Keluarga, Muamalat

Rakus kejar kebendaan punca institusi kekeluargaan pincang

Gagal laksana tanggungjawab antara faktor perceraian .

SETIAP pasangan yang berkahwin pasti mengharapkan hubungan dibina kekal sepanjang hayat. Tidak pernah tergambar akan melalui detik sukar membawa kepada perceraian yang akan memberi kesan terhadap beberapa pihak terutama anak-anak.

Punca perceraian perlu diambil kira untuk melihat apakah bentuk masalah yang boleh menyebabkan perceraian. Ada pelbagai punca perceraian antaranya faktor kekurangan kewangan, tiada persefahaman, kegagalan memahami serta melaksanakan tanggungjawab.

Sama ada kegagalan memahami tanggungjawab berpunca daripada kekhilafan mahupun kurangnya pendedahan diberikan hingga kadangkala pihak berkenaan tidak mengetahui akan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.

Satu lagi punca perceraian berkemungkinan kesan daripada pasca-modenisme yang tanpa disedari merubah serba sedikit budaya serta amalan masyarakat masa kini seiring kemajuan dicapai dan sekali gus memberi kesan terhadap perkara lain.

Pasca-modenisme bukanlah sesuatu yang baru, namun fahaman manusia berpegang kepada modernisme ini menyebabkan mereka yakin manusia yang berkuasa dan menentukan segala aspek kehidupan.

Pengaruh hebat ini juga berkesan ke atas pemikiran dan keyakinan umat Islam melalui pelbagai saluran seperti sistem pendidikan, ekonomi, budaya, sosial dan politik.

Oleh demikian, pemahaman terhadap konsep keluarga dan tanggungjawab penting. Keluarga hari ini pada asasnya terdiri daripada bapa, ibu dan anak-anak. Berbeza masyarakat tradisional, keluarga lebih besar kerana termasuk saudara mara sebelah suami dan isteri yang tinggal bersama.

Ini sebenarnya memberi kesan kepada kepemimpinan keluarga kerana jika berdasarkan keluarga tradisional, keluarga akan dipimpin oleh datuk yang berpengalaman berbanding keluarga asas dipimpin bapa masih muda serta kurang pengalaman.

Perubahan demi perubahan menjadikan tumpuan manusia tertumpu kepada kebendaan. Kehidupan bukan lagi setakat selesa malah lebih daripada itu. Maka, berlakulah perceraian berpunca daripada kegagalan suami memberikan nafkah mengikut kehendak isteri untuk berbelanja. Pada masa sama, tanggungjawab yang sepatutnya mula diabaikan sedikit demi sedikit.

BACA:  Didik Anak Degil, Rotan Memang Kena Ada Kat Rumah!

Suami adalah peneraju utama keluarga dan sebagai pembimbing kepada isteri serta anak bersesuaian kelebihan dianugerahkan Allah terhadap kaum lelaki. Suami juga bertanggungjawab memberi nafkah kepada isteri serta anak.

Firman Allah yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan kerana Allah melebihkan kaum lelaki dengan beberapa keistimewaan daripada kaum perempuan dan kerana kaum lelaki membelanjakan sebahagian dari hartanya.” (Surah An-nisa’, ayat 34)

Dalam pada itu, tanggungjawab utama isteri adalah mentaati dan patuh kepada suruhan suami bersesuaian dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Sekiranya aku diperintahkan untuk menyuruh seseorang menyembah seorang yang lain, nescaya aku akan menyuruh seorang perempuan menyembah suaminya.” (Hadis riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bukanlah menafikan hak atau memandang rendah peranan wanita kerana wanita mempunyai peranan tersendiri. Wanita pengurus utama keluarga dari sudut kewangan, makan minum, pakaian, pengurus kediaman serta dalam didikan terhadap anak.

Permasalahan mungkin timbul apabila suami mulai mengabaikan tanggungjawabnya. Lebih-lebih lagi jika isteri mempunyai kerjaya dan kebanyakannya mengharapkan wang hasil pendapatan isteri untuk menampung keperluan keluarga.

Akan tetapi, realitinya, suami masih lagi bertanggungjawab secara penuh dan isteri boleh membantu sekadar yang perlu, bukan menanggung sepenuhnya atau sebahagian besar keperluan.

Tuntutan kerja sekarang ada kala menyebabkan isteri tidak lagi menguruskan rumah tangga sebaliknya tugas menyediakan makanan serta keperluan keluarga dilakukan pembantu rumah. Ini belum lagi waktu kerja yang menyukarkan isteri membahagikan antara kerjaya dan rumah tangga.

Ini belum lagi kes isteri yang berjawatan lebih tinggi daripada suami yang turut mencetus kepada perbalahan. Segelintir wanita juga gagal memahami bahawa konsep ketaatan bukanlah satu budaya yang sengaja diwujudkan pada zaman dulu tetapi digariskan oleh syarak.

BACA:  Pesanan Ustaz Kepada Seorang Suami Yang Curang

Kegagalan memahami tanggungjawab menyebabkan lelaki mengambil kesempatan terhadap isteri yang bekerja sementara isteri yang menyumbang kepada ekonomi keluarga pula merasakan dirinya tidak boleh dikawal oleh suami.

Kemodenan tidak bermaksud perlu mengubah semua perkara sehingga mengenepikan hukum syarak.

Pemahaman ini perlu diterapkan kepada masyarakat supaya dapat memahami apa yang dimaksudkan kemodenan sebenar mengikut Islam.

Kebahagiaan rumah tangga juga bukan melihat kepada setinggi mana ilmu seseorang dari sudut akademik mahupun ilmu agama, atau sebanyak mana masa dan wang diperuntukkan untuk keluarga.

Keluarga akan bahagian apabila semua ahlinya memenuhi tanggungjawab masing-masing serta saling menghormati selain bekerjasama menguruskan keluarga berdasarkan syariat Islam tanpa mengetepikan keperluan mengikuti perkembangan semasa.

Mohamad Isa Abd Ralip

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

5 Comments

  1. Assalamualaikum…

    Itulah hakikat yang berlaku pada hari ini. Manusia tanpa sedar sedang melawan arus fitrah kejadian alam dan peraturannya.

    Dikatakan , malam untuk beristerehat dan siangnya mencari rezeki.. tapi sekarang tidak lg. malam siang kerja. Hari jumaatnya manusia tdak lg segan silu bertenggek d kedai makan sedang imam sdang menyampaikan khutbah.

    Anak2 tidk merasa alam kanak2 kerana ibubapa sibuk menekan dan mengejar kepada penyampaian akademik yg melampau. Hasilnya on paper mmang cmerlang, tetapi tak bleh survive dalam dunia sebenar… buntu.

    Wassalam

  2. Perihal suami yang buntu dalam melaksankan tanggungjawab, mencari nafkah adalah juga tanggungjawab yang memang tidak boleh diabaikan, ada yang sanggup mendesak isteri keluar mencari nafkah, menguruskan rumahtangga, menguruskan anak dan menyediakan keperluan pakai, makan dan lain-lainnya. Gaji suami disimpan, gaji isteri dikerah itu ini. Apa lah nak jadi dengan dunia sekarang, banyak perkara mcm ni sedang berlaku, isteri nak meluahkan pada suami takut bertengkar, kena herdik bermasam muka dan pelbagai alasan diberi oleh si suami, mengadu pada orang bimbang berdosa, last sekali isteri hampir gile menanggung beban dan tertekan dengan situasi.

    Ada pula isteri yang hanya mampu cari rezeki dengan upah yang kecil, tapi untuk sediakan keperluan makan minum suami dan anak. Dunia dah terbalik. Sedangkan suami yang bergaji tetap dan besar dua hari dapat gaji dah kata habis.Alasan bayar hutang, dari awal kawin sampai dah puluh tahun kawin tak habis ngan hutang. Bini pun sampai dah tak reti nak kira hutang apa lah lagi suami aku ni. Aduhhh, isteri nak mintak ngan suami dah biasa dengan alasan gaji dah habis. Akhirnya kenalah buat apa saja untuk belanja sendri. Demi anak disanggupkan juga, kerana bimbang terabainya anak2, sabar jelah. Tapi bersabar manusia biasa ni selalunya ada had gak.

    Tapi tidak sedarkan wahai lelaki-lelaki bahawa kalian sedang memikul satu amanah yang besar, jangan tahu mengejar dunia dan kemewahan semata, sehingga anda rasa senang dengan melepaskan semua tanggungjawab lepada isteri. Orang lain nak kereta besar anda nak kereta besar, orang lain rumah besar anda nak rumah besar, orang lain nak beli barang mahal, anda nak barang mahal. Perkara yang utama dalam rumahtangga lak dibuat-buat lupa. Inilah dikatakan bila diberi kesenangan, manusia akan jadi bakhil. Bukan sahaja bakhil pada orang luar, kepada anak isteri pun dia akan jadi bakhil.

    Bila timbul isu tuntut cerai dari isteri mula menggelabah, menyalahkan isteri, tak bau syurga katanya, ni kalau suami macm ni syurga ke. Isteri dituntut supaya taat dan ikhlas pada suami, tapi kalau suami macam ni berkira ngan isteri, aduhh…

    Apabila kita prihatin, kenalah prihatin kepada masalah menyeluruh. Bukan hanya prihatin kepada perkara apa yang kita dengar atau lihat sahaja. Kita dikurniakan akal, akal perlu berfikir dan mengolah permasalahan dihadap. Bukan diam dan buat tak tahu, telinga mendengar mata melihat, mulut berbicara cuma hati tertutup rapat seolah tiada apa yang beraku hingga tak nampak apa-apa.

    Masalah seperti ni banyak didengar di mana-mana. Minta pandangan ustaz ustazah yan arif tentang perkara ini. Apa pendekatan yang boleh dibuat sebagai isteri bagi menghadapi situasi ini, dan apakah tindakan atau jalan terbaik. Mungkin ruangan ini mudah bagi isteri-isteri atau suami-suami mengukur kesalahan diri sendiri, mendapat sedikit iktibar dan pengajaran dan sebagai panduan rumahtangga.

    Isteri adalah teman suami, memerlukan kasih sayang, bimbingan dan penghargaan dari seorang suami. Bimbang dengan keadaan yang mendesak ramai isteri-isteri diluar sana mengambil jalan mudah mencari jalan keluar, meminta nasihat dari yg tidak sepatutnya, lalu diambil kesempatan oleh lalaki hidung belang, akhirnya isteri-isteri terjebak dengan gejala yang tidak sihat. Nauzubillah

    Hamba Allah yang mencari keredhoaanNya

  3. Macam pernah dengar je

  4. Assalamualaikum, bila ajaran agama diletakkan ke tepi 🙁

  5. Assalamualaikum,

    Bila ajaran agama diletakkan ke tepi…😢

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *