≡ Menu

Tajassus, Jangan Ambil Tugas Malaikat

“Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan berprasangka, kerana sesungguhnya sebahagian tindakan berprasangka adalah dosa dan janganlah kamu mencari-cari kesalahan orang lain.” (Surah al-Hujurat, 49:12)

Tajassus membawa erti mencari-cari kesalahan dan aib orang lain. Berdasarkan ayat al-Quran di atas, Syeikh Abu Bakar bin Jabir berkata, haram ke atas orang-orang yang berusaha untuk mencari kesalahan dan menyelidiki aib-aib kaum muslimin dan menyebarkannya.

Rasulullah SAW ada meriwayatkan, Abu Hurairah berkata:

“Tidaklah seorang hamba menutupi aib orang lain di dunia kecuali Allah akan menutupi aibnya pada hari kiamat.” (Hadith Riwayat Muslim)

Jika kita berusaha untuk menutup aib dan cuba sedaya-upaya untuk tidak menyebarkannya melalui mana-mana ruang atau platform contohnya di media sosial atau di dunia nyata, Allah akan melindungi aib kita sama ada di dunia mahupun di akhirat.

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

Orang yang Tidak Tenteram

Manusia yang bersikap suka menjaga tepi kain oran lain dalam perkara-perkara yang tidak baik dengan alasan untuk mengambil berat, maka dia adalah di antara orang yang tidak tenang hidupnya.

Mengambil berat dan tajassus adalah dua perkara yang berbeza. Mengambil berat ialah dengan memberi perhatian terhadap sesuatu perkara untuk tujuan yang baik seperti bertanya khabar rakan, mengambil tahu hal jiran untuk tujuan keselamatan.

Manakala tajassus adalah mencari kesalahan orang lain seperti dalam istilah terkini, iaitu membawang, mengumpat dan seumpamanya. Janganlah kita terolong dalam golongan ini.

Golongan ini akan mudah mendapat penyakit hati seperti iri hati, dengki dan tidak puas hati yang melampau. Ia akan menyebabkan hati kita berada dalam keadaan tidak tenteram dan sentiasa ingin mencari tahu setiap benda yang terjadi di sekeliling untuk tujuan negatif.

BACA:  Wanita solehah permata suami

Manusia seharusnya menjauhkan diri daripada perkara-perkara yang menyebabkan penyakit hati. Hati yang gelap akan susah mendapat hidayah Allah. Firman Allah yang bermaksud:

“Sebenarnya ayat-ayat kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab kotoran kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.”
(Surah al-Mutaffiffin, 83:14)

Tugas Malaikat Raqib dan ‘Atid

Dalam rukun iman, kita wajib percaya kepada para malaikat. Terdapat 10 malaikat yang wajib dipelajari. Antaranya ialah malaikat Raqib dan ‘Atid yang tugasnya ialah pencatat amal. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

“Wahai manusia, ingatlah ketika dua malaikat yang ditugaskan mencatat setiap amal manusia saling bertemu. Yang satu berada di sebelah kanan dan yang lain duduk di sebelah kiri. Tiada satu kata yang diucapkannya melainkan ada di sisinya Raqib dan ‘Atid.”

Tugas kedua-dua malaikat ini adalah mencatat segala amal baik dan buruk yang dilakukan manusia. Biar malaikat sahaja yang mencatat baik buruk manusia. Tidak perlu kita mengambil tugas malaikat dengan sibuk mengambil tahu hal keburukan orang lain, lebih teruk lagi ada yang terus menilai dan menghukum tanpa usul periksa.

Ingatlah bahawa perkara itulah yang akan malaikat catat ke dalam buku amal kita. Justeru, janganlah kita sebagai manusia cuba untuk bersikap tajassus. Tugas manusia adalah untuk sentiasa berbuat amal dan kebaikan dan tugas malaikat adalah mencatatnya untuk dihitung di hari akhirat kelak.

Betapa Indahnya Berbaik Sangka

“Jauhilah prasangka buruk, kerana prasangka buruk adalah sedusta-dustanya perkataan. Dan janganlah kalian saling mencari kejelekan orang lain, saling mendengki, saling membenci dan saling membelakangkan. Jadilah kalian hamba-hamba Allah yang bersaudara.”

BACA:  9 Amalan Mudah Untuk Menghidupkan Bulan Ramadan

Sebenarnya, untuk mengelakkan diri daripada perbuatan tajassus, kita hendaklah sentiasa berbaik sangka dengan perkara yang terjadi di sekeliling. Berbaik sangka akan memberi ketenangan dan keharmonian kepada semua. Apabila menerima maklumat, hendaklah kita selidik dahulu sama ada maklumat tersebut boleh dipercayai atau tidak. Firman Allah yang bermaksud:

“Hai orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa suatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu lakukan” (Surah al-Hujurat, 49:6)

Andai kita sudah terjerumus dengan perbuatan itu, maka, istighfarlah. Dengan itu, Allah akan membuang titik-titik hitam di hati kita. Semoga kita sentiasa dijauhkan daripada melakukan perkara-perkara yang dimurkaiNya.

 

Sumber: tzkrh.com 

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel