≡ Menu

7 Strategi Bagi Menghadapi Fitnah

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan, dan hati, semuanya itu akan dipertanggungjawabkan ke atas pemiliknya.”
Surah al-Isra 17: 36

Tercetusnya fitnah mengundang pelbagai masalah. Ia tidak melibatkan seorang dua sahaja, kini ia sudah berpenyakit sehingga ke seluruh Malaysia. Ya, tidak mustahil sehingga merebak ke serata dunia.

Banyak faktor dan sebab berlakunya fitnah. Jika dilihat pada zaman sekarang, fitnah banyak berpunca kerana kepentingan diri sendiri, ingin menjatuhkan pihak yang dibenci, terlalu mengikut hawa nafsu dan pelbagai sebab lain.

Jagalah Lidah

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Tiada suatu ucapan pun yang diucapkan, melainkan di sisinya terdapat malaikat pengawas yang selalu hadir.”
Surah Qaf 50:18

Setiap ucapan yang keluar daripada mulut kita akan dicatat dan ditulis oleh malaikat. Tidak kira ucapan itu baik atau tidak, ia tetap akan dicatat. Tiada satu patah perkataan pun akan ketinggalan, semuanya terakam dan lengkap tanpa kecacatan.

Pesanan Allah kepada kita agar menjaga lidah yang tidak bertulang ini. Walaupun tidak bertulang, tetapi kerananya kita dapat terjerumus ke dalam neraka.

Oleh sebab itu, Islam mengajar kita untuk bercakap perkara yang baik sahaja. Jika tidak mampu bercakap perkara baik, eloklah berdiam diri. Daripada Abu Hurairah RA., Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

“Sesiapa yang beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka dia hendaklah mengucapkan perkataan yang baik atau diam.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Imam an-Nawawi berkata;

“Ketahuilah bahawa setiap mukalaf hendaklah menjaga lidahnya daripada semua ucapan kecuali ucapan yang jelas mengandungi kebaikan di dalamnya.”

BACA:  Apa Itu Rukun Qauli , Qalbi Dan Fi’li Dalam Solat..Jom Sama-sama Ulangkaji

Sedarlah kita bahawa perintah memelihara dan menjaga lidah ini adalah sesuatu yang penting di dalam kehidupan kita.

Apabila banyak bicara, banyaklah silapnya kerana itu, janganlah memandang remeh dengan lidah yang bersifat lembut ini. Dalam kelembutan ada kesan buruk yang akan kita hadapi bila tersalah caranya.

Kesan Fitnah

Daripada Abu Musa RA., Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

“Saya bertanya, ‘Wahai Rasulullah, siapakah orang-orang Islam yang paling utama?’ Baginda menjawab, ‘Sesiapa yang orang-orang Islam lain selamat daripada (kejahatan) lidah dan tangannya.’”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Kerana lidah, manusia berpecah-belah. Hubungan baik ketika dahulu menjadi musnah kerana fitnah yang berpunca dari lidah. Pelbagai kesan buruk berpunca dari fitnah antaranya;

#1- Rumah tangga porak peranda
#2- Hubungan kekeluargaan menjadi huru hara
#3- Negara menjadi tidak aman
#4- Kawan yang baik menjadi musuh
#5- Islam tidak dihormati
#6- Peperangan antara kaum, bangsa, agama atau negara
#7- Pembunuhan sesama sendiri

Kesemuanya membawa kepada kehancuran. Tidak ada kebaikan walaupun sebutir debu pada perbuatan fitnah ini. Jika fitnah ini berleluasa, ia akan mengaburkan kebaikan.

Kebaikan dikatakan salah. Yang salah dikatakan benar pula. Masyarakat menjadi kelabu dan tidak dapat membezakan sesuatu perkara dan isu.

Betapa dahsyatnya fitnah ini, orang yang baik turut terkena tempiasnya. Tidak terkecuali ulama ataupun orang soleh. Terkenang peristiwa isteri Rasulullah yang difitnah melakukan zina. Lihatlah, isteri kekasih agung (Rasulullah SAW) turut menghadapi fitnah sedahsyat itu. Apatah, kita umat di akhir zaman ini.

Tegasnya, fitnah yang dilemparkan akan menyebabkan orang yang difitnah akan berada dalam kesedihan. Perasaan dan emosinya terganggu.

Hati-hatilah kepada mereka yang suka membuat fitnah. Perbuatan anda sedang dilihat Allah. Setiap perbuatan pasti ada balasannya. Syurga atau neraka itulah penghujung kita. Tidak akan lari dari menujunya.

BACA:  Manhajus Salikin: Larangan bagi yang Berhadas Kecil

Strategi Menghadapi Fitnah

Fitnah bukan satu yang kecil. Ada persiapan dan bekalan yang perlu dibawa untuk menghadapi fitnah ini.

Jika hati kosong dan tiada strategi, pasti kita akan tertipu dan tertewas dengan fitnah yang melanda.
Ada 7 strategi untuk menghadapi fitnah. Iaitu;

#1 – Menambah Ilmu Pengetahuan Diri

Ilmu menjadi satu bekalan asas pada diri. Tanpa ilmu, manusia tidak dapat membezakan mana yang hak atau yang batil. Dengan ilmulah manusia dapat keluar daripada kejahilan. Jadi persiapkan diri dengan ilmu yang berguna.

#2 – Memperbanyakkan Berdoa

Kita seharusnya sedar yang kita hanyalah hamba Allah swt. Kita tidak terlepas daripada kekurangan dan kelemahan. Mintalah bantuan dan pertolongan daripadaNya agar terhindar daripada segala fitnah yang merosakkan diri.

#3 – Beristiqamah Dalam Mengamalkan Sunnah

Ajaran Nabi sejak 1400 tahun yang lalu perlulah dipratikkan pada kehidupan seharian. Beristiqamahlah walaupun sekecil-kecil amalan.

Insyaallah, dengan amalan kebaikan yang kita lakukan akan menguatkan jiwa dari lemah menghadapi fitnah.

#4 – Beruzlah (Mengasingkan Diri) Daripada Fitnah

Daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

“Akan berlaku fitnah. Orang yang duduk adalah lebih baik daripada yang berdiri, yang berdiri lebih baik daripada yang berjalan, yang berjalan lebih baik daripada yang berlari. Sesiapa yang melibatkan diri dengan fitnah, maka fitnah itu akan menghancurkannya. Dan sesiapa yang menemui tempat bergantung atau tempat berlindung, maka berlindunglah.”
Riwayat Bukhari

Jika tidak mampu menghadapi dahsyatnya fitnah, sebaik-baiknya kita mengasingkan diri. Jangan terjebak dengan golongan yang kita tahu golongan tersebut adalah salah. Mengasingkan diri bukan bermakna kita lemah, tetapi menjaga diri dari bahaya fitnah.

#5 – Bersabar Menghadapi Fitnah

BACA:  Dengan Bersedekah Dapat Memanjangkan Umur

An-Nu’man bin Basyir berpesan;

“Sesungguhnya tidaklah berbaki lagi di dunia ini kecuali bencana dan fitnah, maka bersiaplah untuk menghadapinya dengan berbekalkan sabar.”

Allah bersama dengan orang-orang yang bersabar. Orang yang bersabar tidak akan rugi dan sentiasa dirahmati Allah. Percayalah dengan kesabaran, kita akan merasai satu nikmat yang tidak terhingga iaitu kemanisan iman dan syurga.

#6 – Semak Dahulu Sebelum Sampaikan

Datangnya sesuatu berita kepada kita, sebaiknya semak dahulu. Jangan mudah percaya! Rujuk beberapa sumber lain. Cari jawapannya dari sumber yang sahih. Jangan terus sebarkan!

Biar kita lambat menyampaikan sesuatu berita, yang penting berita yang kita sampaikan adalah tepat dan betul.

#7 – Berdamping Dengan Orang Yang Soleh

Carilah penguat jiwa dengan mendekati orang-orang yang baik seperti ulama, ustaz, ustazah, dan orang soleh. Mintalah nasihat dan teguran daripada mereka. Insyaallah, kita tidak akan lemah dengan fitnah.

Kesimpulan
Fitnah antara ujian Allah SWT kepada hambaNya di kala akhir zaman ini. Kehadiran fitnah bukan datang tanpa sebab. Ia wujud atas keizinan Allah SWT. Cubalah bersabar dan kuatkan hati untuk menerimanya.

Si pembuat fitnah pula janganlah memandang kecil dengan perbuatan fitnah tersebut. Fitnah termasuk dalam dosa-dosa besar. Jagalah lidah dengan sebaiknya. Daripada Abu Hurairah RA., Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud;

“Ucapan yang baik adalah sedekah.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Waallahua’lam

Rujukan;
1. Ringkasan Riyadhus Shalihin Imam An-Nawawi (Karangan: Syeikh Yusuf Bin Ismail An-Nabhani)
2. Tenang dengan Ujian-Meraih Ketenangan yang Abadi (Penulis: Dato’ Dr Hj. Abd Basit Hj. Abd Rahman)

 

Sumber: Tazkirah.net 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel