Pernahkah anda berhadapan dengan orang yang sukar ditangani? Berkomunikasi dengan mereka terasa seakan sedang berada di gelanggang debat, mesej tidak dapat disampaikan dengan berkesan malah hubungan yang sihat tidak dapat dijalinkan dengan baik.
Vanessa, seorang pengkaji bagi sikap dan perilaku manusia menghuraikan tentang ‘difficult people’ atau orang yang sukar ditangani kepada beberapa kategori, antaranya ialah orang yang pasif, serba tahu, negatif dan juga orang yang suka mengarah dengan cara keterlaluan. Kita akan berjumpa dan bertemu orang dengan personaliti begini dari semasa ke semasa.
Bagaimana sebenarnya untuk berkomunikasi jika keadaan ini terjadi? Berikut ada tiga langkah yang boleh anda lakukan satu demi satu sehingga perubahan ke arah yang lebih baik boleh berlaku.
#1- Mendengar
Sesetengah orang bersikap negatif atau memberontak kerana mereka rasa tidak didengari dan tidak difahami. Ketika berkomunikasi, anda boleh katakan kepada mereka;
“Apa yang saya faham, begini dan begini..betulkah ini yang awak cuba sampaikan?”
Apabila mereka berasa bahawa mereka telah didengari, kebarangkalian untuk mereka mengubah perilaku lebih tinggi.
#2- Empati
Empati adalah keupayaan manusia untuk mengenalpasti, memahami dan menyelami perasaan dan kesusahan orang lain. Bermula dari langkah pertama iaitu, mendengar dengan baik, perasaan empati boleh terhasil.
Ucapkan kata-kata bahawa “Saya faham apa yang awak rasa” atau “Saya faham kenapa awak buat begini” supaya mereka tahu apa yang sedang kita fikirkan atau rasakan tentang apa yang telah mereka ucapkan.
#3- Membimbing
Kadang-kadang orang yang sukar ditangani ini mempunyai masalah dalaman atau dilema dengan diri sendiri. Lalu perasaan negatif di dalam diri mereka memberi kesan kepada perilaku dan sikap luaran. Bahkan orang di sekeliling mereka terkena tempiasnya.
Mereka sebenarnya perlu dibimbing. Mereka perlu memahami bahawa jika mereka ingin dilayani dengan baik, mereka juga perlu melakukan hal yang sama. Jika mereka ingin disenangi orang, maka mereka juga perlu menyenangkan orang lain. Langkah ketiga ini perlu diambil bagi mengelakkan diri dan orang lain diperlakukan sesuka hati. Peraturan sosial ini wujud bagi memudahkan kehidupan.
Abdullah bin Umar RA berkata, Rasulullah SAW bersabda , seorang muslim saudara terhadap sesama muslim, tidak menganiayanya dan tidak akan dibiarkan dianiaya orang lain. Dan siapa yang menyampaikan hajat saudaranya, maka Allah akan menyampaikan hajatnya. Dan siapa yang melapangkan kesusahan seorang Muslim, maka Allah akan melapangkan kesukarannya di hari qiyamat, dan siapa yang menutupi aurat seorang muslim maka Allah akan menutupinya di hari qiyamat.
(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)
Semoga dengan beberapa tips ringkas ini dapat membantu kita semua untuk lebih memahami dan tidak hanya menyalahkan. Setiap orang ada sisi kebaikan dalam diri mereka. Jangan kerana kelemahan dan kesalahan, kita menutup mata dengan kebaikan.
Sumber: Tazkirah.net