Ibadah, Isu Semasa

Solat ubat gejala sosial

SEJAK kebelakangan ini, cuaca di Kuala Lumpur tidak menentu. Mungkin begitu juga di tempat lain. Kadangkala panas terik pada waktu pagi, hujan lebat pada waktu petang dan tenang pada waktu malam.

Seolah-olah menggambarkan hati dan jiwa manusia itu yang sentiasa berubah-ubah nadanya. Ada masanya gembira, ada kalanya berduka cita dan kadangkala bercampur baur. Begitu juga kisahnya mengenai iman manusia yang sukar diramal.

Waktu pagi dia hamba taat kepada Allah, tetapi sebelah petangnya dia kufur kepada nikmat Allah. Nauzubillah.

Sebenarnya, perkara ini memerlukan kita sentiasa bermuhasabah. Menilai kembali setiap amalan kita, adakah kita melakukan suruhan yang dianjurkan syariat dan pada masa sama kita masih melakukan maksiat kepada Allah tanpa disedari.

Jiwa saya tersentak baru-baru ini ketika melewati sebuah kereta yang diletakkan di tepi jalan di sebuah tempat di Kuala Lumpur. Berhampiran tempat itu ada premis menjual nombor ramalan (nombor ekor).

Saya lihat pemandunya sibuk membelek tiket nombor ramalan itu dan saya pasti dia berbangsa Melayu.

Namun lebih menyentak hati saya apabila melihat seorang kanak-kanak duduk di sebelahnya hanya memerhatikan lelaki itu membelek tiket judi. Alangkah malangnya jika itu adalah anaknya.

Kemudian saya jalan pula melewati sebuah kedai mamak dan saya lihat sekumpulan orang Melayu (mungkin beragama Islam) sibuk berborak. Apabila dihampiri, rupa-rupanya mereka sibuk membelek tiket judi sambil bertukar-tukar pandangan.

Entah apa dibualkan saya tidak pasti, tapi yang pasti daripada riak muka langsung tiada rasa bersalah.

Belum lagi berbicara mengenai orang Islam meminum arak. Walaupun terang-terangan tahu minuman syaitan itu haram dalam Islam, namun apa ditegah syariat, itu yang paling mahu dilakukan umpama tiada lagi air lain untuk diminum.

BACA:  Hukum Akad Nikah Menerusi Sidang Video (Video Conference)

Hasilnya, lihat saja di dada akhbar setiap hari tidak pernah sunyi daripada berita jenayah. Hati sayu apabila terbaca kisah seorang anak gadis berumur 16 tahun dibunuh dalam rumahnya minggu lalu seperti dilaporkan media tempatan.

Kerana melawan untuk mempertahankan diri daripada diperkosa, mangsa dipukul dengan kayu sehingga patah tengkuknya dan hampir putus telinganya. Tidak cukup dengan itu, dilemaskan pula di dalam kolah air di rumah sendiri.

Kemudian terbaca pula kisah seorang lelaki tua berpangkat ‘datuk’ yang ditangkap dan dihukum penjara akibat memperkosa anak gadis berumur belasan tahun.

Tidak jemukah kita membaca berita jijik dan menyayat hati ini setiap hari? Atau kita sudah sampai tahap menjadikan ia satu berita biasa yang dilaporkan media massa setiap hari? Mungkin tiba masanya kita melihat kembali kehidupan kita. Apa amalan kita, apakah makanan yang kita makan dan apakah sumber pendapatan kita.

Seorang pembunuh dulunya tidak pernah tahu atau berfikir dia akan menjadi pembunuh. Seorang perogol pula tidak pernah menyangka dia boleh menjadi penjenayah satu hari nanti.

Semua bermula dengan amalan. Mungkin kita memberi alasan bahawa kita terdesak memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan dan menguruskan persekolahan anak.

Mungkin juga kita boleh memberi seribu alasan mengapa kita melakukan perkara yang ditegah oleh syarak walaupun setelah mengetahui hukum yang diturunkan kepadanya.

Alasan demi alasan tidak sesekali boleh menjamin seseorang itu tidak menjadi ‘parasit’ dalam masyarakat satu hari nanti. Kerana setiap amalan mungkar yang kita lakukan, titik hitam dalam hati semakin membesar. Daripada setitik, lama-kelamaan menggelapkan hati.

Apabila gelap hati, tiadalah cahaya iman boleh menembusi hati sanubari. Maka hidupnya akan terasa kosong, gelisah dan berduka cita.

BACA:  Kelebihan solat 5 waktu terutama Subuh

Ketika itu mula rasa mahu mencuba sesuatu yang bukan saja ditegah syarak, malah jadi kesalahan jenayah.

Pokok pangkalnya, jangan sesekali kita meninggalkan solat walau apa pun alasannya. Kecuali bagi golongan wanita yang didatangi Haid, baru Islam melepaskan kewajipan ini ke atas mereka.

Saidina Umar pernah berkata, sesiapa memelihara solat dan tetap mengerjakannya, bererti dia memelihara agamaa. Barang siapa mensia-siakannya, ia mensia-siakan kewajipan agamanya.

Solat adalah tiang agama dan semulia-mulia Rukun Islam yang lima selepas dua kalimah syahadah. Tanpa solat, runtuh agama seseorang itu. Jika diibaratkan dengan jasad manusia, kedudukannya ialah kepala. Orang yang tidak berkepala tidak akan hidup, demikian juga tidak akan hidup agama bagi orang yang tidak mengerjakan solat.

Dalam kitab At-Tanwir, Sidi Ahmad bin Ata’illah berkata: “Solat amat besar kemuliaannya dan keadaannya di sisi Allah amatlah berat.” Kerana itu Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Sesungguhnya solat itu mencegah perbuatan keji dan mungkar.” (Surah Al-Ankabut, 45) Rasulullah SAW pernah ditanya mengenai amalan paling mulia dan baginda membalasnya bahawa: ”(Semulia-mulia amal) ialah solat yang dikerjakan pada waktunya.” (Hadis Riwayat Bukhari) Perintah dan gesaan terhadap solat supaya memeliharanya banyak dijelaskan dalam al-Quran. Sudah pasti dengan perintah itu, tiada sesiapa dapat menyangkal kewajipan mengerjakannya, walau dalam keadaan apa sekalipun.

Antaranya sebagaimana maksud surah Al-Baqarah, ayat 238 yang bermaksud: “Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala solat fardu khasnya solat Wusta (solat Asar) dan berdirilah kerana Allah (dalam solat kamu) dengan taat dan khusyuk.” Solat lima waktu mesti dikerjakan setiap Muslim yang secukup syaratnya, baik lelaki mahupun perempuan, tua dan muda.

BACA:  TH bayar hibah guna simpanan pendeposit - PwC

Tidak mampu berdiri kerana uzur, dikerjakan dalam keadaan duduk dan jika tidak mampu lagi, dalam keadaan baring, malah jika masih tidak mampu, solat dengan isyarat.

Penegasan ini menunjukkan solat adalah satu perkara besar, tidak boleh diringankan, jauh sekali meninggalkannya. Malah, solat juga syiar yang membezakan antara Muslim dan bukan Muslim.

Syiar Islam dengan sendirinya terpancar apabila umat Islam mengerjakan solat, lebih-lebih lagi dengan solat berjemaah di masjid.

Tiada siapa mampu mengawal kejahatan dalam diri kita selain diri sendiri yang ‘mentarbiah’ dan menundukkannya.

Tidak syak lagi, cara terbaik untuk menghindarkan diri daripada melakukan maksiat adalah dengan mengerjakan solat.

Imam Muda Hassan

3 Comments

  1. sangat benar, sholat selain membawa ketenangan juga menghindari kita dari perbuatan dosa..

  2. astghfirullahhalazim……………………….insyallah manusia di bumi ini akan berubah………………..ingat lh hari kiamat itu akan dtg pade bile2x mase sahaja……………….

  3. astghfirullahhalazim……………………….insyallah manusia di bumi ini akan berubah………………..ingat lh hari kiamat itu akan dtg pade bile2x mase sahaja……………….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!