Isu Semasa

Terkini: Mekah Dan Jeddah Cuba Dimusnahkan Syiah?

1. Seluruh umat Islam dikejutkan dengan berita bedilan dua peluru berpandu ke arah Mekah dan Jeddah yang didakwa dilancarkan oleh pihak pemberontak Syiah Houthi di Yaman. Serangan ini cukup mengejutkan memandangkan ia berlaku di saat seluruh umat Islam sedang bersedia untuk menyambut hari mulia Nuzul al-Quran.

2. Serangan bertarikh 20 Mei 2019 ini ialah serangan peluru berpandu kali keempat berturut-turut dari Yaman ke lokasi suci di Arab Saudi – termasuklah ke Mekah – selepas kali pertama pada 27 Oktober 2016, kali kedua pada 27 Julai 2017, dan kali ketiga pada 4 Jun 2018. Secara keseluruhannya, sebanyak 227 peluru berpandu telah dilancarkan Houthi ke arah Arab Saudi sejak 2015.

3. Seperti mana dalam kes serangan-serangan sebelum ini, pasukan Pertahanan Udara Diraja Arab Saudi sekali lagi dilaporkan berjaya memintas dan memusnahkan kesemua peluru berpandu yang dilancarkan pemberontak Houthi tersebut.

4. Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, salah satu daripada peluru berpandu kali ini telah dimusnahkan di ruang udara Taif dan serpihan projektil pertama jatuh di Wadi Jalil, sebuah lembah luas menuju ke Mekah.

5. Rakaman video pula menunjukkan peluru berpandu kedua dipintas dan dimusnahkan di ruang udara Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah.

6. Namun begitu, Jurucakap Houthi Kolonel Yahya Sarea menafikan bahawa mereka sengaja menyasarkan Mekah – kota suci umat Islam – sebaliknya mendakwa bahawa mereka menyasarkan kemudahan lapangan terbang dan infrastruktur ketenteraan Arab Saudi.

7. Hakikatnya, meski pun Houthi menyatakan bahawa sasaran mereka ialah lapangan terbang dan bukannya bandar suci secara langsung, namun ia tetap bakal memberi impak buruk menjelang berlangsungnya musim haji nanti – sama ada dari segi psikologi bakal Jemaah haji dan juga dari segi kemudahan infrastruktur awam untuk urusan ibadah rukun Islam itu.

BACA:  Tentera Muslim Pakistan Tembak Jatuh 2 Pesawat India

8. Malah, sehari sebelum serangan peluru berpandu ini, agensi berita Houthi sendiri iaitu SABA sememangnya ada mengumumkan rancangan Houthi untuk menyerang 300 sasaran infrastruktur dan ketenteraan kritikal di Arab Saudi dan UAE.

9. Minggu lalu, pihak Houthi turut melancarkan serangan dron ke atas dua stesen pam minyak di Arab Saudi.

10. Pertembungan Arab Saudi-Houthi ini berlangsung sejak 2015 lagi apabila Putera Muhammad Bin Salman yang baru mengambil alih posisi Menteri Pertahanan Arab Saudi ketika itu bertindak melancarkan operasi ketenteraan ‘Decisive Storm’ ke atas Houthi di Yaman.

11. Segala-galanya bermula susulan Perang Saudara antara Houthi di bawah pimpinan Abdul Malik Badruddin Al-Houthi yang disokong Iran dengan Presiden AbdRabu Mansour Hadi yang disokong Arab Saudi.

12. Dari segi teknikalnya, Presiden AbdRabu Mansour Hadi ketika itu yang disokong Saudi ialah pemerintah Yaman yang sah kerana beliau menang besar dalam pilihan raya 2012 selepas Ali Abdullah Saleh berundur sewaktu peristiwa Arab Spring. Meskipun seorang yang Sunni, beliau memperoleh sokongan besar termasuklah daripada warga Syiah hinggakan peratus undian beliau mengatasi jumlah pengundi Sunni yang sedia ramai di Yaman.

13. Namun Houthi menarik balik sokongan kepada beliau dan merampas kuasa pada awal 2015 apabila AbdRabu cuba bertindak mengurangkan subsidi petrol dan mewujudkan desentralisasi kuasa yang dilihat bakal memiskinkan lagi wilayah Saada Houthi di utara kerana akan wujud kemungkinan isu agihan peruntukan kewangan yang tidak setara dari kerajaan pusat kelak.

14. Presiden AbduRabbu yang dipaksa meletak jawatan selepas ditahan Pemberontak Houthi telah bekerjasama dengan Arab Saudi untuk menuntut kembali kedudukan beliau sebagai Presiden Yaman yang sah. Disebabkan Houthi mendapat sokongan kuat Tehran, maka AbdRabbu terpaksa mendapatkan sokongan Arab Saudi.

BACA:  Insiden Tembakan Rambang Ketika Solat Jumaat Di Masjid Chrischurch, Seorang Rakyat Malaysia Turut Menjadi Mangsa

15. Ternyata, Perang Arab Saudi ke atas Houthi ini turut dilihat sebagai perang proksi antara Arab Saudi dengan Iran – meski pun pada peringkat awal Iran bukanlah dianggap sebagai sekutu utama Houthi. Malah versi pegangan Syiah yang dianut kedua-dua Houthi dan Iran juga berbeza; Houthi mengamalkan Syiah Zaidiyah manakala majoriti di Iran pula bermazhab Syiah Imamiah.

16. Situasi saat ini bertambah getir dengan isu hangat hubungan tegang antara Iran dengan Amerika Syarikat susulan sekatan terbaharu Presiden Trump ke atas Tehran. Ketibaan ketumbukan kapal pengangkut pesawat USS Abraham Lincoln di Utara Laut Arab minggu lalu jelas mengisyaratkan betapa kritikalnya situasi antara Amerika-Arab Saudi-Iran saat ini.

17. Sememangnya diakui, langkah yang paling wajar bagi menamatkan perang saudara di Yaman ini adalah dengan rundingan yakni menguatkuasakan kembali Resolusi PBB 2216 yang menuntut puak pemberontak Houthi untuk mengembalikan senjata kepada kerajaan dan kembali ke meja rundingan.

18. Namun Houthi ternyata masih berkeras untuk menguasai Yaman melalui langkah bersenjata dan enggan tunduk kepada persetujuan genjatan senjata yang baru dimeterai di Stockholm, Sweden akhir tahun lalu. Serangan dron Houthi yang membunuh ramai pegawai kerajaan Yaman pro-Saudi di wilayah genjatan senjata Lahj pada Januari 2019 boleh dikatakan meranapkan terus usaha damai akhir tahun 2018 itu.

19. Maka campur tangan ketenteraan Arab Saudi dan sekutunya – yang juga berisiko ke atas nyawa orang awam – boleh difahami sebagai satu-satunya pilihan bukan sahaja untuk menghentikan perang saudara di Yaman, tetapi juga mencegah serangan Houthi ke atas wilayah Arab Saudi itu sendiri. Akibatnya, nyawa orang awam di Mekah, Yaman, dan Arab Saudi akan terus menjadi taruhan.

BACA:  JAIS Perkenal Kad Daftar Ibu-Anak Susuan

Walau apa sekali pun perancangan antara kesemua pihak yang bertelagah ini, perancangan Allah menegakkan janji-Nya melindungi Tanah Haram hingga ke akhir zaman tetap tidak akan tergugat.

Oleh: Abdul Muein Abadi
Penulis ialah Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *