
Haji merupakan salah satu rukun Islam yang menjadi kemuncak kepada penzahiran ubudiyyah seseorang muslim terhadap penciptanya.
Ia merupakan fardhu yang wajib dilaksanakan bagi mereka yang berkemampuan. Sejarah pensyariatan Haji telah bermula sejak awal tahun kedua hijrah dan ditunaikan sehingga kini oleh setiap muslim di seluruh pelusuk dunia.
Haji menurut bahasa bermaksud kunjungan. Dari segi istilah, telah dinyatakan di dalam kitab al-Fikh al-Manhajj, iaitu mengunjungi Kaabah untuk melakukan ibadah tertentu dengan syarat-syarat yang khusus.
فِيهِ آيَاتٌ بَيِّنَاتٌ مَّقَامُ إِبْرَاهِيمَ ۖ وَمَن دَخَلَهُ كَانَ آمِنًا ۗ وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا ۚ وَمَن كَفَرَ فَإِنَّ اللَّـهَ غَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ
Mafhum: “Di situ ada tanda-tanda keterangan yang nyata (yang menunjukkan kemuliaannya; di antaranya ialah) Makam Nabi Ibrahim. Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia. Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya. Dan sesiapa yang kufur (ingkarkan kewajipan ibadah Haji) maka sesungguhnya Allah Maha Kaya (tidak berhajatkan sesuatu pun) dari sekalian makhluk.” (Surah Al-Imran, 3:97)
Orang Arab sejak zaman Jahiliyyah lagi akan melakukan ibadah haji dalam bulan Zulhijah namun mengikut kepercayaan masing-masing. Asal nama bulan Zulhijah juga merupakan dari perkataan Haj.
Dalam Islam, ibadah Haji akan disertai dengan beberapa rukun dan amalan utama yang perlu ditunaikan untuk mendapatkan Haji yang mabrur, iaitu Haji yang diterima serta untuk mengelakkan daripada dibayar dam.
Dam yang berasal daripada perkataan Arab, iaitu darah atau dari segi istilahnya ialah denda. Ia diwajibkan untuk dibayar apabila seseorang muslim itu melakukan perkara larangan semasa melakukan Haji atau meninggalkan perkara yang diwajibkan.
Sebagai ganti, ia perlu dilakukan dengan menyembelih binatang ternakan seperti lembu, unta, kambing atau gantinya daripada makanan di Tanah Haram atau puasa dikenakan ke atas mereka yang menunaikan Haji atau umarah di atas sebab-sebab yang tertentu.
Antara sebab dikenakan dam ialah meninggalkan wajib Haji dan umrah, melakukan perkara-perkara yang dilarang semasa dalam ihram, melaksanakan Haji Tamattu’ atau Qiran dengan menurut syarat-syarat tertentu, meninggalkan Tawaf Wida’ tanpa uzur atau sebab yang dibolehkan dan melanggar nazar semasa mengerjakan Haji dan umrah.
Terdapat empat jenis dam Haji yang akan dikenakan terhadap muslim yang tidak menyempurnakan Haji dengan sempurna, iaitu:
#1 – Dam Tertib Dan Taqdir
Tertib yang membawa maksud susunan dan taqdir bermaksud ketetapan syarak. Oleh itu, dam ini perlu dibayar mengikut susunan dan kemampuan bayaran adalah mengikut ketetapan syarak. Dam ini tidak boleh dipilih atau diganti.
Antara contoh kesalahan yang memerlukan bayaran dam jenis ini ialah tidak berihram di miqat, mengerjakan Haji secara qiran atau tamattu’, luput waktu di Arafah, tidak bermalam di Mina , tidak melontar di Jamrah serta tidak menepati nazar yang berkaitan dengan ibadah Haji.
Bayaran yang dikenakan ialah dengan menyembelih seekor kambing atau haiwan ternakan. Bagi yang tidak mampu hendaklah berpuasa selama 10 hari, iaitu 3 hari di Mekah dan 7 hari apabila pulang ke tempat masing-masing.
Manakala, bagi jemaah Haji yang meninggalkan Tawaf Wida’, ia hendaklah berpuasa selama 3 hari setelah berlepas dari Mekah dan 7 hari apabila sampai.
#2 – Dam Tertib Dan Takdil
Maksud takdil ialah apabila seseorang tidak berkuasa mengeluarkan makanan, hendaklah ia menggantinya dengan berpuasa mengikut hari-hari dan syarat yang ditetapkan.
Sebagai contoh, jika pasangan tersebut melakukan persetubuhan sebelum tahalul pertama (iaitu membatalkan Haji) maka, perlu disembelih seekor haiwan ternakan, iaitu unta, jika tidak mampu perlu disembelih lembu atau kambing.
Manakala, jika tidak mampu juga, perlu membeli makanan asasi mengikut nilai seekor unta dan disedekahkan kepada penduduk miskin di Tanah Haram seperti Mekah, Muzdalifah dan Mina atau perlu berpuasa selama tiga hari di mana-mana sahaja (tanpa syarat).
#3 – Dam Takhyir Dan Taqdir
Dam ini bermaksud, ia boleh ditunaikan mengikut pilihan sendiri. Dalam erti kata, anda boleh memilih untuk membayar denda mengikut pilihan dan kemampuan sendiri.
Antara contoh kesalahan yang dilakukan ialah memakai pakaian yang bersarung atau berjahit bagi lelaki, memakai bau-bauan (wangian), memotong kuku dan juga bersetubuh kali kedua sebelum tahalul awal.
Denda yang dikenakan ialah dengan menyembelih seekor kambing dan disedekahkan kepada fakir miskin atau dengan memberi sedekah sebanyak dua cupak makanan kepada enam orang fakir miskin dan pilihan ketiga ialah berpuasa selama tiga hari.
#4 – Dam Takhyir Dan Takdil
Dam ini merupakan pembayaran yang bergantung kepada pilihan sendiri yang tidak ditetapkan tetapi berdasakan harga yang berpatutan dan bersesuaian dengan jenis kesalahan.
Kesalahan yang dilakukan ialah dengan berburu binatang darat atau menebang, memotong dan juga mencabut pohon di Tanah Haram.
Maka, bayaran yang dikenakan ialah menyembelih binatang ternakan yang sebanding dengan binatang buruan tersebut atau membeli makanan yang bersesuaian dengan harga binatang atau pohon yang rosak itu atau pilihan yang ketiga ialah berpuasa dengan mengikut bilangan cupak makanan yang dibeli sesuai dengan harga tersebut.
Kesimpulan
Bayaran dam ini adalah bergantung kepada jenis kesalahan yang dilakukan dan ia merupakan urusan sendiri. Dalam erti kata lain, ia adalah bergantung kepada amanah dan tanggungjawab sendiri.
Namun, para jemaah perlu berbincang dengan mutawwif, iaitu orang yang bertanggungjawab dan bertugas terhadap jemaah Haji di sana bagi membantu cara perlaksanaan dam ini.
Dam Haji ini dikenakan untuk mengingatkan jemaah Haji agar kekal berdisiplin dengan tidak melanggar aturan dan rukun Haji yang ditetapkan serta sentiasa menjaga kesucian Tanah Haram tersebut.
الْحَجُّ أَشْهُرٌ مَّعْلُومَاتٌ ۚ فَمَن فَرَضَ فِيهِنَّ الْحَجَّ فَلَا رَفَثَ وَلَا فُسُوقَ وَلَا جِدَالَ فِي الْحَجِّ
Mafhum: “Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian, sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh berbuat maksiat, dan tidak boleh bertengkar dalam masa mengerjakan ibadat Haji.” (Surah Al-Baqara, 2:197)
Wallahu a’lam.
Rujukan:
Dam Dalam Ibadah Haji
Sumber: tzkrh.com
