Ibadah, Tazkirah

Wujudkah Malam Tujuh Likur?

Apabila hampir masuknya sepuluh malam terakhir bulan Ramadan, pasti kita mendengar dan melihat orang Melayu di sekeliling kita akan membuat persiapan untuk menyambut dan meraikan malam ini.

Mereka akan memasang pelita, bermain mercun dan bunga api serta menyalakan lampu raya LED dengan meriahnya bagi menyambut kedatangan sepuluh malam terakhir atau lebih masyhur di kalangan kita sebagai malam tujuh likur.

Sering kali kita mendengar orang-orang tua atau mungkin ibu bapa kita sendiri menyebut tentang malam tujuh likur. Apa itu tujuh likur? Adakah ia merupakan amalan umat Islam atau hanya dibuat-buat?

Sebenarnya tujuh likur bermaksud malam yang kedua puluh tujuh dalam bulan Ramadan. Likur itu sendiri membawa maksud antara malam 20 hingga 30.

Ia merupakan amalan dan warisan daripada bangsa Melayu sendiri dan tiada dinyatakan dalam Islam. Ia diwujudkan untuk meraikan sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan.

Tiada kesalahan jika ingin mengamalkan amalan ini, namun jika sehingga meninggalkan ibadah atau menjauhkan diri daripada Allah, maka itu adalah dilarang.

Rasulullah dan sahabat terdahulu juga tidak menyambut sepuluh malam terakhir dengan memasang cahaya pelita atau amalan yang membazir, namun lebih memperbanyakkan ibadah dan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Lailatul Qadr Malam Kemuliaan

Pada sepuluh malam terakhir ini juga ada diceritakan mengenai Lailatul Qadar. Umat Islam digalakkan untuk memperbanyakkan ibadat pada sepuluh malam terakhir ini untuk mengejar Lailatul Qadar.

Lailatul Qadar merupakan malam kemuliaan. Ia juga membawa maksud malam yang ditetapkan takdir tahunan.

Hal ini juga ada disebut melalui firman Allah:

لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ
تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

“Malam Lailatul Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).”
(Surah Al-Qadr, 97:3-4)

Tidak dinafikan kita perlu memperbanyakkan ibadah bagi mendapatkan Lailatul Qadar kerana fadilat yang diperoleh adalah lebih baik dari seribu bulan. Rasulullah juga diceritakan turut memperbanyakkan waktu iktikaf dan amal ibadat pada sepuluh malam terakhir ini.

Hal ini juga ada disebut melalui hadis yang diceritakan oleh Aisyah RA yang bermaksud:

“Bahawasanya Rasulullah SAW melakukan solat bersama mereka (para sahabat) pada malam 23, 25 dan 27 serta disebutkan baginda ada mengajak keluarganya untuk solat dan isteri-isterinya pada malam 27 sahaja.” (Hadis Riwayat Abu Dzar)

BACA:  Tazkirah Ringkas : Persiapan Menjelang Bulan Ramadan

Menerusi firman lain, Allah menyebut bahawa pada malam ini dipenuhi dengan keberkatan yang melimpah-ruah terhadap hambaNya. Pada malam ini juga telah diturunkan kitab suci al-Quran terhadap seluruh umat melalui Rasulullah SAW.

إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةٍ مُّبَارَكَةٍ ۚ إِنَّا كُنَّا مُنذِرِينَ
فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

“Sesungguhnya Kami telah menurunkan al-Quran pada malam yang berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa azab). (Kami menurunkan al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku (tidak berubah atau bertukar).”
(Surah Ad-Dukhan, 44:3)

Kelebihan Lailatul Qadar

Terdapat banyak kelebihan dan fadilat yang boleh diperoleh melalui Lailatul Qadar yang telah disebut melalui al-Quran dan Sunnah. Antaranya ialah:

#1 – Turunnya Malaikat

تَنَزَّلُ الْمَلَائِكَةُ وَالرُّوحُ فِيهَا بِإِذْنِ رَبِّهِم مِّن كُلِّ أَمْرٍ

Mafhum: “Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut).” (Surah Al-Qadr, 97:4)

#2 – Dosa Diampunkan

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Mafhum: “Barangsiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari)

#3 – Penuh Kesejahteraan

سَلَامٌ هِيَ حَتَّىٰ مَطْلَعِ الْفَجْرِ

Mafhum: “Sejahteralah malam (yang berkat) itu hingga terbit fajar!” (Surah Al-Qadr, 97:5)

Waktu Berlakunya Lailatul Qadar

Umum mengetahui bahawa Lailatul Qadar akan berlaku pada sepuluh malam terakhir Ramadan. Hal ini kerana terdapat banyak hadis yang terkenal dan sering didengar di cuping-cuping telinga kita. Walau bagaimanapun, tiada dalil yang sahih berkenaan waktu yang tepat berlakunya Lailatul Qadar.

Imam Syafi’e mengatakan bahawa, sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh para sahabat merupakan dalil sahih berkenaan terjadinya Lailatul Qadar di zaman Rasulullah, iaitu:

اعتكَف رسولُ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم عشرَ الأُوَلِ من رمضانَ، واعتكفْنا معَه، فأتاه جبريلُ فقال : إن الذي تطلُبُ أمامَك، فاعتكَف العشرَ الأوسَطَ فاعتكَفْنا معَه، فأتاه جبريلُ فقال : إن الذي تطلُبُ أمامَك، قام النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم ؟طيبًا، صبيحةَ عِشرينَ من رمضانَ، فقال : مَن كان اعتكَف معَ النبيِّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم فليَرجِعْ، فإني أُريتُ ليلةَ القدْرِ وإني نُسِّيتُها وإنها في العشرِ الأواخِرِ، وفي وِترٍ، وإني رأيتُ كأني أسجدُ في طينٍ وماءٍ . وكان سقفُ المسجدِ جريدَ النخلِ، وما نرى في السماءِ شيئًا، فجاءتْ قزَعةٌ فأُمطِرْنا، فصلَّى بنا النبيُّ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم حتى رأيتُ أثرَ الطينِ والماءِ . على جبهةِ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليه وسلَّم وأرنبتِه، تصديقَ رؤياه

BACA:  Hebatnya Sifat Pengasih yang Dimiliki Rasulullah SAW Sebagai Seorang Suami

Maksud: “Rasulullah SAW melakukan iktikaf pada sepuluh hari pertama di bulan Ramadan dan kami pun melakukan iktikaf bersamanya. Lalu Jibril datang dan berkata; “Sesungguhnya apa yang engkau minta (cari) ada di depanmu”

Lalu Rasulullah SAW berkhutbah pada pagi hari yang kedua puluh di bulan Ramadan dan bersabda; “Barangsiapa yang iktikaf bersama Nabi, maka kembalilah (untuk melakukan iktikaf)! Kerana sesungguhnya aku telah diperlihatkan Lailatul Qadar dan aku sudah lupa. Lailatul Qadar akan terjadi pada sepuluh hari terakhir pada (malam) ganjilnya dan aku sudah bermimpi bahawa aku bersujud di atas tanah dan air.”

Dan saat itu, atap masjid (terbuat dari) pelepah daun pohon kurma, dan kami tidak melihat sesuatu pun di langit lalu tiba-tiba muncul awan dan kami pun dituruni hujan. Kemudian Rasulullah SAW bersolat bersama kami sampai aku melihat bekas tanah dan air yang melekat di dahi dan hujung hidung beliau sebagai bukti benarnya mimpi beliau.” (Hadis Riwayat Abu Sa’id al-Khudri – Status hadis sahih daripada Sahih Bukhari)

Dalam riwayat lain juga ada disebut berkenaan waktu terjadinya Lailatul Qadar, iaitu pada malam ganjil:

تَحَرَّوْا ليلة القدرِ في الوِتْرِ، من العشرِ الأواخرِ من رمضانَ

Maksud: “Carilah oleh kalian keutamaan Lailatul Qadar (malam kemuliaan) pada malam-malam ganjil di sepuluh malam terakhir bulan Ramadan.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Walau bagaimanapun, sebagai umat Islam, kita perlu beribadah pada setiap malam, tidak hanya menunggu waktu ganjil sahaja. Hal ini kerana, waktu yang berlalu adalah berbeza sama ada, di negara kita atau di negara lain.

Seperti jawapan Syaikh Shalih al-Munajjid apabila ditanya mengenai perihal ini, iaitu:

“Lailatul Qadar tetap terjadi pada satu malam di negara yang berbeza. Di negara Arab, Lailatul Qadar nantinya terjadi dari tenggelamnya matahari. Di Afrika, demikian pula terjadi Lailatul Qadar mulai dari tenggelamnya matahari. Jadi, kalau sudah tenggelam matahari di suatu negeri, maka mulailah malam Lailatul Qadar walaupun ada di suatu tempat yang malamnya itu hingga 20 jam. Tidak ada masalah pula jika malaikat mesti turun di tempat yang satu, lalu turun lagi di tempat yang lain.” (Fatawa al-Islam Sual wa Jawab)

BACA:  Amalkan 3 Perbuatan Ini Supaya Kita Lebih Dekat Dengan Allah SWT

Tanda-Tanda Berlakunya Lailatul Qadar

Ramai di kalangan kita yang beranggapan bahawa Lailatul Qadar mempunyai tanda yang boleh dilihat seperti pokok yang sedang rukuk dan macam-macam perkara aneh yang berlaku. Namun, tiada dalil yang mengatakan itu merupakan tanda-tanda. Adapun, ia adalah datang daripada para solafus soleh.

Walau bagaimanapun, terdapat beberapa dalil melalui hadis Rasulullah yang menceritakan mengenai tanda terjadinya malam ini, iaitu:

#1 – Malam Yang Cerah

هِىَ اللَّيْلَةُ الَّتِى أَمَرَنَا بِهَا رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم- بِقِيَامِهَا هِىَ لَيْلَةُ صَبِيحَةِ سَبْعٍ وَعِشْرِينَ وَأَمَارَتُهَا أَنْ تَطْلُعَ الشَّمْسُ فِى صَبِيحَةِ يَوْمِهَا بَيْضَاءَ لاَ شُعَاعَ لَهَا.

Maksud: “Malam itu adalah malam yang cerah, iaitu malam kedua puluh tujuh (dari bulan Ramadan). Dan tanda-tandanya ialah pada pagi hari, matahari terbit berwarna putih tanpa memancarkan sinar ke segala penjuru.” (Hadis Riwayat Muslim)

#2 – Tidak Begitu Panas, Tidak Begitu Dingin

لَيْلَةُ القَدَرِ لَيْلَةٌ سَمْحَةٌ طَلَقَةٌ لَا حَارَةً وَلَا بَارِدَةً تُصْبِحُ الشَمْسُ صَبِيْحَتُهَا ضَعِيْفَةٌ حَمْرَاء

Maksud: “Lailatul Qadar adalah malam yang penuh dengan kemudahan dan kebaikan, tidak begitu panas dan tidak begitu dingin. Pada pagi hari matahari bersinar tidak begitu cerah dan nampak kemerah-merahan.” (Hadis Riwayat Ath-Thoyalisi dan Al-Baihaqi)

#3 – Nampak Setelah Malam Berlalu

وَقَدْ وَرَدَ لِلَيْلَةِ الْقَدْرِ عَلَامَاتٌ أَكْثَرُهَا لَا تَظْهَرُ إِلَّا بَعْدَ أَنْ تَمْضِي

Maksud: “Ada beberapa dalil yang membicarakan tanda-tanda Lailatul Qadar, namun itu semua tidaklah nampak kecuali setelah malam tersebut berlalu.” (Fathul Bari, 4/260)

Kesimpulan

Ada hikmah kenapa Allah merahsiakan waktu yang tepat berlakunya Lailatul Qadar. Ia adalah untuk memberi peluang kepada hambaNya supaya beribadah pada setiap malam dan mencari hikmah Lailatul Qadar.

Jika tiada rahsia antara takdir Allah dengan manusia, maka sudah pasti manusia hanya akan beribadah apabila dirasakan perlu dan penting sahaja.

مَنْ قَامَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ

Maksud: “Barangsiapa melaksanakan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala dari Allah, maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.” (Hadis Riwayat Bukhari)

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *