Tazkirah

Yakinlah Rezeki Anda Tidak Berkurang Apabila Bersedekah

Saya pasti, agama apa pun amat menggalakkan penganutnya untuk mengamalkan memberi tanpa mengharap atau dalam erti kata yang ringkas, bersedekah.

Amalan bersedekah ini telah wujud sekian lama dan akan berterusan selagi ada ihsan dalam diri manusia. Apatah lagi Islam memang mengajar kita bahawa tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah.

Sesungguhnya tangan yang memberi itu lebih baik daripada tangan yang menerima. Ini dinyatakan dalam hadis Rasulullah S.A.W;

Daripada Abdullah bin Umar ra, bahawa Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda ketika baginda berkhutbah di atas mimbar, yang bermaksud, “Tangan yang di atas lebih baik daripada tangan yang di bawah. Tangan yang di atas adalah tangan pemberi sementara tangan yang di bawah adalah tangan peminta.”
Riwayat Muslim

Kita sendiri tentu pernah terbaca amalan bersedekah yang boleh dipelajari daripada Baginda Rasulullah S.A.W.

Biarpun banyak contoh yang telah ditunjukkan oleh baginda namun adakalanya manusia ini bersikap skeptikal akan kebaikan bersedekah.

Kata orang, roda itu berputar, bumi juga berputar, berputar mengelilingi matahari. Nasib manusia pula berubah-ubah atau boleh juga dikatakan berputar, kadangkala berada di atas, kadangkala di bawah.

Kejadian-kejadian ini senang benar bagi Allah untuk mengaturnya kerana Dia adalah Yang Maha Berkuasa.

Namun sebagai manusia, kealpaan sering memayungi diri sehingga mata tidak nampak kebenaran bahawa dunia dan segala isinya adalah sementara.

Pada suatu masa dahulu, saya walaupun tidak senang, tetapi tidaklah susah. Pada saat itu, pekerjaan yang baik menghasilkan gaji yang mencukupi untuk menampung hidup di bandar raya berlalu pergi. Lembaran takdir tiba-tiba berubah.

Apa yang ada dahulu ada, kini hilang satu demi satu dalam keadaan saya sedar dan waras. Pekerjaan yang diagung-agungkan dilepaskan dengan kerelaan tanpa kefahaman. Seolah-olah hidup ini hanya untuk suka-suka sahaja.

BACA:  Ayuh Para Wanita Kita Meraih Pahala Ketika Haid

Sedikit demi sedikit, tangga yang didaki rupa-rupanya menjadi tangga yang dituruni. Saya yang biasa membawa wang berjumlah dalam lingkungan RM20 atau RM30 ke tempat kerja, kemudiannya terpaksa akur dengan wang setakat RM2 atau RM3 di dalam dompet.

Pernah saya hanya mempunyai wang sebanyak RM1.80 dan hanya mampu membeli sebungkus roti untuk mengisi perut.

Untuk bercerita kepada orang lain, malu sungguh, Ya Allah, hanya Tuhan yang tahu. Suka atau pun tidak, bertahan sahajalah. Kata orang, awak yang mencari, awaklah yang merasa.

Pekerjaan di tempat berhawa dingin dan gah yang terletak di sebuah bangunan pencakar langit yang dipandang megah di Kuala Lumpur tinggal hanya kenangan.

Saya seterusnya menjawat jawatan pekerja am di sebuah kedai menjual simen, pasir, batu-bata dan sebagainya. Gaji yang diterima pula berkali-kali ganda lebih rendah dibandingkan dengan gaji sebelum ini.

Perkara ini berlarutan dan hinggalah pada suatu hari, anak sulung saya memberikan RM10 kepada saya, cenderahati daripada gajinya yang pertama yang bernilai tidak sampai RM700.

Demi menunjukkan kegembiraan, saya potong RM5 dan masukkan ke dalam tabung masjid. Petang itu, saya dihubungi oleh seorang kawan yang meminta saya melakukan kerja penterjemahan dari Bahasa Inggeris ke Bahasa Malaysia. Manuskrip itu mengandungi banyak patah perkataan, oleh itu upahnya adalah RM500.00.

Apa yang buat saya jadi amat terharu, upah dibayar sepenuhnya sehari selepas itu (sehari selepas saya letak RM5 ke dalam tabung masjid).

Jadi di sini, benarlah firman Allah S.W.T yang bermaksud;

“Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah serupa dengan sebutir benih yang menumbuhkan tujuh butir, pada tiap-tiap butir seratus biji, Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui.”
Surah Al-Baqarah :261

BACA:  AMARAN!! Malaikat Tidak Akan Masuk Rumah Jika Ada 4 Perkara Ini

Maha Suci Allah. Dari RM5, menjadi RM500. Benar, tidak semestinya kita bersedekah wang ringgit, boleh juga sedekahkan bantuan perkhidmatan, lauk-pauk, kuih-muih dan sebagainya.

Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya;

“Bersedekahlah kamu sekalian, meskipun dengan hanya sebiji tamar, sesungguhnya sedekah itu dapat memenuhi keperluan orang yang lapar dan menghapuskan kesalahan, sebagaimana air dapat memadamkan api.”
Riwayat Ahmad

Antara kebaikan-kebaikan bersedekah adalah:
#1- Menyucikan harta
#2- Menyucikan tubuh dan jiwa
#3- Menolak bala dan penyakit
#4- Terhindar dari api neraka
#5- Membuka pintu rezeki
#6- Harta yang berkat
#7- Mendapat naungan di hari akhirat ketika keadaan sangat panas
#8- Diringankan hisab

Abu Hurairah R.A berkata, Rasulullah S.A.W bersabda maksudnya;

“Harta tidak akan berkurang dengan sedekah. Dan seorang hamba yang pemaaf pasti akan Allah tambahkan kewibawaan baginya.”
Riwayat Muslim

Maka, marilah kita praktikkan amalan bersedekah dalam kehidupan seharian bermula dengan keluarga terdekat. Suami, isteri, anak-anak, cucu cicit. Terutamanya ibu bapa yang dikasihi dan dihormati.

Hendaklah kita mendahulukan orang yang dekat dengan kita. Seterusnya jom kita pandang jiran tetangga pula. Insya-Allah, setiap orang yang berbuat kebajikan nescaya diberkati Allah dengan dikurniakan kesejahteraan hidup dan mendapat rahmat-Nya.

Sabda Rasulullah S.A.W bermaksud;

“Tangan yang menghulur lebih baik daripada tangan yang menerima, mulakanlah dengan mereka yang di bawah tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah itu adalah yang tidak mengorbankan keperluannya atau keluarganya, sesiapa yang menahan daripada meminta sedekah dia akan dijaga oleh Allah S.W.T, sesiapa yang merasa berpada-pada maka diberikan Allah S.W.T kelegaan kepadanya.”
Riwayat Bukhari dan Muslim

Rujukan:
http://m.suara-islam.com
http://masuksurga.pusatkajianhadis.com
http://www.utusan.com.my/rencana/agama/carilah-rezeki-menerusi-sedekah-1.511245

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *