Tazkirah, Tokoh Islam

Sirah Rasul: Nabi Nuh, Rasul Ulul Azmi Yang Pertama

إِنَّهُ مِنْ عِبَادِنَا الْمُؤْمِنِينَ
ثُمَّ أَغْرَقْنَا الْآخَرِينَ

“Sesungguhnya Nabi Nuh itu dari hamba-hamba Kami yang beriman. Kemudian Kami tenggelamkan golongan yang lain (yang mendustakannya).”
(Surah As-Saffat, 37:81-82)

Kisah Nabi Nuh sangat terkenal di kalangan kita semua. Malah ada yang mengenalinya sebagai pembuat bahtera paling besar dan zaman terjadinya banjir besar. Nama Nuh telah disebut sebanyak 40 kali di dalam al-Quran. Mari kita lihat sirah hidup beliau yang telah diceritakan menurut beberapa dalil dan nas al-Quran serta hadis.

Menurut Tafsir Ibnu Kathir, nama penuh beliau ialah Nuh bin Laamak bin Matausyelakh bin Khanaukh bin Yarud bin Mahlayal bin Qainan bin Anausy bin Syeets bin Adam.

Beliau telah dilahirkan selepas wafatnya Nabi Adam dalam tempoh 126 tahun (menurut beberapa buah riwayat). Ini adalah berdasarkan catatan Ibnu Jarir dan ulama ahli sejarah yang lain. Menurutnya lagi, sehingga zaman nabi Nuh, terdapat sepuluh generasi yang sudah berkembang.

Tiada riwayat yang sahih berkenaan tempat kelahiran beliau, namun ada riwayat yang mengatakan bahawa beliau telah wafat di Mekah al-Mukaramah. Dikatakan bahawa, zaman Nabi Nuh adalah antara 3993 SM sehingga 3040 SM. Ada juga riwayat yang mengatakan bahawa kaum dan tempat asalnya adalah di Selatan Iraq.

Nabi Nuh telah berkahwin dengan seorang perempuan di tempatnya dan dikurniakan empat orang cahaya mata lelaki, iaitu ‘Aan, Saam, Yaafith dan Haam.

Terdapat sebuah riwayat oleh Abu Bakar al-Bazzar yang diterima dari Ibrahim bin Hanii’ dan Ahmad bin Husain bin Ubadd Abud Abbas, dari Muhammad bin Zaid bin Sinan ar-Rahawiy dari Abu Yahya bin Sa’id, dari Sa’id bin Musayyab dari Abu Hurairah bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:

“Anak-anak Nuh (yang masih tinggal terdiri dari) Saam, Haam dan Yaafith. Sam menurunkan bangsa Arab, Parsi dan Romawi dan kebaikan ada pada mereka. Yaafith menurunkan bangsa Ya’juj, Ma’juj, Turki, Scolabiy dan tak ada kebaikan bagi mereka. Haam menurunkan bangsa Qibthi (Negro), Barbar dan Sudan.”

Jika dilihat dari sirah juga, kaum Nabi Nuh tidak diberi gelaran yang khusus seperti kaum-kaum lain. Sebagai contoh, kita dapat lihat kaum Nabi Luth ialah Kaum ‘Ad dan kaum Nabi Musa ialah Israel.

Kaum Yang Pertama Syirik KepadaNya

Berdasarkan beberapa buah riwayat sahih yang telah dinyatakan, kaum Nabi Nuh merupakan kaum pertama yang telah melakukan dosa besar, iaitu syirik kepadaNya dengan menyembah patung dan berhala yang telah dicipta sejak zaman sebelumnya.

Berdasarkan sebuah riwayat oleh Ibnu Abbas yang bermaksud:

“Selepas kewafatatan Wadd, Suwaa’, Yaghut, Ya’uuq dan Nasr (nama-nama orang soleh pada zaman nabi Nuh dan sebelumnya), syaitan telah membisikkan berita kepada masyarakat sekitarnya agar mendirikan suatu bangunan (patung) pada bekas tempat duduk yang pernah didiaminya dengan nama masing-masing sebagai peringatan. Mereka pun mengerjakan bisikan syaitan itu tetapi tidak pula menyembahnya.

BACA:  Manhajus Salikin: Larangan bagi yang Berhadas Kecil

Setelah berlalu beberapa zaman, (orang yang mendirikan bangunan telah meninggal dan terhapusnya pengetahuan masyarakat mengenai orang soleh itu), maka syaitan membisikkan lagi supaya menyembah bangunan (patung) tersebut. Ibnu Abbas mengatakan bahawa, selepas itu jadilah berhala-berhala yang telah diciptakan oleh kaum Nabi Nuh.”

Sebuah riwayat yang sama juga diceritakan oleh Ibnu Jarir di dalam tafsirnya, at-Thabari mengatakan riwayat yang diterima dari Ibnu Hamid dari Muhran dari Sufyan dari Musa dari Muhammad bin Qais berkenaan peristiwa dan asal-usul penyembahan berhala ini.

Menurut mereka lagi, sebelum ini sudah ada kemungkaran yang berlaku, namun ia hanyalah sekadar kezaliman dan dosa-dosa kecil. Wujudnya penyembahan patung dan berhala adalah kerana ilmu pengetahuan berkenaan sejarah binaan patung tersebut telah hilang dan lupus.

Hal ini kerana, pada awalnya ia hanyalah sekadar tugu kenang-kenangan, namun dengan berlalunya zaman ditambah lagi dengan pengaruh syaitan, maka ia telah disalah gunakan.

Dakwah Nabi Nuh

Oleh sebab itu, Nabi Nuh telah diutus sebagai nabi dan Rasul untuk menyampaikan dakwah serta mengembalikan ajaran ilmu tauhid yang sebenar.

Mafhum: “Pada mulanya manusia itu ialah umat yang satu (menurut agama Allah yang satu, tetapi setelah mereka berselisihan), maka Allah mengutuskan Nabi-nabi sebagai pemberi khabar gembira (kepada orang-orang yang beriman dengan balasan syurga) dan memberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar dengan balasan neraka).” (Surah Al-Baqarah, 2:213)

Beliau telah berdakwah selama beratus tahun, namun hanya sedikit sahaja umatnya yang beriman, malah kaum Nabi Nuh sendiri yang tidak ingin beriman kepada Allah dan berani mencabar Allah dan nabiNya.

قَالُوا يَا نُوحُ قَدْ جَادَلْتَنَا فَأَكْثَرْتَ جِدَالَنَا فَأْتِنَا بِمَا تَعِدُنَا إِن كُنتَ مِنَ الصَّادِقِينَ

“Mereka berkata: “Wahai Nuh! Sesungguhnya engkau telah bertikam lidah membantah kami lalu engkau banyakkan sangat hujah semasa mengemukakan bantahanmu kepada kami; oleh itu, datangkanlah azab Allah yang engkau janjikan kepada kami, jika betul engkau dari orang-orang yang benar.”
(Surah Hud, 11: 32)

Beliau diperintahkan oleh Allah untuk membina sebuah bahtera yang sangat besar. Sebelum ini, tidak pernah wujud lagi bahtera besar seperti yang akan diciptakan oleh Nabi Nuh a.s.

Menurut riwayat Muhamamd bin Ishak yang diterima dari at-Thauri mengatakan bahawa kapal itu berukuran 80 hasta panjang, iaitu sekitar 40 meter. Bahagian luar dan dalamnya disaluti dengan tar (minyak aspal) manakala bahagian bawahnya dibentuk cengkung membelah air.

Qatadah pula mengatakan bahawa kapal itu berukuran 300 hasta panjang, iaitu lebih kurang 150 meter serta seluas 50 hasta, iaitu 25 meter. Manakala, menurut Hasan al-Basri, kapal itu berukuran 600 hasta panjang atau sekitar 300 meter dengan lebar 300 hasta, iaitu 150 meter.

BACA:  Ketahui Sebab Isteri Anda Selalu Marah-Marah

Terdapat banyak riwayat yang telah diceritakan berkenaan besarnya kapal Nabi Nuh a.s, Namun, apa yang dapat digambarkan ialah, besarnya kapal tersebut sehingga tiada yang dapat menandinginya lagi.

Sepanjang pembuatan kapal tersebut, Nabi Nuh telah diejek oleh mereka yang tidak ingin beriman. Mereka mengejek dengan ucapan-ucapan yang menghina kepercayaannya. Hal ini diceritakan oleh Allah melalui kalamnya yang berbunyi:

وَيَصْنَعُ الْفُلْكَ وَكُلَّمَا مَرَّ عَلَيْهِ مَلَأٌ مِّن قَوْمِهِ سَخِرُوا مِنْهُ ۚ قَالَ إِن تَسْخَرُوا مِنَّا فَإِنَّا نَسْخَرُ مِنكُمْ كَمَا تَسْخَرُونَ

Mafhum: “Dan Nabi Nuh pun membuat bahtera itu, dan tiap-tiap kali puak dari kaumnya melalui tempat ia membina bahteranya, mereka mengejek-ejeknya. Nabi Nuh pun menjawab: “Jika kamu memandang kami bodoh (kerana membuat bahtera ini), maka sesungguhnya kami juga memandang kamu bodoh (kerana keingkaran kamu), sebagai (balasan) ejekan kamu.” (Surah Hud, 11:38)

Apabila bahtera itu telah siap sepenuhnya, maka Allah telah menurunkan hujan yang berpanjangan. Allah telah memerintahkan Nuh dan pengikutnya untuk menaiki kapal dan belayar sehingga hujan berhenti dan banjir surut.

Mafhum: “Kemudian, apabila engkau dan orang-orang yang bersamamu telah berada di atas bahtera itu, hendaklah engkau (bersyukur kepada Allah dengan berkata: “Segala puji tertentu bagi Allah yang telah menyelamatkan kami daripada orang-orang yang zalim.” (Surah al-Mukminun, 23:28)

Berdasarkan beberapa riwayat, hanya 83 orang sahaja pengikut Nabi Nuh yang selamat dengan menaiki kapal. Ini adalah termasuk dengan tiga orang anak lelakinya, iaitu Saam, Yaafith dan Haam, manakala isterinya dan seorang lagi anak lelakinya turut ingkar.

Peristiwa ini menjelaskan bahawa iman itu tidak dapat diwarisi. Hidayah Allah sangat luas dan hanya Dia sahaja yang berkuasa memberikannya kepada sesiapa yang dikehendakiNya.

Peribadi Nuh a.s

Berdasarkan beberapa riwayat dan dalil di dalam al-Quran, Nabi Nuh mempunyai peribadi yang sangat mulia sehingga beliau diangkat sebagai Rasul Ulul Azmi yang pertama. Ulul Azmi merupakan gelaran yang telah diberikan kepada para rasul yang memiliki kedudukan yang tinggi disebabkan ketabahan dan kesabarannya yang luar biasa dalam menyebarkan dakwah kepada kaumnya.

Mafhum: “(Jika demikian akibat orang-orang kafir yang menentangmu Wahai Muhammad) maka bersabarlah engkau sebagaimana sabarnya rasul-rasul ‘Ulil-Azmi’ (yang mempunyai keazaman dan ketabahan hati) dari kalangan rasul-rasul (yang terdahulu daripadamu).” (Surah Al-Ahqaf, 46:35)

Walaupun kaumnya tidak ramai yang beriman kepada Allah, namun beliau tetap diangkat sebagai ulul azmi kerana sifatnya yang luar biasa dalam menyampaikan dakwah.

Antara keperibadian beliau yang boleh dicontohi ialah:

#1 – Hamba Yang Bersyukur

Mafhum: “(Wahai) keturunan orang-orang yang telah Kami bawa bersama-sama dengan Nabi Nuh (di dalam bahtera)! Sesungguhnya ia adalah seorang hamba yang bersyukur.” (Surah Al-Isra, 17:3)

Beliau diceritakan sebagai seorang yang suka memuji (bersyukur) Allah ke atas makanan, minuman, pakaian dan setiap apa yang diterimanya.

BACA:  Jauhi Sifat Tamak Dan Suka Angan-angan

#2 – Tidak Berputus Asa

Mafhum: “(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: “Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman).” (Surah Nuh, 71:5)

Beliau telah berdakwah terhadap kaumnya dengan dakwah yang lama, pada setiap waktu sama ada siang atau malam. Namun, beliau tidak pernah berputus asa dengan perintah Allah itu walaupun hasilnya hanyalah sedikit sahaja yang beriman.

#3 – Malu Terhadap Allah

Nabi-nabi yang diberi darjat untuk berdakwah kepada kaumnya telah diberi satu mukjizat, iaitu sebuah doa yang akan dikabulkan. Seperti Nabi Muhammad, syafaatnya itu akan diberikan pada hari kiamat kelak.

Beliau dikatakan sangat malu terhadap Allah kerana telah menggunakan mukjizat tersebut dengan mendoakan kaumnya seperti doa berikut:

Mafhum: “Dan Nabi Nuh (merayu lagi dengan) berkata: “Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau biarkan seorang pun dari orang-orang kafir itu hidup di atas muka bumi! Kerana sesungguhnya jika Engkau biarkan mereka (hidup), nescaya mereka akan menyesatkan hamba-hambaMu, dan mereka tidak akan melahirkan anak melainkan yang berbuat dosa lagi kufur ingkar.” (Surah Nuh, 71: 26-27)

Kewafatannya

“Dan sesungguhnya Kami telah mengutus Nabi Nuh kepada kaumnya, maka tinggallah ia dalam kalangan mereka selama sembilan ratus lima puluh tahun; akhirnya mereka dibinasakan oleh taufan sedang mereka berkeadaan zalim (dengan kufur derhaka).”
(Surah Al-Ankabut, 29:14)

Berdasarkan beberapa dalil, beliau telah hidup selama 950 tahun. Namun, menurut pendapat kedua, iaitu Ibnu Abbas RA, Nabi Nuh telah hidup selama 1050 tahun. Allah SWT telah mengutuskan Nabi Nuh kepada kaumnya ketika ia berusia 40 tahun dan telah menyeru mereka selama 950 tahun. Kehidupannya selepas banjir pula adalah selama 60 tahun. Walaupun begitu, hanya Allah sahaja yang Maha Mengetahui kebenarannya.

Beliau telah diriwayatkan meninggal di Mekah al-Mukaramah. Menurut Ibnu Jarir dan al-Azraqiy dan diterima dari golongan tabi’in yang lain, kubur Nabi Nuh berada di sekitar Masjidil Haram. Wallahu a’lam.

Kesimpulan

Banyak perkara yang dapat kita ambil iktibar dan jadikan pengajaran melalui sirah Nabi Nuh ini. Dapat ditekankan di sini bahawa, Allah tidak pernah mementingkan kuantiti hidup seseorang tetapi apa yang ingin dilihat ialah kualiti. Apa yang telah kita lakukan sepanjang hidup, bagaimana usaha kita terhadap kehidupan ini dan juga pengakhirannya.

Besarnya ujian yang telah diterima oleh Nabi Nuh sehinggakan isteri dan anak yang disayanginya juga tidak mengikuti ajarannya. Namun dia tidak pernah putus berdoa kepada Allah kerana keyakinannya yang sangat utuh.

Semoga kita tergolong dalam kalangan mereka yang beriman dan sentiasa mendapat petunjuk oleh Allah SWT.

Mufti Wilayah
Tafsir Ibnu Kathir

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *