Ibadah

Walak Kosong & Walak Berisi

وَالْمُؤْمِنُونَ وَالْمُؤْمِنَاتُ بَعْضُهُمْ أَوْلِيَاءُ بَعْضٍ يَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَيَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَيُقِيمُونَ الصَّلَاةَ وَيُؤْتُونَ الزَّكَاةَ وَيُطِيعُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ سَيَرْحَمُهُمُ اللَّهُ إِنَّ اللَّهَ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

“Orang-orang beriman lelaki dan perempuan, sesama mereka adalah wali (penolong) antara satu sama lain. Mereka menyuruh kepada makruf dan mencegah dari munkar, mereka mendirikan solat, mereka menunaikan zakat, serta mereka taat kepada Allah dan Rasulnya. Mereka itu akan dirahmati oleh Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa Lagi Maha Bijaksana” (Surah at-Taubah, ayat 71-72).

Ayat di atas menyebutkan tentang walak (kata akar bagi perkataan ‘wali’ atau ‘auliya’ dalam ayat itu). Walaupun dari terjemahan tersebut, walak seolah memberi makna ‘saling tolong-menolong’, namun sebenarnya perkataan walak boleh diterjemahkan lebih luas dari itu. Mungkin terjemahan paling menyeluruh ialah ‘kesetiaan’, yakni sesama orang beriman hendaklah mempunyai kesetiaan di antara satu sama lain, iaitu satu ikatan janji setia yang mengikat antara mereka satu sama lain.

Namun kesetiaan itu bukanlah kesetiaan kosong, sebaliknya perlu diisi dengan tanggungjawab yang mesti dipikul secara bersama antara satu sama lain dengan penuh kesungguhan;

1. Tanggungjawab menyeru manusia kepada makruf (yakni segala kebaikan dan kelurusan yang perlu disemai dalam masyarakat)

2. Tanggungjawab mencegah munkar (yakni menentang segala bentuk kejahatan dan penyelewengan dalam masyarakat)

3. Setia mendirikan solat; sebagai tanda hubungan kerohanian yang erat dengan Tuhan Pencipta

4. Setia menunaikan zakat; sebagai tanda kepedulian kepada golongan marhean (yakni memberi sumbangan walau kadar minima untuk membela nasib golongan lemah yang perlu dibela)

5. Setia mentaati Allah dan Rasul; tanda komitmen kepada suruhan al-Quran dan as-Sunnah

Walak (kesetiaan) tanpa fungsi-fungsi di atas, itulah yang dinamakan walak kosong. Walak kosong tidak akan berjaya meraih janji Allah di hujung ayat tersebut iaitu “rahmat Allah” (kasih sayang dari Allah), kerana janji Allah tersebut diikat dengan fungsi-fungsi sebelumnya.

BACA:  Apa Itu Rukun Qauli , Qalbi Dan Fi’li Dalam Solat..Jom Sama-sama Ulangkaji

Lebih buruk lagi jika kesetiaan terbina di atas dasar al-dzulm (kezaliman), iaitu berjanji setia untuk membolot hak untuk diri sendiri dengan menafikan hak orang lain yang berhak atau menindas mereka. Janji setia sebegitu tidak ada di dalam Islam sekalipun bersama dalam keimanan. Ia seumpama walak (kesetiaan) bangsa Yahudi untuk menindas bangsa-bangsa yang lain atas dasar mereka adalah bangsa pilihan Allah. Walak sedemikian dipanggil oleh Nabi SAW dengan ‘asobiyah dan baginda menafikannya dari ajaran baginda;

“Bukan dari kami orang yang yang menyeru kepada ‘asobiyah. Bukan dari kami orang yang memperjuangkan asobiyah dan bukan dari kami orang yang mati atas asobiyah”. Bila ditanya kepada baginda; apa itu asobiyah? baginda menjawab; “Kamu membantu kaummu di atas kezaliman” (Sunan Abu Daud; 5121, 5119).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *