Jika ditanya sesiapa sahaja yang sedang bernafas di atas muka bumi – adakah mereka pernah menemui kegagalan, pasti semuanya akan berkata “Ya”. Selagi kita bergelar manusia, maka kegagalan itu seperti teman akrab yang akan datang menjenguk sekali-sekala.
Secara peribadinya saya merasakan ada dua saat yang paling sukar dalam menempuh kegagalan. Pertama, saat kegagalan baru sahaja menimpa. Kedua ketika kegagalan lampau datang menghantui diri semula. Maka di bawah ada empat tips yang boleh membantu kita semua untuk menghadapi kedua-duanya.
#1- Kawal Suara Hati
Seorang yang saya kenali secara dekat pernah memberitahu bahawa dia kini semakin dapat mengawal suara hatinya. Setiap kali ada lintasan suara yang mengingatkan semula tentang kesilapan dan kegagalan yang lampau, maka beliau akan cepat-cepat mengalih fikirannya kepada perkara yang lebih positif.
Suara hati sebenarnya boleh dikawal. Anggap sahaja mereka seperti anak kecil yang merengek inginkan perhatian. Mereka ingin menarik kita untuk bermain. Perlahan-lahan kita perlu cuba mengingatkan bahawa mereka adalah masa lampau yang perlu ‘membesar’ menjadi orang dewasa yang matang.
#2- Fokus Kepada Apa Yang Ada Pada Masa Sekarang (Be Mindful)
Kaedah yang dipanggil ‘mindfulness’ semakin popular di Barat. Malah dilaporkan bahawa satu subjek baru yang dipanggil ‘Mindfulness’ telah diperkenalkan kepada lebih 370 buah sekolah di England. Apakah mindfulness ini?
Ia suatu teknik menfokuskan minda dan emosi hanya kepada masa sekarang – di mana kita berada, apa yang sedang dilakukan dan apa yang sedang berlaku di sekeliling kita sekarang. Di sini saya memetik ayat daripada laman web mindful.org:
“Mindfulness is the basic human ability to be fully present, aware of where we are and what we’re doing, and not overly reactive or overwhelmed by what’s going on around us”
Secara mudahnya kita sedar tentang dunia yang ada di hadapan kita sekarang dan tidak membiarkan minda terbang entah ke mana-mana.
#3- Anda Tidak Bertanggungjawab Untuk Memenuhi Anggapan Orang
Beberapa tahun dahulu saya dan beberapa orang rakan aktif menggerakkan sebuah kumpulan penulisan. Ada sahaja bengkel, diskusi atau apa-apa program melibatkan buku dan penulisan yang akan kami ikuti. Dari situ juga saya perlahan-lahan belajar secara formal tentang dunia penulisan. Pada waktu itu juga tersebar khabar angin bahawa saya akan menghasilkan buku sendiri (namun tidak pernah saya mengiakan).
Niat sememangnya ada namun dengan berlalunya masa, semakin banyak fokus dan komitmen datang yang menjadikan impian tersebut hanya tinggal impian. Malah minat dan juga keinginan juga sudah pasti berubah.
Setiap kali berjumpa dengan beberapa orang teman lama, kerap mereka mengulang-ulang cerita lalu dan soalan yang akan selalu diterima ialah:
“Dulu ada dengar menulis novel, bila nak keluarkan?”
Dulu soalan ini selalu menghantui dan membuatkan hati saya tidak tenang. Bagai ada hutang yang masih belum selesai. Kerana kata orang – seseorang itu belum boleh dipanggil penulis yang sebenar selagi belum ada buku sendiri yang diterbitkan.
Namun dengan berlalunya masa dan pemikiran yang semakin berubah, saya semakin tidak mempedulikan soalan-soalan begitu – kerana saya tahu saya tidak bertanggungjawab memenuhi anggapan mereka. Apa yang penting adalah saya tahu apa yang sedang saya usahakan sekarang.
#4- Tak Dapat Jalan A, Cuba B, C atau Z!
“If Plan A didn’t work, the alphabet has 25 more letters! Stay cool”
Kadang-kadang ada jalan yang tersekat dan tidak mampu dilalui dalam pendakian hidup kita. Untuk sampai ke puncak gunung bukan hanya ada satu jalan. Ada jalan yang boleh dilalui dengan pacuan empat roda, ada pula trek yang lebih sukar dan perlu didaki dengan berjalan kaki.
Begitu juga matlamat yang kita mahukan dalam hidup. Jika kita telah menemui kegagalan pada cara atau percubaan pertama, maka fikirkan cara yang seterusnya. Usah berputus asa sebelum anda benar-benar pasti bahawa jalan tersebut memang bukan untuk anda.
Kegagalan adalah suatu yang normal selagi kita hidup sebagai seorang manusia. Seperti pesan Hamka “Jangan takut gagal, kerana yang tidak pernah gagal hanyalah orang yang tidak pernah melangkah”. Hati kita mungkin tidak sepenuhnya berani ketika kita mula melangkah, namun dengan bertambahnya pengalaman di sepanjang jalan, dan seiring langkah kaki, keberanian pasti akan bertambah besar.
Sumber: tzkrh.com