Ibadah

Puasa Tetapi Tidak Solat

Soalan: Ustaz, apakah diterima puasa orang yg sengaja meninggalkan solat? kerana saya melihat ramai orang yangg berpusa tapi tidak mengerjakan solat.

Jawapan:

Orang yang meninggalkan solat jika ia meninggalkannya kerana mengingkari atau menolak kewajipan tersebut, ia murtad dari agama dengan sepakat (ijmak) para ulamak. Orang yang murtad tidak sah ibadahnya termasuk puasa.

Adapun jika ia meninggalkan solat kerana malas atau segan (yakni ia masih mengakui kewajipan solat, cuma ia malas melakukannya), para ulamak berbeza pandangan tentang hukumnya;

  1. Imam Ahmad berpandangan; ia adalah kafir.
  2. Jumhur ulamak berpandangan; ia fasiq, yakni tidaklah menjadi kafir, akan tetapi telah melakukan dosa amat besar.

Berpegang kepada pandangan Imam Ahmad tersebut, maka sebahagian ulamak hari ini (terutamannya dari Arab Saudi seperti Syeikh Bin Baz, Ibnu Usaimin dan sebagainya) berpendapat; orang yang tidak menunaikan solat fardhu, tidak sah puasanya, malah juga ibadah-ibadahnya yang lain (zakat, haji, sedekah dan amal-amal soleh selainnya) sehinggalah ia bertaubat kepada Allah dan kembali mengerjakan solat. Berkata Syeikh Ibnu Uthaimin; “Jika kamu berpuasa tanpa mengerakan solat, kami ingin menegaskan kepada kamu; sesungguhnya puasa kamu adalah batal/rosak, tidak sah, tidak memberi manfaat kepada kamu di sisi Allah dan tidak mendekatkan kamu kepadaNya…” (Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198).

Adapun berdasarkan pandangan jumhur ulamak (yang tidak menghukum kafir orang yang meninggalkan solat itu); puasa orang itu sah jika ia memenuhi rukun-rukun puasa yang ditetapkan dan tidak melakukan sebarang perkara yang membatalkan puasa. Maksud sah ialah; dia tidak dituntut lagi mengqadha/mengganti puasanya. Namun perlu dipersoalkan; adakah puasanya itu akan diterima oleh Allah sedangkan ia telah mengabaikan ibadah yang cukup besar dalam Islam iaitu solat? Tidak semua ibadah yang sah diterima oleh Allah. Contohnya, seseorang yang mengerjakan solat dengan riyak; solatnya sah (dari sudut Fiqh) apabila cukup syarat-syarat dan rukun-rukunnya, namun solatnya ditolak oleh Allah kerana riyak tersebut. Kerana itu, ulamak-ulamak al-Azhar (seperti Syeikh ‘Atiyah Saqar (bekas ketua Lujnah Fatwa al-Azhar), Dr. Ahmad asy-Syirbasi (bekas pensyarah di Universti al-Azhar), Dr. Muhammad Bakr Ismail, Dr. Muhammad ‘Ali Jum’ah dan ramai lagi), walaupun pendapat mereka tidak sekeras ulamak-ulamak dari Arab Saudi tadi, tetapi mereka menegaskan; “Orang yang tidak mengerjakan solat sekalipun puasanya sah tetapi tidak diterima Allah (yakni tidak diberi pahala)”. Syeikh ‘Atiyah Saqar menulis dalam fatwanya; “Sesiapa berpuasa tanpa mengerjakan solat, puasanya adalah sah dan tidak wajib ia mengulanginya. Akan tetapi dari segi penerimaan (Allah) terhadapnya, maka hadis Nabi s.a.w. menunjukkan ia tidak diterima…”. Hadis yang dimaksudkan oleh Syeikh ‘Atiyah itu ialah sabda Nabi s.a.w. (bermaksud);

BACA:  Melahirkan Anak yang Soleh dalam Islam

“Sesiapa yang tidak meninggalkan kata-kata dusta dan melakukan pendustaan, maka bagi Allah tidak ada keperluan dalam ia meninggalkan makan dan minumnya (yakni Allah tidak berhajat kepada puasanya)” (Riwayat Imam Bukhari, Abu Daud, at-Tirmizi dan lain-lain dari Abu Hurairah r.a.).

Jika dengan kerana akhlak mazmumah (dusta dan sebagainya) telah pun menyebabkan puasa ditolak oleh Allah, lebih-lebih lagilah dengan meninggalkan solat fardhu yang dosanya amatlah besar, berkali-kali ganda lebih besar dari dosa kerana akhlak mazmumah itu.

Wallahu a’lam.

Rujukan;

  1. al-Fatawa; Min Ahsan al-Kalam, Syeikh Aiyah Saqar, 2/32.
  2. Fatawa Ulama’ Baladil-Haram, hlm. 198.
  3. Al-Fiqh al-Wadhih, Dr. Muhammad Bakr Ismail, 1/149.
  4. Yas-alunaka Fi ad-Din Wa al-Hayah, Dr. Ahmad as-Syirbasi, jilid 4.

USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL

9 Comments

  1. apakah hukumnya orang yang berpuasa tetapi tidak bangun sahur dengan niat disamping berpuasa dia dpt berdiet untuk mengurangkan berat badan.

    1. sah,cuma pahala dr bersahur tiada…bangun je walau hanye sebiji kurma…W’uahalam..

  2. Salam.
    Saya ingin bertanya adakah solat dan puasa diterima jika mereka hanya melakukan solat dibulan puasa?Saya ada ramai rakan yg sebegini.bila bulan puasa baru nampak solat disurau.

  3. Jika puasa bagus kepada badan  kenapa tidak laku sepanjang tahun?
    Puasa merosakkan badan seperti perut sakit, kelaparan, kehausan dan badan lemah bahkan menyebab sakit kepala dan gastric. Puasa menyebab pekerja malas kerja dan kerja lambat mengakibat produktiviti lambat bahkan banyak pekerja ponteng kerja.  Puasa sesuai untuk orang yang tiada kerja dan orang miskin. Pada zaman moden ini yang penuh saingan haruslah kita lebih rajin dan bertenaga sepanjang masa untuk bersaing dengan kaum lain. Janganlah percaya ajaran kuno yang tidak sesuai dizaman ini.

    1. Agama yang berubah rubah adalah agama ciptaan manusia macam kau, hidup tiada Manual, ikut angin kalau tiup ke barat, ke baratlah kau pergi. setiap kapal ade kemudi yang dikemudi si kapten kapal, ya itu ketua, ketua wajib melakukan pemeriksaan kapal dan penyelengaraannya sebelum jadual berlayar, dan untuk memastikan kapal berkeadaan baik, mistilah ada manual yang tidak pernah di ubah, kerana manusia tidak mampu menganal sintom kerosakan kapal, oleh itu Islam itu indah, kerana manualnya (Al-Quran) tidak pernah diubah, bahtera keimanan semakain hari bertambah baik, bagi orang yang tidak beriman dengan al-quran akan tergelincir dari kapal dan terjatuh di lautan nafsu yang rakus dan jahatnya yang bergelora. sedarlah wahai manusia sesusngguhnya kamu adalah orang-orang yang rugi.

    2. Selain dari puasa sebagai ibadah tanda kepatuhan kita kepada perintah pencipta (ALLAH), puasa juga adalah untuk merehatkan perut. umpama badan yang memerlukan rehat setelah seharian penat bekerja, begitulah juga dengan puasa, untuk memberikan kerehatan kepada perut…dalam setahun hanya sebulan sahaja kita berpuasa 🙂

    3. cuba la awak kaji dan hayati fadilat berpuasa, awak akan dpt jawapan nye.. byk sumber yg boleh awak dpt..

  4. السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
    Agak tertarik dengan soalan tuan puan..puasa kan jd rukun setiap yg mengucap kalimah…betul tu puasa mmg utk org miskin…tu pasal disuruh berpuasa,supaya belajar hidup mcm mana fakir miskin hidup…ape pun selamat beribadah….

  5. mau tanya pak ust. saya sudah berniat untuk membayar puasa dan sy juga sudah menjalan kan puasa itu dengan bangun mlam untuk sahur, mungkin karen sy lelah sy lnjutkan untuk tidur gak tau nya sy malah kebablasan dan akhirnya sy tidak melaksanakan shalat subuh.
    sungguh sy merasa menyesal,seakan puasa sy seperti sia-sia.
    pertnyaan sy pak, apakah sebaiknya sy melanjutkan puasa nya ataukah sy harus membatalkannya dan mengganti puasa dihari lain??
    mohon jawabannya .

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!