Nasihat, Perkahwinan, Tazkirah

Wanita solehah permata suami

Allah SWT mengurniakan keupayaan intelektual dan kognitif untuk berfikir kepada makhluk-Nya bergelar manusia. Dengan kemampuan itu, manusia diberikan kebebasan membuat pilihan, mahu taat dan patuh secara sukarela, atau mengingkari seruan mentauhidkan Allah serta tahu akibatnya.

Kapasiti menggunakan akal dianugerahkan Allah yang akan membezakan manusia dengan makhluk lain. Malaikat dikurniakan akal tanpa nafsu, menjadikan mereka makhluk paling taat serta tidak langsung membantah segala ketetapan dan perintah Allah.
Sementara haiwan melata diberikan nafsu tanpa keupayaan akal sofistikated, sehingga mereka hanya mampu bertindak menuruti keperluan nafsu syahwat semata-mata.

Individu yang memilih jalan ketakwaan, ketaatan dan keimanan akan mendapat kemenangan serta kejayaan besar. Sementara mereka yang memilih dengan penuh sedar jalan kefasikan, kemungkaran dan kemunafikan, akan menempa azab sengsara yang berkekalan.

Firman Allah SWT: “Demi jiwa (manusia) dan penyempurnaan (kejadiannya). Maka (Allah) mengilhamkannya (untuk mengenal) jalan yang membawanya kepada kejahatan dan yang membawa kepada ketakwaan. Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya; dan sesungguhnya hampalah orang yang mengotorinya.” (Surah Asy-Syams, ayat 7-10)

Peluang manusia buat pilihan

Dengan penuh kasih sayang Allah SWT, diberikan petunjuk kepada manusia melalui perutusan para Rasul dan Nabi yang membawa kitab petunjuk, panduan menerangi jalan kehidupan. Maha adil Allah yang memberikan peluang terbuka seluas-luasnya untuk manusia membuat pilihan mereka.
Sesungguhnya Allah Maha Berkuasa memaksa kita menyembah zat-Nya yang Maha Tinggi dan Mulia, namun Dia lebih suka hamba-Nya menyerahkan diri mereka serta kembali kepada-Nya dengan penuh keikhlasan dan kerelaan.

Suntikan capai status soleh, solehah

Tiada bezanya jalan ketaatan seorang wanita dan seorang lelaki yang mahu mencapai status soleh dan solehah di sisi Allah SWT. Mereka mestilah memastikan dua suntikan ini mampu dilaksanakan terlebih dulu.

Pertama, menyuntik akal dengan ilmu pengetahuan yang sahih dan benar, manakala yang kedua, menyuntik hati dengan iman serta takwa kepada Allah SWT.

Seorang wanita mestilah mencapai tahap kecerdasan dan kecerdikan yang tinggi untuk meraih gelaran solehah. Dia akan mencari-cari dan mengutip semua permata ilmu berharga di mana saja dia menemuinya.

Motivasi tinggi mendorong wanita solehah menggunakan potensi akal yang luar biasa dalam menentukan keputusan kritikal. Wanita solehah bukan seorang yang sekadar menurut membabi buta, perempuan biasa yang tiada minat kepada ilmu pengetahuan dan penambahbaikan diri.

Dia tidak boleh menumpang tuah suami atau bapanya yang tersohor dengan perilaku dan amalan soleh selama ini. Belum tentu dia boleh diterima secara automatik masuk ke Jannah Allah kerana sudah puluhan tahun menjadi isteri mithali kepada suami yang terkenal soleh dan warak.

Wanita harus mampu menggerakkan akalnya dengan berfikiran kritis dan sentiasa menagih penjelasan bagi setiap yang kabur dan belum difahaminya. Akalnya tajam, pemerhatiannya mendalam dan kesimpulannya mengagumkan.

Tak dipengaruhi emosi dangkal

Penuh keyakinan diri, wanita cerdik yang solehah mampu menganalisa situasi dengan objektif dan tidak semata-mata dipengaruhi emosi yang dangkal.

Dia menyedari tugas dan peranan sebagai khalifah Allah di muka bumi ini memerlukannya keluar dari zon selesa, menjalankan fungsinya dengan efektif di samping memberi manfaat sebanyak mungkin kepada orang lain.

Kepintaran wanita solehah menguruskan kehidupannya dan keluarga memberi nilai tambah yang tiada bandingannya kepada suami, anak serta keluarganya. Dia bijak membahagikan masa, ruang dan peluang 24 jam sehari semalam yang dikurniakan Allah untuk kebajikan manusia yang lain.

Ayuh, tingkatkan keazaman di hati untuk menjadi wanita cerdik yang solehah, yang akan menjadi obor penerang kemajuan wanita Muslim, di mana juga mereka berada.

1 Comments

  1. Ibnu Amin Razip al-Bayani

    جَزَاكَ اللهُ خَيْرًا

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *