Tazkirah

Tarbiyah Itu Tanpa Sempadan!

Orang berilmu dan beradab tidak akan diam di kampung halaman,
Tinggalkan negerimu dan merantaulah ke negeri orang
Merantaulah, kau akan dapatkan pengganti dari kerabat dan kawan
Berlelah-lelahlah, manisnya hidup terasa setelah lelah berjuang.
Aku melihat air menjadi rusak karena diam tertahan,
kan keruh menggenang.
Singa jika tak tinggalkan sarang tak akan dapat mangsa,
Anak panah jika tidak tinggalkan busur,
tak akan kena sasaran.
Jika matahari di orbitnya tidak bergerak dan terus diam,
Tentu manusia bosan padanya dan enggan memandang.
Bijih emas bagaikan tanah biasa sebelum digali dari tambang,
Kayu gaharu tak ubahnya seperti kayu biasa jika di dalam hutan.

Imam Syafi’ie (767-820M)

Hai Anak, Merantaulah!

Menjadi anak rantau di negara orang bukanlah sesuatu yang mudah, semuanya perlu berdikari dan pandai-pandai membawa diri. Agama, budaya, adat, makanan, fesyen, semuanya berbeza.

Namun begitu, semua perbezaan inilah yang menjadikan kita memperoleh suatu pengalaman yang sangat berharga. Orang kata jauh perjalanan luas pengalaman.

Maka, sejauh mana kita merantau, sebanyak itu jugalah kita jangan melepaskan peluang untuk mengutip pengalaman, ilmu dan tarbiyah.

Hasilnya, semua itu akan mempengaruhi nilai kehidupan kita untuk menjadi lebih baik setiap hari. Ya! Kerana pengalaman itu guru kepada perubahan.

Cebisan Pengalaman Di Negara Seberang

Sejak pertama kali menjejakkan kaki di bumi Jambi, Indonesia saya merafakkan kesyukuran bahawa ternyata ia mengajar saya erti syukur dan bersederhana.

Segala puji bagi Allah yang telah memberi saya peluang untuk melanjutkan pelajaran Sarjana Muda di negara orang, peluang untuk saya mengutip sebanyak mungkin pengalaman. Pengalaman untuk mendidik saya menjadi seorang manusia.

Suasana Kota Jambi tidaklah semegah Ibu Kota kita Kuala Lumpur, ia merupakan salah satu provinsi (negeri) di Indonesia yang memuatkan pelbagai budaya.

Budaya jawa paling banyak diterapkan di Kota Jambi ini. Jadi, saya tidak terlalu merasai kekakuan budaya kerana orang Malaysia juga memiliki adat jawa.

Meskipun nampak serupa tetapi tetap ada titik perbezaan yang menjadikan kita saling berkenalan untuk mengenali budaya masing-masing.

Signifikannya, saya ingin berkongsi bagaimana yang dikatakan tarbiyah itu tetap mengalir tanpa sempadan walaupun berpisah benua dan berbeza negara.

Hadis Pertama

Saya yakin kebanyakan orang mengetahui tentang hadis pertama ini, jika tidak mengetahui mari saya kongsikan hadis 1 iaitu,

BACA:  Jangan Terlalu Bermewah Sediakan Tempat Tidur

Daripada Amirul Mukminin Abu Hafsah, Umar bin al-Khatab r.a bekata, bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW bersabda;

“Sesungguhnya diterima amal perbuatan itu bergantung kepada niatnya, dan sesungguhnya bagi setiap orang akan mendapat apa yang diniatkannya. Sesiapa yang berhijrah kerana Allah dan Rasul-Nya, dia akan sampai kepada Allah dan Rasul-Nya. Sesiapa yang berhijrah menuju dunia yang akan diperolehinya atau menuju wanita yang hendak dinikahinya, dia akan mendapatkan apa yang diniatkannya.”
HR al-Bukhari, Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi, al-Nasa’i, Ibn Majah, Ahmad

Niat itu sangat penting dalam setiap amal perbuatan kita, niatlah yang akan menghantar kita ke destinasi dan matlamat yang kita ingin capai.

Tanpa niat yang lurus, maka akan bengkoklah perjalanan seseorang. Hakikatnya tarbiyah itu ada di mana-mana, cuma bagaimana kita mencari tarbiyah itu bergantung kepada niat.

Jika niat kita untuk mempelajari ilmu agama contohnya, meskipun kita mengambil bidang kejuruteraan ataupun kimia, pasti ada ruang dan peluang yang terbuka untuk kita menimba ilmu.

Sesungguhnya tarbiyah Allah itu umpama oksigen dalam kehidupan kita. Di Kota Jambi inilah saya mula mempelajari ilmu agama yang lebih mendalam.

Saya mengambil peluang untuk pergi ke kelas talaqqi mempelajari ilmu agama daripada tuan guru syeikh yang hebat dalam ilmu agama.

Sebaliknya, saya berfikir jika awal-awal lagi sudah memasang niat untuk berseronok semata berada di tempat orang maka hanya keseronokanlah yang diperolehi. Buang masa, wang dan tenaga.

Suka sekali saya berkongsi sedikit perkongsian daripada seorang syeikh dalam tausiyah beliau, katanya;

Sebagai seorang pelajar dari bidang syariah, usuluddin, kedoktoran, kejuruteraan dan apa sahaja bidang yang menjadi pilihan seharusnya kita ingat dan faham bahawa kita menuntut ilmu bukan hanya untuk diri kita sendiri. Bukan juga untuk kampung halaman kita dan bukan juga untuk negara kita, Malaysia semata-mata. Hakikatnya, kita belajar untuk umat seluruhnya. Sesungguhnya kita akan berkhidmat untuk Islam!

Kita perlu sedar bahawa apabila kita menuntut ilmu di mana pun jua maka semua usaha itu adalah untuk kita berkhidmat buat Islam satu hari nanti. Oleh itu, dengan tarbiyah inilah yang mampu mendidik kita menjadi orang yang faham.

Bulatan Gembira

Saya rasa term usrah, bulatan gembira, bulatan ukhuwah, Quran Circle sudah kedengaran biasa oleh golongan ikhwah, akhawat, naqib dan naqibah.(senyum simpul).

BACA:  Tazkirah Ringkas : Persiapan Menjelang Bulan Ramadan

Tahukah anda di mana-mana ceruk pelusuk dunia pun saya tetap bertemu dengan geng-geng naqib naqibah ini?

Apabila naqibah saya bercerita pengalaman dia membawa usrah Jepun, India, Indonesia saya rasa speechless dan mata seakan-akan dipenuhi bintang-bintang.

Saya pernah terfikir bagaimana tarbiyah usrah yang saya dapat sejak zaman diploma sewaktu saya di sini (Kota Jambi) dapat diteruskan?

Adakah akan berakhir dengan ungkapan Sodaqallahul’azim atau masih ada tangan-tangan yang ingin menarik saya kembali. Kuncinya, kita perlu mencari!

Ya, setiap minggu saya akan seat tiga atau empat orang untuk berbincang soal agama, memperbaiki mutabaah amal (catatan amalan harian), berkongsi cerita dan masalah. Terasa manisnya ukhuwah macam gula-gula kapas!

Jadi, jangan beralasan sudah mengucapkan selamat tinggal Malaysia maka selamat tinggal juga tarbiyah. Tidak sama sekali. Tarbiyah itu boleh melalui dari pelbagai medium.

Menulis, berapa ramai orang yang telah menulis buku? Berapa ramai orang yang menyumbang menulis artikel Tazkirah.net (contohnya).

Tarbiyah online, betapa ramai naqib dan naqibah yang menggunakan uslub (kaedah) media sosial sebagai medan dakwah. Nah, di situlah ruang dan peluang yang harus kita rebutkan agar tidak tergolong dalam golongan yang sia-sia.

“Katakanlah (Muhammad): “Apakah akan Kami beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?” “Iaitu orang yang telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahawa mereka berbuat sebaik-baiknya.”
Surah Kahfi: 103-104

Saya berharap moga-moga kita mampu mengisi masa lapang yang kita peroleh dengan sebaiknya agar masa yang kita ada berkualiti dan semakin meningkatkan amal. Insya-Allah.

Jimat Bukan Kedekut

Pengurusan kewangan sangat penting dalam kehidupan kita. Tidak terkecuali oleh sesiapa sahaja. Dalam konteks ini, saya ingin mengecilkan skop.

Bagi seorang anak rantau, pengurusan kewangan adalah perkara terpenting untuk diuruskan dengan bijak. Saya akui perspektif masyarakat beranggapan Indonesia merupakan negara yang mempunyai nilai mata wang yang agak rendah.

Saya menjadi jutawan di usia semuda ini tanpa diminta! (Jutawan rupiah hehe). Maka, saya tidak pernah menganggap nilai mata wang yang rendah menjadikan kita digalakkan untuk boros.

Saya tetap membuat jadual perbelanjaan saya agar saya tidak terlalu boros dan masih dapat menampung kehidupan saya yang masih dibawah tanggungan ibu bapa ini.

Fikirlah, jika wang yang kita nak belanja tu adalah hasil kiriman wang dari ibu bapa kita, tergamakkah anda makan sedap-sedap sedangkan ibu ayah mengikat perut untuk mencari rezeki semata-mata untuk menanggung pembiayaan pelajaran anda.

BACA:  Doa Pendinding & Penggerak sangat wajar diamalkan di zaman ini

Muhasabah kembali. Ini juga tarbiyah yang saya pelajari agar pandai mengawal perbelanjaan dengan membezakan keperluan dan kemahuan. Tips mengatur kewangan sebagai pelajar di luar negara:
#1- Memasak lebih membantu untuk berjimat daripada setiap hari membeli makanan di luar.
#2- Membuat survey di tempat yang murah dan berpatutan.
#3- Membuat jualan seperti makanan kepada mahasiswa khususnya.
#4- Tidak boros dan membuat jadual kewangan setiap bulan.
#5- Senaraikan yang mana satu keperluan dan kemahuan.
#6- Menetapkan target perbelanjaan setiap bulan.
#7- Banyakkan bersedekah.

Sebuah Perjalanan Kehidupan

Sebenarnya, banyak lagi yang saya ingin kongsikan bagaimana tarbiyah itu membentuk diri kita menjadi seorang manusia. Mungkin saya boleh mula menulis sebuah travelog yang boleh dibukukan. Eh. (Suatu hari nanti, Insya-Allah).

Dalam hidup ini apalah yang bermakna andai kita setiap hari hanya menjadi manusia yang berjiwa robot. Mengulang kitaran hidup yang sama setiap hari, jika itu makna kehidupan bagi seorang manusia apalah bezanya kita dengan makhluk yang lain.

Allah SWT menciptakan kita dengan sebaik-baik kejadian. Betapa ramai jiwa yang masih tercari-cari erti hidup yang sebenar. Maka dengan tarbiyah Islam inilah yang mampu membuka jalan bagi jiwa-jiwa yang memerlukan.

Anda yang sudah mempunyai kefahaman bila lagi mahu berkongsi pengalaman dan ilmu untuk dimanfaatkan? Kehidupan kita tidak akan lari daripada berhadapan dengan manusia yang pelbagai karakter.

Disinilah kita meluaskan ukhuwah walau dimana kita berada dengan siapa kita hidup dan sejauh mana perbezaan adat, budaya, kita tetap sama andai syahadatul haq menjadi pegangan. Sampaikanlah walau dengan satu ayat. Ingat pesan Rasulullah kita.

Oleh itu, lakarlah sebuah perjalanan kehidupan anda yang mempunyai makna untuk anda bawa ke dalam masyarakat.

“Kita belajar di negara orang, hasilnya bawalah untuk kebaikan buat negara kamu”

Pesanan pensyarah saya di sini (Kota Jambi) amat menjadikan saya kembali berfikir, jika segulung ijazah sarjana muda kelak bakal saya raih, adakah ia mampu untuk membangun tanah air saya suatu hari nanti? Tepuk dada tanya iman.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *