Ibadah, Solat

Qadha Solat yang di Tinggalkan Dengan Sengaja

Soalan :

Apakah hukum qadha sembahyang lima waktu yang ditinggalkan dengan sengaja yakni dimasa lalu seorang itu lalai dari mengerjakannya kerana sibuk dengan bekerja atau bermain-main?

Jawab :

Meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja adalah haram dan berdosa besar. Kewajipan menunaikannya tidak hangus dan menjadi hutang Allah yang wajib dibayar sebagaimana kewajipan-kewajipan lain seperti puasa, zakat dan seumpamanya.

Orang yang meninggalkan solat lima waktu dengan sengaja wajib melakukan qadha dengan segera dan bertaubat kepada Allah. Jika dia hanya bertaubat tanpa qadha maka taubatnya tidak sah kerana tidak membayar hutangnya yang wajib sama seperti seorang yang tidak membayar zakat yang hanya bertaubat tanpa membayar hutang zakatnya itu maka taubatnya tidak sah.

Berkata Imam Nawawi :

أَجْمَعَ العُلَمَاءُ الَّذِينَ يُعْتَدُّ بِهِم عَلَى أَنَّ مَنْ تَرَكَ صَلَاةً عَمْدًا لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا

Artinya : “Telah ijmak sekelian ulamak yang diambil kira dengan mereka itu atas bahawa siapa yang meninggalkan solat dengan sengaja maka wajib atasnya qadha.” (Kitab Al-Majmu’ Syarah Muhazzab)

Dan kata Imam Nawawi lagi :

وَالْمُتَعَدِّي بِتَرْكِ الصَّلَاةِ لَزِمَهُ قَضَاؤُهَا عَلَى الفَوْرِ بِلَا خِلَافٍ

Artinya : “Orang yang sengaja meninggalkan solat lima waktu maka wajib atasnya qadha dengan segera tanpa khilaf.” (Kitab Ar-Raudhah)

Berkata Imam Ibnu Qudamah :

وَلَا نَعْلَمُ بَيْنَ الْمُسْلِمِينَ خِلَافًا فِي أَنَّ تَارِكَ الصَّلَاةِ يَجِبُ عَلَيْهِ قَضَاؤُهَا

Artinya : “Dan tiada kami tahu di kalangan orang-orang Islam ada khilaf pada bahawa orang yang meninggalkan solat lima waktu itu wajib atasnya qadha.” (Kitab Al-Mughni)

Berkata Imam Ibnu Batthal :

وَقَدْ أَجْمَعَتِ الأُمَّةُ عَلَى أَنَّ مَنْ تَرَكَ يَوْمًا مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ عَامِدًا مِنْ غَيْرِ عُذْرٍ أَنَّهُ يَلْزَمُهُ قَضَاؤُهُ فَكَذَلِكَ الصَّلَاةُ وَلَا فَرْقَ بَيْنَ ذَلِكَ

BACA:  Puteri Izzyean Batrisyia Perlukan Bantuan Untuk Meneruskan Kehidupan

Artinya : “Dan sungguhnya telah ijmak segala umat atas bahawa siapa yang meninggalkan sehari puasa Ramadhan dengan sengaja maka wajib atasnya qadha maka begitu juga dengan solat lima waktu tiada beza antara yang demikian itu.” (Syarah Sahih Bukhari)

Berkata Imam Al-Maziri Al-Maliki :

اتَّفَقَ جَمَاعَةُ الفُقَهَاءِ عَلَى أَنَّ الْمُتَعَمِّدَ لِتَرْكِ الصَّلَاةِ عَلَيْهِ قَضَاؤُهَا

Artinya : “Telah sepakat golongan fuqahak atas yang sengaja meninggalkan solat itu wajib atasnya qadha.” (Syarah Talqin)

Berkata Imam Ibnu Daqiq :

وُجُوبُ القَضَاءِ عَلَى العَامِدِ بِالتَّرْكِ مِن طَرِيقِ الأَوْلَى، فَإِنَّهُ إذَا لَم تَقَعِ الْمُسَامَحَةُ مَعَ قِيَامِ العُذْرِ بِالنَّوْمِ وَالنِّسْيَانِ فَلَأَنْ لَا تَقَعَ مَعَ عَدَمِ العُذْرِ أَوْلَى

Artinya : “Wajibnya qadha atas yang sengaja tinggal itu adalah lebih utama. Maka sungguhnya apabila tidak diberi keringanan kepada yang uzur sebab tertidur dan lupa maka lebih lagi tidak diberi keringanan kepada yang tiada uzur.” (Kitab Al-Ahkam)

Wallahua’lam

 

Sumber: Facebook Ustaz Azhar Idrus (Original) 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!