Motivasi

Roh perjuangannya terus mekar

As Syahid Ahmad Yassin adalah ikon ummah

As Syahid Sheikh Ahmad Yassin adalah nama yang sentiasa berada di bibir masyarakat Palestin dan pencinta kemuliaan perjuangan pembebasan Palestin. Nama dan gambarnya kelihatan di sana sini lantaran beliau begitu popular dan menjadi ikon masyarakat Gaza dan Palestin serta ramai di kalangan umat Islam antarabangsa.

Alhamdulillah, saya bersama teman delegasi berpeluang meziarahi masjid tempat Sheikh Ahmad Yassin mengerjakan solat subuh dan lokasi beliau ditembak oleh helikopter Apache Israel. Beliau menempa sejarah kesyahidan pada tanggal 22hb Mac 2004 sekembaliannya daripada masjid tersebut.

Kami juga berkesempatan melihat rumah as Syahid dan disambut gembira oleh anak lelakinya yang bernama Sheikh Abdul Ghani dan juga cucu lelakinya.

Bersama Sheikh Abdul Ghani (anak as Syahid) dan Abdul Hamid (cucunya)

Bukan sahaja rupa parasnya sangat menyerupai as Syahid Sheikh Ahmad Yassin suaranya juga akan mengingatkan kita kepada ayahnya yang merupakan pengasas kepada Pergerakan HAMAS.

Anaknya Sheikh Abdul Ghani, memulakan penceritaan tentang keadaan bising dan kelam di langit Gaza pada malam sebelum serangan tersebut. Semenanjung Gaza dipenuhi dengan pesawat temput dan helicopter Apache terutamanya di ruang udara berdekatan rumah Sheikh Ahmad Yassin.

Malam yang luar biasa

Bersama pembantu yang sehidup dan semati dengannya....

Keadaan yang luar biasa dan merbahaya itu telah menyebabkan isteri Sheikh Ahmad Yassin menasihati beliau agar bersolat Isya di rumah sahaja. Seorang tua yang lumpuh, berumur 67 tahun, serta memiliki pelbagai keuzuran serta memerlukan kerusi roda untuk bergerak itu lantas menjawab dengan suara yang serak,” Kenapa kamu menyuruh saya bersolat di rumah? Adakah hanya kerana pesawat dan helikopter tersebut? Kalau saya ditakdirkan mati syahid malam ini, inilah malam yang saya tunggu-tunggukan seumur hidup saya. Insya Allah saya akan mati syahid malam ini….”.

BACA:  Ananiyah - Kanser yang sukar diubati

Jarak di antara rumahnya yang sederhana dengan Masjid Al-Mujamma’ Al-Islami di seberang jalan raya tersebut hanyalah sekitar 200 meter. Masjid ini terletak di wilayah Ash Sabra, yang merupakan sebuah pusat tarbiah di Gaza yang diketuai oleh Syeikh Yasin sendiri sejak 40 tahun sebelumnya.

Seusai solat Isya secara berjamaah, beliau tidak terus pulang ke rumah. Gaza pada ketika itu masih dikuasi oleh Zionis Israel dan tali-barutnya dari kalangan sebahagian kecil orang Palestin. Atas cadangan beberapa orang para jamaah terutamanya para pemuda, Sheikh Ahmad Yassin memutuskan untuk beriktikaf di masjid sehingga menjelangnya subuh. Seorang anaknya bersama Abdul hamid menemaninya di masjid dan memerhatikan bahawa ayahnya hanya menghabiskan malamnya untuk berqiamul lain.

Mereka kemudianya terdengar bunyi bising dari arah atas masjid sebaik sahaja menunaikan solat subuh di masjid tersebut. Sheikh Ahmad Yassin diingatkan bahawa bunyi tersebut adalah bunyi daripada beberapa buah helikopter yang mungkin sedang memburu beliau.

Sheikh hanya menjawab : “Biarlah, memang sudah lama aku menunggu mereka.”

Cita-citanya Berjaya

Apache Israel

Sebaik sahaja beliau keluar daripada masjid dan diiringi oleh beberapa teman rapatnya, Sheikh Ahmad Yassin telah ditembak syahid oleh 3 buah helikopter apache yang telah memuntahkan 3 buah peluru berpandu sehingga bersepai anggota dan tubuh-badan as syahid.

Allah Akbar….!

Kematian adalah satu yang telah pasti, tidak dipercepatkan dan tidak pula dilambatkan walau pun sesaat. Beruntunglah buat si syahid kerana beliau berjaya mengakhirkan kehidupannya dengan sebesar-besar kemuliaan. Rohnya riang gembira di syurga walau pun jasadnya kelihatan berderai merata-rata bersama lempahan tompokan darah yang memenuhi bumi.

Allah amat menyayangi Sheikh Ahmad Yassin sehingga membenarkan cita-citanya selama ini. Kasih sebenar Sheikh Ahmad Yaasin adalah kepada Allah, NabiNya, agama Islam dan umatnya.

BACA:  Bagaimana Tidak Mudah Down Apabila Ditimpa Musibah Atau Ujian Allah?
Penghormatan terakhir buat jenazah as Syahid...

Allah menjadikan kematiannya sebagai suatu yang begitu besar. Lebih daripada 200 ribu orang-orang di Gaza telah berkerumun mengiringi jenazahnya ke maqam syuhada. Umat Islam seluruh dunia bercerita tentang kesyahidan dan masing-masing meluahkan rasa penghargaan yang begitu besar terhadap kehebatan perjuangannya.

Majlis Keselamatan PBB juga telah mengutuk pembunuhannya. Kerajaan-kerajaan Arab juga telah berbuat demikian. Negara-negara Eropah juga tidak berkecuali bercakap mengenainya.

As Syahid Sheikh Ahmad Yaasin bukanlah seorang menteri, tidak juga raja atau pembesar negara tetapi ketokohannya sebagai pemimpin Islam menjadikan kawan dan lawan memandang hebat kepadanya.

Sekalipun umat Islam kelihatan lemah dan hanya mampu melihat pemimpin gerakan Islam dibunuh, namun untuk menyerah kalah atau menggadaikan prinsip perjuangan atau mengiakan segala perjanjian-perjanjian yang sia-sia adalah tidak sama sekali.

Sheikh Ahmad Yassin juga mengajar umat ini bahawa mereka yang benar-benar mahu menggerakkan ummah, tidak perlu menunggu kelayakan akademik yang tinggi dan hebat seperti Master atau PhD atau menunggu jawatan yang hebat sebelum menerajui atau mendokong perjuangan memertabatkan kebenaran. As Syahid hanyalah seorang guru yang mempunyai latar belakang pendidikan yang begitu sederhana.

Perjuangan untuk memertabatkan kemuliaan Islam tidak terhenti dengan syahid atau perginya para pemimpin. Rasulullah saw wafat, para sahabat juga meninggal dunia, para ulama dan pejuang Islam terdahulu juga telah menunaikan janji masing-masing dengan Allah.

Rasulullah saw juga telah memberi khabar gembira dengan adanya umat ini yang terus melangsungkan perjuangan menegakkan Islam sehingga berlakunya di antara dua ketentuan iaitu samada menang atau syahid di jalan Allah.

Walau pun kini as Syahid telah tiada di muka bumi, namun Allah telah menggantikannya ratusan ribu para pejuang yang bersedia untuk meneruskan kesinambungan perjuangan yang mulia ini.

BACA:  Belajar Untuk Berehat, Bukan Berhenti
Di rumah as Syahid yang kini dijadikan muzium

Rumah as Syahid kini dijadikan muzium bagi memperingati sejarah perjuangannya dan Sheikh Abdul gani menjadikannya sebagai pusat khidmat masyarakat bagi meneruskan kerja-kerja yang amal yang begitu dititik-beratkan oleh As Syahid Sheikh Ahmad Yassin.

Rumah peninggalan as Syahid, bahan-bahan penulisan perjuangannya dan generasi muda yang ditinggalkannya akan menjadi saksi terhadap kemenangan yang bakal diperolehi oleh umat ini walau pun as Syahid pun telah terlebih dahulu menghirup kasih sayang Allah dengan nikmat kesyahidannya.

“Dan jangan sekali-kali engkau menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka adalah hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.

(Surah al Imran – 169)

Telah bersabda Rasulullah yang bermaksud:

“Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu:

  1. diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar
  2. melihat tempatnya di dalam surga
  3. dilindungi dari azab kubur
  4. terjamin keamanannya dari malapetaka besar
  5. merasakan kemanisan iman,
  6. dikahwinkan dengan bidadari,
  7. dan diperkenankan memeberikan syafa’at bagi 70 orang kerabatnya”

(Hadis Riwayat at-Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad)

MK-8 AP ke Gaza, 16hb April 2012

By: Dr Zainur Rashid Zainuddin

5 Comments

  1. mohon share ya..

  2. Tip Elak Gangguan Jin

    Assalamualaikum admin,

    Sungguh terharu apabila membaca kisah syeikh asy-syahid. Begitu lemahnya kita umat islam diakhir zaman ini.Inilah padahnya bila kita terlelau meletakkan kecintaan yang terlalu tinggi terhadap dunia.

    Kalau di zaman Rasulullah, seorang sahabat baginda mati puluhan ribu tentera Islam dihantar bagi tujuan membalas semula agar musuh tidak memandang rendah kepada Islam dan umatnya.

    Mudah-mudahan dengan kesyahidan syeikh akan menambahkan iman kita bagi menanamkan matlamat yang sama iaitu untuk mendapatkan syahid di jalan Allah,amin.

  3. Assalamualaikum Semua Pencinta Kebenaran,

    Intipati kisah perjalanan riwayat hidup beliau hingga mati syahid sebagai satu platform kepada seluruh umat Islam sejagat untuk muhasabah kendiri di mana pengorbanan menegakkan syiar Islam di bumi Allah Swt ini memerlukan kekuatan minda dan fizikal dengan berpaksikan Al Quran dan As sunnah (perjalanan hidup rasulullah saw) sumber rujukan yang paling ASAS. Walaupun nyawa kita menjadi taruhan untuk menegakkan Syiar Islam di muka bumi ini…Ingatlah MUSUH umat Islam ada di mana-mana serta dengan bala tentera mereka yang cukup canggih serta lengkap dengan peralatan moden untuk menghapuskan sesiapa saja yang mengancam status mereka di dunia ini….Jangan kita lemah semangat, takut dan gentar dengan mereka. Walaupun tahap Iman kita masih kurang dan ilmu AD-DIN kita masih cetek..ayuh kita terus menegakkan kalimah Allah di bumi ini..INGAT JANJI ALLAH SWT….AKAN AKU WARIS KAN BUMI INI KEPADA HAMBA KU YANG BERIMAN…..Pasti segala pendokong taghut akan akan hancur-lebur semua…Begitu mudah untuk Allah Swt menghancurkan mereka bila sampai ketentuannya…Sama-sama kita BERSATU DEMI ISLAM walau di mana kita berada….tanpa mengira apa jua status kita….di sisi Allah swt kita sama saja….cuma beza Tahap Keimanan kita yang menentukan kemuliaan di sisi ALLAH SWT. Dunia hanya sementara akhirat jualah yang KEKAL ABADI….Walaupun kita sering tewas dengan NAFSU dan pujukan SYAITAN jangan mudah mengalah…..akhiri hidup kita dengan baik dengan meminta pertolongan dan DOA kepada Allah Swt….AMIN….INSYA ALLAH

  4. Semoga perjuangan beliau menjadi inspirasi kepada umat yang terkemudian sebagaimana yang berlaku kepada Khalid Ibnu Walid
    http://youtu.be/qnpki0BmKJA

  5. mohdkamalhasbullah

    assalamualaikum..rasa insaf dan bertambah menyayangi akan agama bila selesai membaca kisahnya.semoga pahala berpanjangan kepada editor bagi setiap yang membacanya..amin.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!