Kisah keluarga Yasir yang diseksa akibat keislaman mereka sangat mahsyur dan dijadikan sebagai sirah panduan bagi menunjukkan kecekalan umat terdahulu dalam mengharungi keislaman mereka.
Bukan mudah untuk menganut Islam pada zaman ia ditentang secara keras. Yasir dan isterinya Sumayyah merupakan syahid pertama yang gugur kerana seksaan yang diterima oleh Abu Jahal yang terus-menerus memaksa mereka keluar dari Islam.
Mereka diseksa di bawah panas matahari di tengah-tengah padang pasir dan dipukul dengan menggunakan tembok besi yang panas.
Amar bin Yasir yang telah melihat kematian kedua ibu bapanya itu juga masih lagi diseksa dan dipaksa untuk mengucapkan kufur. Sehinggalah beliau telah mengucapkan kufur bagi menyelamatkan nyawanya, namun pada hatinya itu masih lagi terdapat keteguhan iman.
Apabila beliau mengadukan perihal tersebut kepada Baginda kerana bimbang adakah dia sudah keluar dari Islam akibat ucapan kufur tersebut, Baginda SAW mengatakan bahawa perlakuannya itu bukan dilakukan dengan sengaja.
Allah telah menurunkan ayat Al-Quran terhadap situasi tersebut dan mengampunkan perbuatan Yasir itu.
مَن كَفَرَ بِاللَّـهِ مِن بَعْدِ إِيمَانِهِ إِلَّا مَنْ أُكْرِهَ وَقَلْبُهُ مُطْمَئِنٌّ بِالْإِيمَانِ وَلَـٰكِن مَّن شَرَحَ بِالْكُفْرِ
Mafhum: “Sesiapa yang kufur kepada Allah sesudah ia beriman (maka baginya kemurkaan dan azab dari Allah), kecuali orang yang dipaksa (melakukan kufur) sedang hatiya tenang tenteram dengan iman.” (Surah An-Nahl, 16:106)
Jika kisah Amar bin Yasir yang telah mengungkapkan kufur dengan tidak sengaja dan perbuatannya itu diampunkan oleh Allah kerana di hatinya masih terdapat keteguhan iman, bagaimana pula dengan mereka yang kini sewenang-wenangnya mengungkapkan kufur ini dengan niat untuk bergurau?
Mengucapkan “Aku bukan Islam” atau “nanti aku masuk Islam semula” dengan niat untuk bergurau merupakan dosa besar walaupun tiada niat untuk keluar dari Islam. Disebabkan itu, Islam menganjurkan umatnya untuk berhati-hati dengan lisan kerana lidah itu mampu berkata-kata dengan pantas tanpa melibatkan proses berfikir.
وَلَئِن سَأَلْتَهُمْ لَيَقُولُنَّ إِنَّمَا كُنَّا نَخُوضُ وَنَلْعَبُ ۚ قُلْ أَبِاللَّـهِ وَآيَاتِهِ وَرَسُولِهِ كُنتُمْ تَسْتَهْزِئُونَ
لَا تَعْتَذِرُوا قَدْ كَفَرْتُم بَعْدَ إِيمَانِكُمْ ۚ إِن نَّعْفُ عَن طَائِفَةٍ مِّنكُمْ نُعَذِّبْ طَائِفَةً بِأَنَّهُمْ كَانُوا مُجْرِمِينَ
Mafhum: “Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main.” Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?”
Janganlah kamu berdalih (dengan alasan-alasan yang dusta), kerana sesungguhnya kamu telah kufur sesudah kamu (melahirkan) iman. Jika Kami maafkan sepuak dari kamu (kerana mereka bertaubat), maka Kamu akan menyeksa puak yang lain, kerana mereka adalah orang-orang yang terus bersalah.” (Surah At-Taubah, 9:65-66)
Perbuatan mempersendakan Allah secara sengaja dikira sebagai dosa besar. Menurut Ibnu Nujaim melalui Kitab al-Bahru al-Raiq Syarah Kanzi al-Daqaaiq:
“Sekiranya diungkapkan perkataan kufur secara sengaja tetapi beliau tidak meniatkannya, ia tidak kafir kerana ungkapan kufur itu tidak bersangkutan dengan niatnya dan niatnya tidak selari atas apa yang diucapkannya. Namun, sebahagian ulama lagi berpendapat bahawa ia telah kafir (murtad). Dan rumusannya, sesiapa yang mengungkap dengan perkataan kufur itu secara sengaja atau main-main, maka ia telah jatuh kufur.”
Jumhur ulama berpendapat, jika ucapan kufur itu dilakukan secara tidak sengaja dan tidak mempunyai niat ke atasnya (seperti dalam sesi pengajaran dan pembelajaran atau untuk menyelamatkan nyawa), maka tidak jatuh murtad ke atasnya kerana niatnya bukanlah untuk keluar daripada Islam dan tidak memaksudkan perkataan tersebut sebagai amalannya.
Namun, jika ia dilakukan secara sengaja dan mempunyai niat ke atasnya, maka telah jatuh ke atasnya murtad dan wajib kepadanya untuk memperbaharui syahadah dan memohon ampun kepada Allah.
Dalam kenyataan yang telah dikeluarkan oleh Mufti Wilayah, mereka yang pernah mengucapkan kata-kata kufur sama ada secara gurauan atau tidak perlulah melafazkan syahadah semula dan bertaubat kepada Allah.
Allah itu Maha Pengampun, maka pohonlah keampunan kepadaNya agar diterima kembali keimanan kita.
Wallahu a’alam.
Rujukan:
Mufti Wilayah