Harta, Tazkirah

Wajib Bayar Hutang Walaupun Tuannya Sudah Mati

Sekelian kita sudah maklum bahawa membayar hutang itu adalah wajib dan sengaja tidak membayarnya sekalipun tuan hutang sudah mati adalah haram dan berdosa besar.

Orang yang mati syahid sekalipun tidak akan dapat masuk ke dalam syurga jika tidak membayar hutang.

Dari Muhammad bin Jahsyi r.a. berkata ia : Rasulullah saw pernah bersabda :

وَالَّذِيْ نَفْسِيْ بِيَدِهِ ، لَوْ أَنَّ رَجُلًا قُتِلَ فِـيْ سَبِيْلِ اللّٰـهِ ثُمَّ أُحْيِيَ ثُمَّ قُتِلَ ثُمَّ أُحْيِيَ ثُمَّ قُتِلَ وَعَلَيْهِ دَيْنٌ مَا دَخَلَ الْـجَنَّـةَ حَتَّىٰ يُقْضَى عَنْهُ دَيْنُهُ

artinya : “Demi Tuhan yang diriku di dalam genggaman-Nya andainya bahawa seorang lelaki terbunuh pada jalan Allah kemudian dihidupkan kembali kemudian terbunuh lagi kemudian dihidupkan lagi kemudian terbunuh lagi sedangkan dia ada berhutang maka dia tidak akan masuk ke syurga sehingga dibayar hutangnya itu.” ( Hadith Nasaai & Al-Baghawi)

Dan telah sabit bahawa ruh orang yang berhutang itu tergantung selagi hutangnya belum dibayar.

Dari Abu Hurairah r.a. dari Nabi saw baginda telah bersabda :

نَفْسُ الْـمُؤْمِنِ مُعَلَّقَةٌ بِدَيْنِهِ حَتَّىٰ يُقْضَى عَنْهُ

artinya : “Ruh orang mukmin itu tergantung dengan sebab hutangnya sampailah dibayar hutang itu daripadanya.” (Hadith Ahmad & Tirmizi)

Maka tidak ada alasan tidak membayar hutang walaupun tuan hutang sudah mati. Wajib dicari warisnya dengan segala usaha yang ada sehingga pada adatnya sudah tidak berjumpa lagi.

Berkata Imam Nawawi :

Imam An-Nawawi berkata,

قَالَ الْغَزَالِيُّ إذَا كَانَ مَعَهُ مَالٌ حَرَامٌ وَأَرَادَ التَّوْبَةَ وَالْبَرَاءَةَ مِنْهُ فَإِنْ كَانَ لَهُ مَالِكٌ مُعَيَّنٌ وَجَبَ صَرْفُهُ إلَيْهِ أَوْ إلَى وَكِيلِهِ فَإِنْ كَانَ مَيِّتًا وَجَبَ دَفْعُهُ إلَى وَارِثِهِ وَإِنْ كَانَ لِمَالِكٍ لَا يَعْرِفُهُ وَيَئِسَ مِنْ مَعْرِفَتِهِ فَيَنْبَغِي أَنْ يَصْرِفَهُ فِي مَصَالِحِ الْمُسْلِمِينَ الْعَامَّةِ كَالْقَنَاطِرِ وَالرُّبُطِ وَالْمَسَاجِدِ وَمَصَالِحِ طَرِيقِ مَكَّةَ وَنَحْوِ ذَلِكَ مِمَّا يَشْتَرِكُ الْمُسْلِمُونَ فِيهِ وَإِلَّا فَيَتَصَدَّقُ بِهِ عَلَى فَقِيرٍ أَوْ فُقَرَاءَ

BACA:  Ilmu Allah maha luas, tidak terjangkau batasan akal

artinya : “Telah menyebut olih Imam Ghazali apabila adalah serta seorang itu harta yang bukan miliknya dan mahu bertaubat dan melepaskan diri dari harta tersebut maka jika masih ada tuannya maka wajib kembalikannya kepadanya atau kepada wakilnya.

Maka jika tuan hutang sudah mati maka wajib diserahkan harta itu kepada warisnya.

Dan jika tidak dikenali tuannya dan warisnya dan sudah putus asa dari mengenalnya maka hendaklah dibelanjakan harta tersebut pada maslahah (keperluan) orang-orang Islam seperti membina jambatan dan madrasah dan masjid dan keperluan menjaga negara dan umpama yang demikian itu daripada perkara yang bolih berkongsi menafaatnya olih orang-orang Islam dan jika tidak pun dia bersedekahlah kepada faqir miskin.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazab)

Kesimpulan :

– Hutang wajib dibayar dan sengaja tidak membayarnya adalah
haram dan berdosa.

– Ruh orang yang beriman tergantung selagi tidak dibayar
hutangnya.

– Orang yang mati syahid tertahan dari masuk ke syurga dengan
sebab hutangnya belum dibayar.

– Jika tuan hutang sudah tidak ditemui maka wajib mencarinya
atau mencari wakilnya atau warisnya.

– Jika tuan hutang sudah mati maka wajib membayar hutang
tersebut kepada warisnya dan haram disedekahkan.

– Jika warisnya sudah tidak dijumpai setelah mencari
bersungguh-sungguh maka harus didermakan kepada
maslahah kaum Muslimin atau disedekahkan kepada faqir
miskin.

– Taubat sahaja tanpa membayar balik harta orang yang
dihutang atau didapat dengan cara selain hutang tidak diterima
melainkan mesti membayar kembali hutang tersebut atau
memulangkan kembali harta kepada tuannya atau warisnya.

Wallahua’lam

 

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original)