Tazkirah, Tokoh Islam

Pesan Imam Ghazali, Pelihara Lidah Daripada 8 Perkara Ini

Kemampuan untuk berkata-kata adalah anugerah Allah untuk manusia,terbitnya dari fikiran dan hati. Namun, anugerah ini juga ada baik dan buruknya, bergantung kepada bagaimana kita menggunakannya. Imam Ghazali ada berpesan supaya menjauhkan diri daripada bahaya lidah. Berikut ialah lapan perkara tersebut:

#1- Berdusta

“Pelihara lidah kamu daripada berdusta sama ada dalam keadaan serius mahupun gurau senda. Usah biasakan diri berdusta dalam keadaan bergurau, kerana ia akan membawa kamu untuk berdusta dengan lebih mudah”

“Jika kamu ingin memahami betapa hinanya perbuatan berdusta, maka lihatlah pendustaan orang lain. Pertimbangkan bagaimana kamu rasa dengan pendustaan mereka, bagaimana perasaan hina yang kamu rasa terhadap mereka dan penilaian kamu terhadap mereka sebagai suatu yang tidak bermoral”

Lakukanlah perkara yang sama dengan membayangkan segala kesalahan yang telah kamu lakukan, kerana kamu hanya dapat melihat keburukan perbuatan buruk sendiri dengan melihatnya di dalam orang lain.

#2- Melanggar Janji

“Berhati-hati dengan janji kamu terhadap sesuatu dan kemudian tidak menepatinya. Sebaliknya, biarlah kebaikan yang ingin dilakukan kepada orang lain adalah dalam bentuk perbuatan, tanpa perlu berkata-kata”

Tetapi jika kamu terpaksa untuk berjanji , maka berhati-hati untuk tidak melanggarnya, kecuali jika kamu memang benar-benar tidak mampu untuk memenuhinya, atau kamu terpaksa melanggarnya kerana keperluan yang benar-benar mendesak. Sesungguhnya, melanggar janji adalah salah satu tanda munafiq dan keburukan akhlak”

#3- Ghibah (Mengumpat)

“Maksud mengumpat ialah kamu berkata sesuatu tentang seseorang dan jika dia mendengar tentangnya maka dia tidak akan suka. Sekalipun apa yang kamu katakan itu benar, ia tetap menjadikan kamu seorang pengumpat dan seorang yang melakukan kesalahan”

BACA:  Wanita solehah permata suami

Rasulullah SAW sendiri pernah menegur perbuatan Saidatina Aisyah R.anha:

Ada seorang wanita yang menemui ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha. Tatkala wanita itu hendak keluar, ‘Aisyah berisyarat pada Nabi SAW dengan tangannya untuk menunjukkan bahwa wanita tersebut pendek. Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam lantas bersabda, “Engkau telah mengghibahnya.” (HR. Ahmad 6: 136. Syaikh Syu’aib Al Arnauth mengatakan bahwa sanad hadits ini sahih sesuai syarat Muslim)

Maka, dapatlah difahami bahawa ghibah atau mengumpat ini tidak semestinya dengan perkataan,bahkan dengan isyarat.

Kata Imam Al-Ghazali lagi: “Lihatlah ke dalam diri kamu sendiri, adakah kamu tidak mempunyai kesalahan, yang jelas atau tersembunyi? Adakah kamu melakukan sebarang perbuatan yang dilarang, secara terbuka atau tersembunyi?”

“JIka kamu mengetahui hakikat ini tentang diri sendiri, maka ketahuilah ketidakmampuan mereka untuk melepaskan diri daripada apa yang kamu katakan sama juga seperti kamu, dan alasan mereka juga sama seperti kamu. Seperti mana kamu benci dimalukan, dan kesalahan kamu diperkatakan, maka sama juga dengan mereka. Namun, jika kamu menutup kesilapan mereka, Allah juga akan menutup kesilapan kamu”

#4- Perselisihan, Perdebatan, Dan Perbahasan (Yang Bersifat Negatif)

“Perbuatan ini akan mengganggu ketenteraman dalam hidup kamu, kerana jika kamu berhujah dengan orang yang bodoh, maka dia akan menjengkelkan kamu, dan jika kamu berhujah dengan orang yang lebih bijak, dia akan menghina dan menindas kamu”

Perbuatan ini perlu dilakukan dengan telus, jujur, ikhlas untuk menasihati, bukan untuk berselisih faham atau mewujudkan pertikaian.

#5- Memuji Diri Sendiri

“…maka janganlah kamu memuji-muji diri kamu (bahawa kamu suci bersih dari dosa). Dia lah sahaja yang lebih mengetahui akan orang-orang yang bertaqwa” (Surah An-Najm 53:32)

BACA:  Hilang Keberkatan dan Rezeki Dalam Keluarga

“Berhati-hatilah daripada melakukan perbuatan ini. Ketahuilah bahawa ia mengurangkan keyakinan orang kepada kamu, dan menyebabkan Allah membencimu”

#6- Mencela Atau Mengutuk

“Peliharalah diri daripada menghina apa sahaja yang telah Allah ciptakan sama ada cuaca, binatang, makanan atau manusia, jangan juga menyumpah dan mencela orang yang tidak beriman, orang munafiq atau orang yang percaya kepada selain daripada Allah”

Kita memang perlu hidup dengan prinsip dan pendirian yang benar. Namun perlu juga difahami bahawa bersikap tegas dan mempertahankan suatu yang benar tidak perlu hingga mencela atau menghina.

#7- Meminta Dan Memohon Sesuatu Yang Buruk Untuk Orang Lain

“Tahanlah lidah kamu daripada berdoa sesuatu yang buruk untuk makhluk Allah yang lain, walaupun mereka melakukan kesalahan kepada kamu. Serahkanlah urusan tersebut kepada Allah sahaja”

Yakinlah, bahawa doa orang yang dizalimi itu didengari. Dan tanpa mendoakan suatu yang buruk kepada orang lain pun, Allah tetap akan memberi balasan yang adil.

#8- Mempersenda Atau Mempermainkan Orang Lain

“Peliharalah lidahmu daripada perbuatan ini, kerana ianya akan menghilangkan rasa hormat orang lain kepadamu, menyebabkan orang lain dizalimi dan akan merosakkan hati…ia juga menumbuhkan kebencian dalam hati”

“Dan mereka (yang diredhai Allah itu ialah orang-orang) yang tidak menghadiri tempat-tempat melakukan perkara-perkara yang dilarang, dan apabila mereka bertembung dengan sesuatu yang sia-sia, mereka melaluinya dengan cara membersihkan diri daripadanya.” (Surah Al-Furqan 25:72)

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!