≡ Menu

3 Peristiwa Sedih Didalam Hidup Rasulullah Sebelum Peristiwa Israk Mikraj

Kesedihan pertama

Kematian Abu Talib memberikan kesan besar kepada Nabi Muhammad SAW. Sewaktu hayatnya, bapa saudara Baginda SAW inilah yang menjadi benteng kukuh kepada dakwah dan risalah yang dibawanya. Abu Talib memberi jaminan kepada Rasulullah SAW untuk Baginda SAW terus menyampaikan dakwah Islam dan tidak ada pembesar Quraisy yang berani menghalangnya.

Namun, pada tahun ke-10 kenabian Baginda SAW, Abu Talib mati dalam keadaan beliau tidak menjadi seorang Muslim walaupun sehingga ke detik terakhir hayatnya, Rasulullah SAW masih memujuk beliau untuk bersyahadah. Abu Talib malu dan takut apa yang akan dikatakan oleh kaum Quraisy jika dia menerima Islam sedangkan pembesar-pembesar lain memerangi dakwah Nabi SAW. Hakikat inilah yang menyentak perasaan Baginda SAW. Bapa saudara yang banyak berjasa kepada Baginda SAW mati dalam keadaan kufur dan bakal menerima seksaan api neraka kelak.

Kesedihan kedua

Kedudukan dan peranan Khadijah, isteri pertama Rasulullah SAW, begitu dihargai oleh Baginda SAW. Kehadiran beliau memberikan seribu satu makna dan kekuatan buat hidup Rasulullah SAW. Insan yang memberikan keyakinan, keteguhan dan semangat ketika Rasulullah SAW dirundung kebimbangan, ketakutan dan kegusaran semasa zaman awal dakwah digerakkan.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Namun, Khadijah tidak dapat bersama Rasulullah SAW menemani Baginda SAW selama-lamanya mengharungi pahit manis perjuangan. Beliau telah kembali dijemput Ilahi pada tahun yang sama kematian Abu Talib.

Kesedihan akibat kehilangan bapa saudara yang dikasihi belum lagi terubat, lalu ditambah pula dengan pemergian si isteri yang dicintai. Kesedihan di atas kesedihan menimpa diri Rasulullah SAW sehingga tahun itu digelar sebagai ‘tahun kesedihan’.

Kesedihan ketiga

Selepas kematian Abu Talib dan Khadijah, penentangan kafir Quraisy terhadap dakwah Rasulullah SAW semakin kuat, sehingga Rasulullah SAW berasakan bumi Makkah ini bukan tempat yang sesuai untuk dakwah. Lalu, Baginda SAW memutuskan untuk hijrah ke Taif, sebuah daerah yang subur menghijau dengan tanaman, mudah-mudahan ia juga boleh disuburkan dengan pohon-pohon Islam.

Berangkatlah Rasulullah SAW menuju ke Taif dengan harapan yang terpendam di kalbu membawa kesedihan di Makkah agar terubat di daerah baru. Namun, harapan itu hanya igauan apabila kehadiran Rasulullah SAW bukan disambut sebagai tetamu, tetapi dihujani dengan lemparan batu. Penduduk Taif tidak menerima dakwah Baginda SAW bahkan mengusir Baginda SAW supaya keluar meninggalkan bumi Taif.

Kesedihan demi kesedihan demi kesedihan yang dialami Rasulullah SAW begitu meruntun jiwa Baginda SAW. Lalu, terungkaplah doa dari dua bibir suci Rasulullah SAW mengadu dan merayu kepada Tuhan Yang Maha Berkuasa dan Mengetahui segala-galanya. Dikatakan Baginda SAW merintih dengan doa ini:

“Ya ALLAH, aku mengadu kepada-Mu kelemahan kekuatanku, sedikitnya kemampuanku dan hinanya aku pada pandangan manusia. Wahai Tuhan Yang Maha Pengasih, Kamulah Tuhan golongan yang lemah dan Kamu juga Tuhan ku. Kepada siapa Kamu serahkan aku? Kepada orang jauh yang memandangku dengan wajah bengis atau kepada musuh yang menguasai urusanku? Sekiranya Kamu tidak murka kepadaku, aku tidak peduli (apa yang menimpa). Namun keselamatan daripada-Mu lebih melapangkan aku. Aku berlindung dengan cahaya wajah-Mu yang menyinari kegelapan serta memperelok urusan dunia dan akhirat. Aku berlindung daripada kemarahan-Mu atau kemurkaan-Mu terkena kepada-ku. Kamu berhak untuk mencela aku sehingga Kamu reda. Tiada kuasa dan tiada kekuatan melainkan dengan-Mu.”

BACA:  Berlumba-lumba Menjadi Yang Pertama 'Share' dan 'Viral' Tanda Akal Tidak Sihat

Pujukan, hiburan buat Nabi SAW

ALLAH SWT menjawab pengaduan dan rintihan kekasih-Nya ini dengan satu hadiah istimewa. Ia ibarat satu pujukan bagi merawat dan menghiburkan semula jiwa Rasulullah SAW. ALLAH menjemput kekasih-Nya merasai perjalanan istimewa, naik menghadap dan bertemu dengan Sang Pencipta. Detik inilah yang dinamakan al-Israk dan al-Mikraj.

Ahli sejarah, tidak bersepakat dalam menentukan bilakah tarikh sebenar berlakunya peristiwa ini. Oleh sebab itu, tarikh 27 Rejab yang begitu popular dengan sambutan Israk dan Mikraj bukanlah tarikh yang tepat. Ini kerana tidak ada hadis sahih yang menyebutnya secara langsung dan jelas.

Israk ialah peristiwa Rasulullah SAW dibawa daripada Masjid al-Haram, Makkah menuju ke Masjid Al-Aqsa, Palestin. Peristiwa ini disebut jelas dalam al-Quran iaitu dalam Surah Al-Isra’ ayat 1.

Mikraj pula peristiwa Rasulullah SAW dibawa daripada Masjid Al-Aqsa naik ke Sidratul Muntaha dan Baitul Ma’mur, bertemu ALLAH. Peristiwa ini juga tercatat secara ringkas dalam Surah Al-Najm ayat 11 hingga 18.

Peristiwa bersejarah penuh keajaiban ini berlaku hanya dalam satu malam. Tiada yang mustahil, jika ALLAH yang aturkan. Manakala, detik perjalanan Rasulullah SAW dalam peristiwa Israk dan Mikraj secara lebih terperinci disebutkan dalam hadis sahih yang lain.

Mesej untuk diingati

Terlalu banyak mesej dan pengajaran yang boleh kita ambil daripada peristiwa Israk dan Mikraj. Ruang terbatas ini tidak memungkinkan untuk dibahaskan secara terperinci. Antaranya ialah:

Pertama: Kedudukan dan kaitan Masjid Al-Aqsa dan kawasan di sekitarnya dengan dunia Islam. Nabi SAW dibawa dari Masjid Al-Haram lalu singgah di Masjid Al-Aqsa sebelum dibawa naik ke atas, tentu ada mesej yang boleh dipelajari oleh kita.

BACA:  Berdiamlah Di Saat Anda Menerima Kejian

Tragedi dan krisis yang berlaku sekarang ini terhadap Masjid Al-Aqsa, Palestin dan kawasan sekitarnya adalah tragedi ke atas dunia Islam keseluruhannya. Setiap umat Islam mesti berasakan dirinya mempunyai tanggungjawab bagi membebaskan semula Masjid Al-Aqsa dari cengkaman Zionis dengan kadar kemampuannya. Sekiranya perasaan ini tidak wujud, di manakah kesan sambutan Israk Mikraj yang kita adakan saban tahun?

Kedua: Pelihara solat diri sendiri dan ahli keluarga. Kemuncak, peristiwa Israk dan Mikraj ini ALLAH memerintahkan kewajipan solat kepada Baginda SAW dan umatnya. Cara kewajipan solat ini disampaikan sangat berbeza dengan kewajipan lain seperti puasa, zakat dan haji.

Ini menunjukkan kedudukan solat yang menjadi tiang bagi Islam dan diri Muslim. Peliharalah solat. Pelajari dan tunaikan solat mengikut sunnah seperti yang diajarkan Rasulullah SAW. Buat ibu dan ayah, didik dan pesan kepada anak-anak agar mereka mendirikan solat walau di mana berada. Buat golongan pemimpin, ajak dan tunjukkan kesungguhan dalam membentuk rakyat yang mendirikan solat.

‘Israk Mikraj’ lima kali sehari – ALLAH merawat kesedihan Rasulullah SAW dengan diangkat naik bertemu dengan-Nya lalu difardukan kewajipan solat lima waktu. Justeru, rawatilah kesedihan kita dengan solat. Pujuklah diri dengan solat. Hilangkan kekecewaan dengan solat. Angkatlah nilai diri dengan solat. Carilah kekuatan dan keyakinan diri dengan solat. Kita juga berpeluang untuk ‘Israk dan Mikraj’ lima kali sehari semalam.

 

Sumber: suaramedia.org 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel