Rasulullah Mendidik Muaz bin Jabal
Tazkirah

Rasulullah Mendidik Muaz bin Jabal

Rasulullah Mendidik Muaz bin Jabal

1. Meneliti riwayat sirah, Muaz ibn Jabal adalah antara tokoh sahabat yang dilihat banyak menerima sentuhan tarbiyah dan proses pengkaderan secara langsung daripada Rasulullah.

2. Rasulullah mendidik Muaz melalui pelbagai situasi, santai maupun dalam keadaan serius. Dalam sebuah hadith, Rasulullah mengajar Muaz ketika Baginda menunggang bersama beliau. Rasulullah memanggil nama Muaz sebanyak tiga kali, dan tiga kali lah Muaz menyahut. Setelah panggilan yg ketiga Rasulullah bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَشْهَدُ أَنْ لاَ إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ، صِدْقًا مِنْ قَلْبِهِ، إِلَّا حَرَّمَهُ اللَّهُ عَلَى النَّارِ

(Tahukah engkau) bahawa tidak ada orang yang mengucapkan syahadahmelainkan diharamkan ke atasnya neraka?” (HR al-Bukhari)

Mendengar hadith ini Muaz memberikan reaksi spontan beliau kepada Nabi. Kata Muaz: Kalau begitu lebih baik aku maklumkan perkara ini kepada mereka! (sahabat lain). Rasulullah menjawab: Kalau begitu, (aku bimbang pula) mereka akan duduk diam sahaja (tidak berusaha beribadah kerana tahu setiap Muslim akan ke syurga).

Respon Rasulullah jelas menunjukkan bahawa Baginda mahu mendidik Muaz supaya bijak berinteraksi dengan manusia. Bukan semua perkara perlu kita sampaikan kepada semua orang. Da’i harus pandai membaca minda audien. Muaz kemudian mendiamkan hadith ini. Hadith ini hanyalah di sampaikan oleh Muaz sebelum beliau meninggal dunia.

3. Adakalanya Muaz diberikan teguran yang keras oleh Rasulullah. Perkara ini berlaku ketika Muaz menjadi Imam solat buat kaumnya. Muaz membaca surah yg panjang sehingga perkara ini diadukan kepada Rasulullah. Rasulullah menegur Muaz dengan berkata:

يَا مُعَاذُ، أَفَتَّانٌ أَنْتَ – ثَلاَثًا – اقْرَأْ: وَالشَّمْسِ وَضُحَاهَا وَسَبِّحِ اسْمَ رَبِّكَ الأَعْلَى وَنَحْوَهَا

“Apakah engkau ingin menimbulkan fitnah wahai Muaz?! (Sebahagian riwayat menyebutkan bahawa kata-kata ini diulang Rasulullah sebanyak tiga kali. Seolah Baginda ingin memberikan kesan mendalam kepada pemahaman Muaz.) Bacalah surah asy-Syams atau al-Duha (sahaja).

BACA:  Cara Mendidik Anak Dengan Adab

4. Ibn Majah pula meriwayatkan bahawa ketika Muaz pulang dari Syam, beliau terus berjumpa dengan Rasulullah lalu sujud (sembah hormat) kepada Rasulullah. Rasulullah lalu bertanya kepada Muaz:

مَا هَذَا يَا مُعَاذُ؟

Apa yang kau lakukan ini Muaz?!. Muaz menjawab, ketika aku berada di Syam, aku melihat penduduk Syam sujud kepada pembesar agama mereka. Rasulullah memperbetulkan pemahaman Muaz dgn berkata: Jangan kamu lakukan sedemikian wahai Muaz! (Ibn Majah, Ahmad).

5. Rasulullah juga pernah menasihatkan Muaz dengan memberikan tunjuk ajar secara praktikal. Apabila ingin mendidik Muaz supaya memelihara lidah dan tutur kata, Baginda sendiri menunjukkan lidah Baginda lalu berkata:

(فَأَخَذَ بِلِسَانِهِ قَالَ: “كُفَّ عَلَيْكَ هَذَا)

“Hendaklah engkau menjaga lidah ini wahai Muaz” (al-Tirmizi)

6. Begitulah konsistennya Rasulullah sebagai murabbi yang menjalankan proses pengkaderan da’i. Didikan yang melalui pelbagai wasilah tarbiyyah, secara santai maupun serius, teguran keras maupun lembut, melalui ucapan dan juga gerak tubuh fizikal, semuanya dilaksanakan bahkan diwujudkan pula proses ujian kefahaman. Setelah melepasi proses tersebut, Baginda Nabi sendiri memimpin kader dakwahnya berjuang ke medan dakwah.

Rasulullah Murabbi Agung

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *