Isu Semasa

Zakat Ar-Riqab Kepada Golongan LGBT: Apa Yang Sebenarnya Perlu Anda Tahu

Baru-baru ini isu zakat kepada golongan LGBT menjadi topik yang hangat diperkatakan di media sosial. Sebahagian netizen mengecam dan sebahagian lagi menyokong tindakan Lembaga Zakat Selangor tersebut. Saya merasakan bahawa isu ini perlu difahami secara menyeluruh. Isu begini bukan isu yang baru muncul. Pemberian zakat Ar-Riqab juga telah lama dilaksanakan di beberapa buah negeri lain seperti Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan dan Perlis.

Sebelum kita pergi lebih jauh, pertama sekali, mari kita fahami dahulu makna Zakat Ar-Riqab. Jenis-jenis zakat telah disebutkan secara jelas dalam Surah At-Taubah ayat 60:

“Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana”

Dalam ayat diatas, senarai penerima zakat dimulai dengan fakir, miskin, amil, mualaf, ar-riqab, gharimin (berhutang), sabilillah (untuk dibelanjakan pada jalan Allah) dan ibnu sabil (musafir). Ayat ini berbentuk dilalah zanniyah yang bermaksud ketetapan hukum yang tidak jelas dan terbuka kepada ruang ijtihad dalam memahami dan mempraktikkannya.

Oleh kerana perkataan ‘ar-riqab’ di sini bersifat spekulatif, maka sudah pasti ada perselisihan di kalangan ulama’ dalam mendefinisikan maksud Ar-Riqab namun perselisihan tersebut tidaklah terlalu jauh bezanya. Ia membawa maksud kepada hamba atau pembebasan.

Justeru timbul pula persoalan lain; Sistem perhambaan tidak lagi wujud pada masa sekarang, maka adakah asnaf Ar-Riqab masih lagi terpakai, atau ada penafsiran baru bagi frasa ini?

Definisi Riqab

Perkataan ‘riqab’ merupakan perkataan jamak, kata tunggalnya ialah ‘raqabah’. Raqabah dari segi bahasa bermaksud leher, penghujung bahagian kepala, atau sebelah atas bahagian badan. Manakala secara terminologi, raqabah bermaksud hamba yang dimiliki.

BACA:  Tolong Jaga Anak Kita. Penyakit HFMD Sedang Mengganas!

Al-Qurrah Daghi menyimpulkan, perkataan ‘raqabah’ atau ‘riqab’ bermaksud leher atau tengkuk; sama ada ia dikaitkan dengan hamba atau orang merdeka. Menurut hasil kajian daripada jurnal bertajuk Pelaksanaan Pengagihan Zakat Kepada Asnaf Ar-Riqab di Malaysia, tidak terdapat takrif yang khusus berkenaan definisi Ar-Riqab menurut bahasa dan juga istilah, maka ianya masih tergantung bersifat umum.

Riqab Menurut Ulama Mutaqaddimun (ulama’ yang hidup pada abad ke-2 dan ke-3 Hijriah ) dan Muta’akhhirun (para ulama’ yang hidup pada abad ke-4 Hijriah dan seterusnya)

Jumhur ulama’ berpendapat golongan yang layak menerima zakat hanyalah hamba mukatab iaitu hamba yang mahu dimerdekakan dan dia beragama Islam. Para ulama’ yang berpendapat seperti ini sepakat mengatakan harus memberikan sebahagian harta zakat kepada pemilik hamba tersebut untuk dimerdekakan hamba itu dan melangsaikan segala hutangnya. Pendapat ini dipegang oleh Saidina Ali bin Abi Talib, Sa’id bin Jubayr, al-Layth, ulama Hanafiyyah dan Syafi’iyyah.

Sebahagian ulama’ berpendapat, golongan yang layak menerima zakat ini hanyalah hamba sahaya iaitu menggunakan harta zakat untuk membeli hamba lalu dimerdekakan. Pendapat ini adalah pendapat Ibnu ‘Abbas, Hasan al-Basri, Malik, Ahmad, Abu Thaur, Abu ‘Ubayd, al-Bukhari, Ibnu Munzir, dan ulama’ Malikiyah.

Mereka berhujah, jika ‘riqab’ hanya merujuk kepada hamba mukatab, maka dia termasuk dalam kategori gharimin kerana dia berhutang kepada tuannya. Manakala menurut mazhab Hanafi, Syafi’i dan salah satu pendapat Imam Ahmad, perbuatan tersebut adalah tidak dibenarkan.

Kata Ibnu Taimiyah pula, selain membebaskan hamba, diharuskan menggunakan sebahagian harta zakat untuk menebus tawanan (al-asir) yang beragama Islam daripada cengkaman orang kafir.

Sebelum zaman Imam Ahmad (164H-241H), ijtihad para ulama’ hanya berkisar sama ada riqab bermaksud hamba mukatab sahaja atau hamba sahaya sahaja.

Riqab Menurut Ulama dan Fatwa Semasa

Muhammad Rashid Reda berpendapat bahawa zakat Ar-Riqab ini juga boleh digunakan untuk membebaskan umat Islam yang dijajah sama ada dari segi harta benda, pemikiran dan juga pemerintahan. Al-Uthaimin pula berpendapat orang yang diculik juga termasuk dalam golongan penerima zakat Riqab.

BACA:  Maruah Israel semakin tercalar

Majoriti ulama tidak bersetuju untuk meluaskan maksud Riqab di luar konsep hamba. Mereka yang berpegang kepada pendapat ini temasuklah Yusuf al-Qardhawi, Wahbah al-Zuhaili dan al-Ghufaili. Namun tetap saja lafaz Riqab di sini adalah suatu lafaz yang umum seperti yang telah dibincangkan diatas.

Syeikh Mahmud Syaltut dalam kitab al-Fatawa menjelaskan bahawa perhambaan dalam bentuk semasa pada hari ini adalah perhambaan terhadap nilai-nilai kemanusiaan.

Perhambaan ke atas umat Islam pada masa kini juga adalah berbentuk penjajahan terhadap pemikiran, harta, kuasa dan kebebasan mereka. Pandangan ini turut disokong oleh Aliuddin Za’tari dalam kertas kerjanya di bawah tajuk “ Tatbiqat Mu’asarah Fi Masarif Al- Zakat ”.

Beliau menyatakan bahawa definisi asnaf zakat riqab perlu diperluaskan agar dapat dipraktikan pengagihannya pada masa kini.

Maksud riqab yang sesuai ketika ini adalah pembebasan sebuah bangsa dari belenggu penjajahan sama ada dari sudut harta, pemikiran, kerajaan, dan kebebasan hidup di negara sendiri. Dana zakat perlu digerakkan bagi membasmi segala bentuk penganiyaan terhadap umat Islam secara keseluruhannya.

Justeru, sebahagian ulama’ cuba meluaskan maksud Riqab dengan berbeza ‘illahnya (sifat atau ciri yang menyebabkan sesuatu hukum itu boleh terbentuk). Beberapa fatwa dan amalan di Malaysia menggunakan kaedah qiyas dengan ‘illah ‘terbelenggu’. Dua kategori yang difokuskan ialah ‘belenggu kejahilan’ dan ‘belenggu masalah sosial dan aqidah’. Perluasan takrif Riqab menurut fatwa semasa negeri adalah seperti berikut:

Selangor

Belenggu masalah sosial: Masalah dadah, judi, arak, khalwat zina, terbelenggu dengan gaya hidup songsang seperti lesbian, dan homoseksual.
Belenggu masalah aqidah: amalan-amalan syirik, khurafat serta orang yang berhasrat untuk murtad.

Negeri Sembilan

Belenggu kejahilan: Bantuan pendidikan dan aktiviti meningkatkan ilmu dalam kalangan masyarakat.

Terengganu

Belenggu Kejahilan: Bantuan peningkatan ilmu agama
Belenggu Masalah Aqidah dan Sosial: Bantuan pemurnian aqidah/akhlak, bantuan penyelenggaraan aset dan kontigensi.

BACA:  Paderi anti-Islam bakar al-Quran di Amerika Syarikat

Perlis

Belenggu kejahilan: Basmi kejahilan dan sekolah agama rakyat

Justeru, suatu kenyataan juga telah dikeluarkan oleh Lembaga Zakat Selangor di laman Facebook rasminya, bagi merespon pandangan orang ramai ini:

“Fahami maksud sebenar agihan zakat kepada asnaf Al-Riqab ini. Antaranya zakat disalurkan untuk membantu golongan yang ingin kembali ke pangkal jalan termasuk golongan LGBT.

Atas neraca kebajikan dan kasih sayang dalam lslam, agar golongan ini tidak terpinggir dan merasa seolah di diskriminasi maka Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 14 Mei 2012 telah memutuskan Fatwa Jenis Penerima Asnaf Al Riqab Negeri Selangor dan apa-apa yang berkaitan dengannya.

Di dalam fatwa tersebut telah dinyatakan senarai jenis penerima agihan asnaf Al Riqab yang layak menerima bantuan zakat Al-Riqab melalui perantaraan mana-mana institusi, pusat, NGO lslam dan individu perseorangan yang dibenarkan oleh undang-undang dan hukum Syara’ yang berfungsi melaksanakan tugas-tugas membebas, mengurus, melindungi, merawat dan memulih asnaf Al Riqab supaya dapat menjalani kehidupan sempurna secara lslam.”

Sekarang kita dapat fahami bahawa langkah ini diambil bukanlah dengan sewenang-wenangnya tetapi sebagai satu usaha untuk menyelesaikan masalah yang ada. Kita sebagai umat Islam sememangnya tidak menyokong LGBT, namun adakah kita ingin membiarkan masalah ini tanpa solusi?

Semoga dengan segala maklumat dan keterangan diatas, kita lebih jelas dan faham tentang Zakat Riqab dan bagaimana sebenarnya ia dibincangkan oleh para ulama dan ilmuwan. Sudah pasti pihak agama tidak semudahnya membuat sesuatu keputusan lebih-lebih lagi apabila melibatkan hak masyarakat umat Islam. Semoga Allah memberkati segala usaha yang telah, sedang dan akan kita lakukan.

Segala maklumat serta fakta dalam artikel ini dirujuk di:
1. Jurnal bertajuk ‘Pengurusan Agihan Zakat Asnaf Riqab Berdasarkan Realiti Semasa’
2. Jurnal bertajuk ‘Pelaksanaan Pengagihan Zakat Kepada Asnaf Ar-Riqab Di Malaysia’

 

Sumber: tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *