Peranan besar Tok Kenali dalam perkembangan Islam

October 15th, 2011 | 10:12 am | General | 1 response

Muhammad Yusuf atau lebih dikenali sebagai Tok Kenali.

TOK KENALI atau Muhammad Yusof (nama timang-timangan beliau ialah Awang) dilahirkan di Kenali, Kelantan pada tahun 1868 Masihi. Beliau mempunyai pertalian yang rapat dengan pertumbuhan sistem pengajian pondok yang terdapat di negara ini amnya dan di Kelantan, khususnya.

Pesanan beliau yang cukup terkenal di kalangan anak-anak murid yang datang ‘mengaji’ dari setiap pelosok negara termasuk dari Kedah, Pulau Pinang, Terengganu, Pahang, Selangor, Johor dan Selatan Siam: “Belajar rajin-rajin” dan “balik buka pondok!”

Beliau dianggap wali kerana dianugerahkan oleh Allah dengan pelbagai karamah seperti berjalan di permukaan air, dapat berada di banyak tempat dalam jangka masa yang singkat, mempunyai mulut yang masin (berlakunya beberapa perkara setelah dikatakan oleh beliau).

Beliau juga dapat mengetahui perkara-perkara yang akan berlaku seperti kedatangan Jepun dan peristiwa banjir besar.

Beliau meninggal dunia dalam usia 65 tahun pada 19 November, 1933.

Tenaga penting majalah Pengasuh

Beliau adalah tokoh penting di sebalik penerbitan majalah Pengasuh di samping pernah menjadi Ahl iMajlis Agama dan Adat Istiadat Melayu (Dewan) Ulama. Beliau pernah belajar selama 17 tahun di Mekah dan lima tahun di Mesir.

Beliau membuka dua buah pondok di kampong kelahirannya di Kenali, dalam jajahan Kota Bharu. Di sinilah beliau berjuang, mengasuh dan mendidik anak-anak muridnya hingga melahirkan banyak tokoh agama, yang kemudian pulang membuka pondok pengajian di tempat masing-masing. Di samping mengajar, Tok Kenali juga aktif dalam penulisan.

Gandingan ulama dan umara

Sebagai Ahli Majlis (Dewan) Ulama, Tok Kenali juga turut terlibat dalam pemerintahan negeri. Beliau telah membantu menyusun undang-undang tubuh Majlis Agama dan adat Istiadat Melayu Kelantan.

Tok Kenali juga terlibat menggubal Kanun Tanah Negeri yang meliputi persoalan pembahagian harta pusaka menurut syariat.

Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar) Kelantan ketika itu diketuai sahabatnya, Nik Mahmud Ismail sering berbincang dan mendapatkan pandangan daripada Tok Kenali dalam banyak perkara pentadbiran.

Beliau pernah bertanyakan Tok Kenali berhubung cara untuk memajukan bandar Kota Bharu. Tok Kenali mencadangkan agar membina banyak sekolah supaya dengan usaha itu akan wujud banyak kedai, bangunan-bangunan dan bandar Kota Bharu akan maju.

Cadangan itu kemudiannya dilaksanakan dengan penubuhan banyak sekolah agama dan sekolah kebangsaan. Sultan Ismail turut menghormati Tok Kenali.

Bagindalah yang memerintahkan Tok Kenali menterjemah kitab induk Imam Syafie, iaitu Kitab Al-Umm dan kitab tafsir, Al-Khazan.

Mengajar di Masjid Muhammadi

Selain mengajar di Pondok Kampung Paya di Kenali, Tok Kenali juga mengajar di Masjid Muhammadi.

Selepas kematian ibunya, Tok Kenali berpindah mengajar sepenuh masa di Masjid Muhammadi atas permintaan Datuk Perdana Menteri (Menteri Besar).

Sejak itu, pondok-pondok kecil didirikan dengan banyak di sekeliling masjid itu yang didiami pelajar-pelajar yang datang serata negeri di Tanah Melayu (Malaysia). Masjid Muhammadi menjadi pusat pengajian pondok tertinggi dan termasyhur ketika itu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Tags: , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,

Responses so far...(1)

  1. 1

    asalamualaikom saya amat berminat membaca bab tok kenali dan saya juga membeli buku beliau ilmu mengenal diri dan ilmu makrifat terima kaseh

Leave a Reply

CommentLuv badge