Tokoh Islam

Sirah Rasul: Nabi Idris, Manusia Pertama Menulis

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

“Dan bacakanlah (wahai Muhammad) di dalam Kitab (al-Quran) ini perihal Nabi Idris; sesungguhnya adalah ia amat benar (tutur katanya dan imamnya), serta ia seorang nabi.”
(Surah Maryam, 19:56)

Idris a.s merupakan khalifah kedua yang telah diangkat sebagai Nabi. Menurut beberapa riwayat, beliau ialah nabi yang ketiga, iaitu selepas Nabi Adam dan anaknya Syeets a.s. Namun, dalam dalam sirah 25 Rasul yang wajib diketahui, beliau adalah nabi kedua yang diceritakan.

Ada beberapa riwayat yang mengatakan bahawa nama sebenarnya ialah Khanukh atau Akhnukh. Nama penuh beliau ialah Khanukh bin Yarid bin Mihla’iel bin Qinan bin Anusy bin Syith bin Adam a.s.

Beliau dinamakan (digelar) Idris kerana diambil pada perkataan Arab, iaitu درس, iaitu belajar. Nabi idris disifatkan sebagai seorang yang suka belajar sehingga digelar sedemikian. Beliau dikatakan mempunyai lebih daripada 100 buah suhuf dan empat buah kitab. Beliau telah membaca suhuf daripada Nabi Adam dan Syeets, masing-masing dikatakan sebanyak 10 dan 50 buah.

Ada juga riwayat lain yang mengatakan bahawa beliau telah diajar oleh Malaikat Jibril sebanyak 30 sahifah. Pelajaran yang diterima adalah berkenaan hukum-hakam daripada Allah SWT. Wallahu a’lam.

Nabi Idris a.s dikatakan telah hidup selama 345 tahun atau 380 tahun. Ini adalah berdasarkan sebuah riwayat yang telah bersanadkan oleh Muawiyah bin al-Hakam as-Sulami. Walau bagaimanapun, tiada riwayat yang sahih berkenaan tarikh dan tempat lahir serta kewafatan beliau. Ada ulama’ mengatakan bahawa beliau dilahirkan di Mesir manakala pandangan ulama’ yang kedua ialah, beliau lahir di kota Babilon, kemudian berhijrah ke Mesir.

BACA:  Abu Bakar As-Siddiq Memerangi Kaum Murtad

Hanya beberapa pendapat sahaja yang mengatakan beliau telah dilahirkan 1000 tahun selepas kewafatan Nabi Adam dan semasa kelahiran beliau, banyak kota yang telah membangun yang membuktikan bahawa keadaan bumi telah mula maju di bawah pimpinan anak cucu Nabi Adam a.s. wallahu a’lam.

Orang Yang Pertama Menulis

Nabi Idris telah dianugerahkan oleh Allah dengan kepandaian ilmu disiplin, kemahiran dan mencipta peralatan yang telah digunakan manusia sehingga ke hari ini.

Berdasarkan sebuah riwayat oleh Ibnu Ishak, beliau ialah orang pertama yang boleh menulis menggunakan pena. Beliau juga diriwayatkan sebagai orang yang telah mencipta alat untuk menulis, iaitu pen dan pensil. Disebabkan itulah, beliau boleh menulis mushafnya sendiri. Beliau juga sangat mahir membaca.

Menurut Ibnu Kathir, antara kemahiran beliau yang terkenal ialah kepandaian dalam menjahit. Beliau ialah orang pertama yang memakai baju berjahit dengan menggunakan kulit binatang. Hal ini kerana, manusia pada zaman dahulu hanya tahu memakai pakaian tanpa jahitan. Namun pada zaman Nabi Idris, beliau telah menjahit kulit binatang tersebut.

Malah, ada beberapa riwayat juga yang mengatakan bahawa beliau telah mula menjahit menggunakan pokok kapas, kerana hasil bertani yang telah lama wujud sejak dari zaman Nabi Adam a.s lagi.

Antara sifat mulia beliau yang telah diceritakan berdasarkan tafsir Ibnu Kathir ialah beliau akan menjahit pakaian pada waktu lapang dan memberikannya kepada golongan yang kurang berkemampuan di kawasannya.

Menurut beberapa riwayat lain juga, beliau sangat mahir dalam bidang matematik serta astronomi, iaitu ilmu bintang sehingga beliau telah diberi gelaran dengan Harmasul Haramisah, iaitu orang yang paling pakar dalam ilmu perbintangan atau pada hari ini dikenali sebagai ilmu falak.

BACA:  Jangan Tuduh Ulama Bersalah Meskipun di Tangkap dan di Penjara

Pada zaman itu, beliau telah berjaya menggunakan bintang di langit sebagai penunjuk arah, waktu untuk bercucuk tanam dan juga untuk mengetahui keadaan cuaca.

وَعَلَامَاتٍ ۚ وَبِالنَّجْمِ هُمْ يَهْتَدُونَ

“Dan (Ia mengadakan) tanda-tanda panduan jalan, dan dengan bintang-bintang (pada waktu malam) mereka dapat mengetahui arah yang hendak dituju.”
(Surah An-Nahl, 16:16)

Nabi Idris dikatakan menyampaikan dakwah mengenai tauhid Allah kepada manusia yang tidak tahu dan ingkar terhadap-Nya. Ada pandangan ulama’ mengatakan bahawa mereka ialah keturunan Nabi Adam, iaitu Qabil. Beliau juga diberi gelaran Asadul Usud, iaitu Bapa Singa kerana berani memerangi maksiat terhadap manusia yang kufur dan ingkar kepada perintah Allah.

Kewafatan Beliau

وَاذْكُرْ فِي الْكِتَابِ إِدْرِيسَ ۚ إِنَّهُ كَانَ صِدِّيقًا نَّبِيًّا

“Dan Kami telah mengangkatnya ke tempat yang tinggi darjatnya.”
(Surah Maryam, 19:57)

Menurut riwayat Ibnu Abi Najih dari Mujahid, berdasarkan firman Allah di atas, beliau telah diangkat ke langit atau syurga selepas kewafatannya.

Malah, semasa peristiwa Israk Mikraj yang telah dialami oleh Nabi Muhammad, baginda telah berjumpa dengan Nabi Idris di langit keempat dan Nabi Idris berkata: “Selamat datang wahai saudara yang soleh dan nabi yang soleh.” (Hadis Riwayat az-Zuhri dan Anas)

Berdasarkan riwayat Ibnu Abi Hatim yang bermaksud: “Ketika itu (di langit keempat), beliau (Idris berkata): “Tolonglah tanyakan kepada Malaikat Maut, berapa lama lagi baki usiaku?” Malaikat bertanya, sementara Idris masih bersamanya: “Berapakah lama usianya?” Malaikat Maut menjawab: “Aku tidak tahu. Cuba aku lihat dahulu.” Malaikat Maut memerhatikannya lalu berkata: “Engkau baru saja menanyakan sisa umur seseorang yang masanya tinggal sebentar sahaja lagi.” Malaikat yang menggendong Idris melihat ke bahagian bawah sayapnya. Beliau cuba melihat Idris a.s, ternyata pada ketika dilihat itu, idris telah wafat tanpa diketahuinya.”

BACA:  Kisah Sultan Abdul Hamid II (1876 – 1909) Mempertahankan Palestin Dari Zionis

Walaubagaimanapun, menurut Ibnu Kathir, riwayat ini merupakan riwayat daripada israiliyyat, iaitu riwayat yang palsu dan dibuat-buat. Maka, ia adalah ditolak kebenarannya.

Diangkat darjatnya di sini membawa maksud dimasukkan ke syurga yang tertinggi selepas kewafatannya.

Kesimpulan

Dalam usaha kita untuk menjadi umat Islam yang terbaik dan bijaksana yang boleh memimpin dengan ilmu, kita perlu mencontohi peribadi Nabi Idris a.s yang sangat suka belajar. Beliau akan sentiasa berusaha untuk memahami ilmu Allah tanpa perasaan penat lelah sehingga dikurniakan ilmu yang mendalam mengenai bintang dan matematik.

Hal ini juga membuktikan bahawa penguasaan ilmu itu berlaku sejak lama dahulu. Ia bukan budaya sesetengah bangsa sahaja malah satu perkara yang bersifat fitrah bagi setiap manusia. Kita memerlukan ilmu pengetahuan untuk terus berkembang dan melalui kehidupan dengan lebih baik.

Ustaz Auni, Kisah Nabi Idris (Kitab Ibnu Kathir)
Tafsir Ibnu Kathir: Kisah para Nabi, Teladan Bagi Orang Yang Berakal.

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *