهُ
“Bahawasanya Rasulullah SAW bersabda, ”Ketika seorang laki-laki sedang berjalan di jalan, ia menemukan dahan berduri, maka ia mengambilnya (karena mengganggunya). Lalu Allah SWT berterima kasih kepadanya dan mengampuni dosanya”.
(HR. Bukhari)
#4- Anjuran Berfikir Tentang Kebesaran Allah SWT
Dalam musafir kerap kali kita terpesona dengan apa yang kita lalui, terutama sesuatu yang bukan selalu kita lihat pada hari-hari biasa. Pengalaman baru, tempat baru, makanan baru. Bersyukurlah kerana Tuhan telah memperjalankan kita di bumiNya serta memperlihatkan kepada kita tanda-tanda kekuasaannya. Pulangkan segala rasa pesona dan ketakjuban itu kepada Allah dengan mengucap syukur.
(Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk dan semasa mereka berbaring mengiring, dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): “Wahai Tuhan kami! Tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab neraka –
Surah Ali-Imran (3:191)
Mudah bukan untuk melakukan empat perkara diatas. Akhir kata, selamat menikmati percutian anda sambil beribadah!
Sumber: tazkirah.net