Ibadah, Solat

Tanpa Sedar Anda Mungkin Melakukan 10 Kesalahan Ini Dalam Solat

Solat mempunyai 13 rukun dan lima syarat sah solat. Ia tunjang yang menjadikan solat yang dilakukan itu teratur dan sempurna. Namun selain itu, ada perkara-perkara lain yang dapat mengganggu kesempurnaan solat bahkan mungkin dapat membuatkan solat yang dilakukan terbatal. Berikut antaranya:

#1- Terlalu Cepat Dalam Pergerakan (Tidak thuma’ninah)

Erti thuma’ninah bererti tenang ketika sedang rukuk, iktidal, sujud dan duduk antara dua sujud, Thuma’ninah adalah rukun dalam solat dan tidak sah solat tanpanya.

Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari satu rukun ke rukun lainnya.

Daripada Abu Hurairah R.anhu, Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا قُمْتَ إِلَى الصَّلاَةِ فَكَبِّرْ ثُمَّ اقْرَأْ مَا تَيَسَّرَ مَعَكَ مِنَ الْقُرْآنِ. ثُمَّ ارْكَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ رَاكِعًا. ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَعْتَدِلَ قَائِمًا. ثُمَّ اسْجُدْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ سَاجِدًا. ثُمَّ ارْفَعْ حَتَّى تَطْمَئِنَّ جَالِسًا. وَافْعَلْ ذَلِكَ فِي صَلاَتِكَ كُلِّهَا
(رواه البخاري)

Maksudnya: “Apabila kamu hendak mendirikan sembahyang, maka bertakbirlah, kemudian bacalah sesuatu yang mudah yang ada bersama kamu dari al-Qur’an. Kemudian ruku‘lah sehingga kamu thuma’ninah dalam ruku‘. Kemudian bangunlah (dari ruku‘) sampai kamu tegak berdiri (i‘tidal). Kemudian sujudlah sehingga kamu thuma’ninah dalam sujud. Kemudian bangunlah (dari sujud) sampai kamu thuma’ninah dalam duduk. Dan lakukanlah demikian itu dalam setiap sembahyangmu.” (Hadis riwayat Al-Bukhari)

#2- Tidak Betul-Betul Sujud Dengan Tujuh Anggota Sujud

Anggota sujud itu ada tujuh sepertimana yang telah disebutkan dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Ibnu ‘Abbas R.anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أُمِرْتُ أَنْ أَسْجُدَ عَلَى سَبْعَةِ أَعْظَمٍ: عَلَى الْجِبْهَةِ- وَأَشَارَ بِيَدِهِ عَلَى أَنْفِهِ- وَالْيَدَيْنِ وَالرُّكْبَتَيْنِ وَأَطْرَافِ الْقَدَمَيْنِ…
(رواه البخاري)

BACA:  Pernikahan Sebagai Satu Ibadah

Maksudnya: “Aku diperintahkan untuk sujud di atas tujuh tulang, iaitu: pada dahi dan Baginda menunjuk dengan tangan Baginda kepada hidung Baginda, dua tangan, dua lutut dan jari-jari dari dua telapak kaki….” (Hadis riwayat al-Bukhari – Hadis Sahih)

Perlu diperhatikan adakah ketujuh-tujuh anggota sujud ini mengenai sejadah apabila kita sujud – contohnya telapak jari-jari kaki perlu ditekan sedikit sehingga benar terasa pada sejadah dan bukan sekadar di bucu jari sahaja.

#3- Pergerakan Lebih Cepat Daripada Imam

Pergerakan yang mendahului imam boleh menyebabkan solat batal. Makmum hendaklah mengikuti imam, tidak mendahului atau terlambat.

Rasulullah SAW bersabda: “Sesungguhnya diadakannya imam itu untuk diikuti, kerana itu jika dia bertakbir, bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan kalian rukuk sampai dia rukuk…” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

#4- Bangun Dari Duduk Terlalu Cepat Sebelum Imam Selesai Memberi Salam Pada Penghujung Solat

Seharusnya, makmum yang bersolat bersama imam dalam keadaan masbuk perlulah menunggu sehingga imam benar-benar selesai memberikan salam barulah dia bangun dari duduk untuk menyelesaikan rakaat yang belum cukup.

#5- Mengenakan Pakaian Nipis

Sebahagian wanita mengenakan pakaian yang dipakai sahaja tanpa memakai telekung atau baju sembahyang. Tidak ada masalah jika aurat ditutup sempurna, namun masalah tentang aurat biasanya pada penggunaan sarung kaki. Kadang kala ia terlalu nipis dan dan ternampak jelas warna kulit.

Kadar penutup atau pakaian yang menutup aurat seperti kata Imam al-Syairazi dalam al-Muhazzab (125/1), “dan wajib penutupan aurat itu dengan suatu yang tidak mensifati warna kulit.”

Syeikh al-Syirwani dalam Hasyiah Tuhfah al-Muhtaj (2/112) juga menyebut: “Dan hendaklah digunakan kaedah demikian dengan tidak memberi mudarat (pada kesahihan solat) apabila dilihat kulit dengan medium (suluhan cahaya) matahari atau api yang apabila tiada maka tidak boleh dilihat.”

BACA:  4 Kelebihan Puasa Enam Yang Perlu Anda Rebut

Justeru, pihak Mufti Wilayah Persekutuan mengatakan bahawa stoking wanita yang kelihatan nipis tetapi tidak boleh dilihat warna kulitnya, dan tidak boleh dibezakan warna kulit hitam atau putihnya, dalam jarak kira-kira 1.5 meter, adalah boleh dipakai oleh wanita semasa solat.

#6- Tidak Melakukan Takbiratul Ihram Ketika Mendapati Imam Sedang Rukuk

Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan dalam keadaan berdiri, kemudian barulah mengikuti imam yang sedang rukuk.

#7- Tidak Langsung Mengikuti Keadaan Imam Ketika Masuk Masjid

Orang yang masuk masjid hendaknya langsung mengikuti imam, baik ketika itu sedang duduk, sujud atau lainnya.

Rasulullah bersabda: “Jika kalian datang untuk solat dan kami sedang sujud, maka sujudlah!” (Hadis riwayat Abu Daud).

#8- Memejam Mata Ketika Solat

Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa keperluan. Tetapi, jika memejamkan mata diperlukan, contohnya jika ada gangguan di sekitar seperti gambar, dan perbuatan menutup mata boleh membantu menambahkan kekhusyukan maka ianya dibolehkan.

#9- Tidak Rukuk Dengan Sempurna

Diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam kitab musnadnya dari hadis Abi Qotadah RA bahawa Nabi SAW bersabda: Orang yang paling buruk adalah orang yang mencuri dari solatnya”.

Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah bagaimanakan seseorang mencuri dari solatnya?. Beliau bersabda: Dia tidak menyempurnakan rukuk dan sujudnya”. Atau beliau bersabda: Dia tidak menegakkan tulang punggungnya pada saat dia ruku’ atau sujud”

Tanda rukuk yang sempurna boleh dikenal pasti apabila badan anda membentuk kira-kira 90 darjah apabila rukuk dengan tangan diletakkan di atas tempurung lutut dan kaki diluruskan (tidak dikendurkan atau bengkok).

#10- Tidak Melurus Atau Merapatkan Barisan Ketika Berjemaah

Nabi Muhammad SAW bersabda: “Kalian mahu meluruskan barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara hati kalian.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

BACA:  Fadhilat Menghidupkan Malam Hari Raya

Merapatkan saf juga akan membuat syaitan tidak menempati celah yang kosong. Dari Abu Umamah RA, Rasulullah SAW ketika merapatkan saf, beliau mengatakan,

وَسُدُّوا الْخَلَلَ؛ فَإِنَّ الشَّيْطَانَ يَدْخُلُ فِيمَا بَيْنَكُمْ بِمَنْزِلَةِ الْحَذَفِ

“Tutup setiap celah saf, kerana syaitan masuk di antara saf kalian seperti anak domba.” (HR. Ahmad, 5: 262. Kata Syaikh Syu’aib Al-Arnauth hadits ini sahih lighairihi).

Semoga dengan panduan ini, kita dapat memperbaiki mana-mana kesalahan yang masih dilakukan di dalam solat, seterusnya menjadikan solat kita menuju sempurna.

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *