Ibadah, Travel

Tips Sedekah Duit Kiriman Keluarga dan Rakan di Tanah Suci

Biasanya jika orang tahu kita hendak mengerjakan haji atau umrah, pasti ramai yang akan mengirim wang kepada kita untuk bersedekah. Hari tu, kami pun begitulah.

Walaupun hanya rakan-rakan di jabatan dan ahli keluarga terdekat saja yang tahu rancangan kami nak mengerjakan umrah, wang yang dikirim hampir mencecah RM1,000. Ini termasuklah wang belanja buat makan ais krim di sana. Haha, standardlah tu!

Maka apa nak buat dengan duit banyak-banyak tu? Haa, ni nak cerita ni!

Pertama sekali, masukkan semua duit tersebut ke dalam akaun bank. Of course-lah duit yang depa bagi tu dalam matawang RM. Melainkan ada yang bagi riyal sebab masih ada duit baki semasa berkunjung ke sana sebelum ini.

Kenapa kena masukkan dalam akaun bank? Sebab conversion rate bank lebih murah berbanding kita menukarnya dengan pengurup wang.

Pengalaman saya hari tu, kebanyakan pengurup wang menjual SR100 dengan kadar RM112. Ada yang lebih murah dari itu, tapi kena usaha lebih sikit seperti pergi ke Mid Valley dan sebagainya. Tak berbaloi duit minyak.

Bila saya keluarkan di ATM di sana, saya dapat membeli SR100 dengan kadar RM108 sahaja. Ini dah termasuk caj perkhidmatan RM10.60 bagi setiap pengeluaran. Yang penting, jangan lupa aktifkan transaksi antarabangsa sebelum ke sana ya!

Okey, sekarang apa opsyen bersedekah di sana?

1. Pengkhidmat Masjid

Ini opsyen yang popular. Selalu kita diajar untuk bersedekah kepada tukang cuci masjid, tukang susun Al-Quran, tukang khidmat air Zam-zam di sana.

Sama ada mereka ini dah kaya dengan sedekah ataupun tidak, kita tak perlu bincang. Yang penting, sedekah kita untuk khidmat mereka membersihkan Masjidil Haram dan Masjid Nabawi, atau mana-mana masjid sekalipun di sana.

BACA:  Ukuran Waktu Berbuka Bagi Orang Musafir

Kira macam siaklah mereka ni. Walaupun sudah dibayar gaji, tak ada masalah jika kita nak bersedekah kepada mereka. Mana tahu ada di antara mereka yang ikhlas dan dekat dengan Allah melalui amal mereka, insyaAllah kabul doa mereka. Amin.

2. Badan-Badan Kebajikan

Inipun opsyen yang popular juga. Jika kita ke mall-mall di sana, kita akan jumpa booth-booth yang didirikan untuk menerima sumbangan dari orang ramai.

Kita boleh berwaqaf, bersedekah dan memberi hadiah di sini. Sumbangan akan digunakan untuk projek pembangunan pendidikan, kebajikan ketika bulan Ramadhan dan musim haji dan lain-lain lagi. Melalui cara ini, kumpulan sasarannya lebih luas, insyaAllah.

3. Jemaah Umrah dan Haji

Selain dua cara di atas, kita juga boleh bersedekah sendiri kepada para jemaah yang datang ke sana. Caranya kita belilah apa-apa makanan yang simple-simple seperti buah pisang ke, Snickers ke, coklat timbang kilo ke, kurma ke.

Duduk saja di dataran masjid tu dan hulur kepada orang yang lalu lalang di situ. Cakap, “Halal, halal!” Sekejap saja orang datang kerumun nanti. Haha!

Nak beli buah borong yang murah, boleh beli di Pasar Kakiyyah. Snickers, beli kotak besar di Bin Dawood pun boleh. Coklat timbang kilo, banyak orang jual di kedai-kedai kurma dengan harga dalam SR15 sekilo.

Mereka ini dhuyufurrahman, tetamu Allah. Tumpang berkat mereka bermujahadah datang jauh-jauh ke sini. InsyaAllah, dapatlah tempias sikit untuk tampung umrah dan haji kita yang lompang sini-sana.

4. Fakir Miskin

Seterusnya boleh juga sasarkan sedekah kita kepada fakir miskin. Tak tahu nak cari fakir miskin di mana? Anda pergi saja ke deretan kedai makan di belakang Al-Rajhi Bank tu dan lalu di sana pada waktu pagi, tengahari dan malam.

BACA:  Makan cara sihat ikut sunnah nabi

Banyak yang tengah beratur nak ambil makanan di situ. Bila kita lalu, adalah tuan kedai akan approach kita untuk infaq fisabilillah. Ikutlah nak bagi berapa pun. Bersangka baik kot-kot ada para wali dalam kalangan mereka. Heh!

5. Makhluk-Makhluk

Sasaran lain, kita juga boleh bersedekah kepada makhluk-makhluk di sana. Selalunya yang famous burung merpatilah.

Pergi saja ke port-port burung merpati, pasti akan ada orang yang menjual makanannya. Dalam SR5 sebungkus. Beli makanan dan niatlah sedekah kepada makhluk-makhluk Allah di situ. Mereka kan makhluk yang sentiasa bertasbih memuji Allah SWT.

Selain dari cara-cara di atas, boleh juga beri kepada pekerja ‘Alam Flora’ yang sapu-sapu jalan di sana. Ataupun kepada pekerja hotel yang tolong angkat beg kita.

Kalau nak lebih mesra, yang lelaki beli sebotol minyak attar. Di masjid nanti sebelum solat, calit saja kepada orang yang hulur tangan kepada kita.

Secara tak langsung, kita dah hidupkan satu sunnah berwangi-wangian. Pahala sedekah dapat, pahala hidupkan sunnah dapat, pahala orang lain amalkan sunnah pun kita dapat. Fuhh!

.

Banyak cara lain lagi kalau kita nak bersedekah selain dari mewaqafkan Al-Quran dan kerusi di masjid. Dah mainstream sangat dah tu. Al-Quran di masjid pun banyak yang tak terusik.

Jadi kalau boleh cubalah bahagikan duit-duit sumbangan tu agar sampai kepada semua golongan sasaran di atas. Menyeluruhlah sikit manfaatnya, insyaAllah. Semua jenis pahala kita dapat. Hehe!

Lagi satu, harapnya amalan tu dapat berterusan sampai kita balik ke tanah air. Jangan hanya rajin bersedekah di sana saja.

Sekian dulu. Jumuah barakah!

#BijenMohd
#TipsUmrahZiarah

 

Sumber: Facebook Bijen Mohd 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!