Tazkirah

Penyakit ‘Ain Boleh Terkena Melalui Media Sosial

Di dunia hari ini, maklumat, berita dan hal peribadi boleh tersebar dengan sangat cepat dan mudah. Buka sahaja Facebook, anda dapat tahu si fulan sudah mendapat kerja baru. Buka sahaja Instagram, ada gambar kawan yang sedang bercuti di luar negara. Buka Twitter, orang ramai sedang bercakap tentang sesuatu perkara.

Gambar dimuat naik dengan bebas. Kesenangan, kemewahan dan kecantikan dipertontonkan kepada orang ramai. Ada yang memuji dan ada yang mengeji dalam diam.

Kehidupan peribadi bukan sahaja menjadi tatapan orang, malah tanpa disedari, kita sebenarnya telah terdedah dengan keburukan-keburukan yang tersembunyi daripada orang lain seperti dengki dan iri hati. Dalam Islam, perkara ini dipanggil ‘ain atau ‘penyakit ‘ain’

Penyakit ‘ain ialah penyakit yang disebabkan oleh pandangan mata yang disertai sifat iri atau rasa takjub terhadap apa yang dipandang. Ianya boleh terjadi dari orang yang dengki atau orang yang dicintai, dari orang yang jahat atau orang yang soleh. Al-Hafizh Ibnu Hajar rahimahullah berkata: ‘Ain adalah pandangan hasad dari tabiat yang buruk yang boleh menyebabkan mudarat pada orang yang dipandangnya.
[Fath al-Baari, 10/200]

Hadis mengenai ‘ain ada diriwayatkan dalam kitab-kitab hadis yang masyhur dan hukumnya sahih. Al-Imam al-Bukhari dan Muslim ada memuatkannya di dalam kitab Sahih mereka.

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ ـ رضى الله عنه ـ عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ الْعَيْنُ حَقٌّ ‏”‏‏.‏ وَنَهَى عَنِ الْوَشْمِ‏

Maksudnya: Dari Abu Hurairah RA, dari Nabi SAW telah berkata: al-‘ain itu adalah benar dan Nabi SAW melarang dari melakukan tatu
(Sahih al-Bukhari, Kitab al-Tib, Bab al-‘Ain Haq. No Hadith 5740)

BACA:  Makanan & Minuman Dalam Neraka Yang Dijanjikan Allah SWT Untuk Penghuninya

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏ “‏ الْعَيْنُ حَقٌّ وَلَوْ كَانَ شَىْءٌ سَابَقَ الْقَدَرَ سَبَقَتْهُ الْعَيْنُ وَإِذَا اسْتُغْسِلْتُمْ فَاغْسِلُوا‏”

Maksudnya: Dari Ibn Abbas R.Anhuma dari Nabi SAW telah berkata: al-‘Ain itu haq (benar). Jika ada sesuatu yang menjangkaui qadar maka ‘ain lah (yang dapat menjaungkauinya). Jika di minta kepada kalian untuk mandi (untuk penyembuhan), maka mandilah kalian.
Sahih Muslim, Kitab al-Salam, Bab al-Tib wa al-Maradhi wa al-Ruqa. No. Hadith (2188)

Penyakit ini tidak ada bentuk yang khusus. Ia boleh jadi penyakit fizikal atau penyakit batin. Dalam Irsyad al-Hadith Siri Ke-5, pihak mufti berpegang bahawa penyakit ‘ain ini ada asasnya dan ianya disebut dalam hadis dan diriwayatkan oleh al-Imam al-Bukhari dan Muslim (Muttafaqun ‘alain) bahkan ianya berlaku pada zaman Rasulullah SAW. Penyakit ini pernah menimpa sahabat Nabi SAW, Sahl bin Hunaif tatkala terkena ‘ain Amir bin Rabi’ah.

Kesimpulannya, berpada-padalah dalam mempamerkan apa-apa. Bagi orang yang memuji, pujilah secara sederhana, dan sebaik-baiknya pujian tersebut diiringi doa agar Allah memberkatinya. Apabila menerima pujian pula, seharusnya kita pulangkan segala rasa syukur kepada Allah dengan mengucapkan;

مَا شَاءَ اللَّـهُ لَا قُوَّةَ إِلَّا بِاللَّـهِ

“Semuanya adalah kehendak Allah, tidak ada kekuatan (atau kemampuan) kecuali dengan izin Allah”

Tidak semua perkara perlu dipertontonkan kepada umum. Bersederhana dalam setiap perkara itu lebih baik dan dapat menjauhkan diri kita dari keburukan-keburukan di sekeliling. Wallahua’lam.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *