Ibadah

Penangan Durian – Hukum Datang Ke Masjid Dengan Mulut Berbau

Hebatnya penangan raja buah pada musim ini sehingga ia telah tular dan menjadi kegilaan ramai. Setiap kali tiba musim durian, pasti ramai orang akan membelinya dan kadang-kadang ada yang akan membuat jamuan dan pesta memakan durian.

Harga durian juga dikatakan murah dan mudah untuk didapati di mana-mana terutamanya di pasar malam. Namun, harganya juga ada dilaporkan boleh mencecah ratusan malah ribuan ringgit buat para penggemar durian yang sanggup membelinya.

Malah, baru-baru ini tular berita mengenai harga sebiji durian yang telah mencecah sehingga 1.5 juta baht (RM199, 000). Durian ini dikatakan telah dibida dalam sebuah sesi lelongan di situ.

Durian yang bernama kanyao itu dikatakan durian yang paling mahal yang dijual setakat ini dan ia telah dibeli oleh penggemar raja buah tersebut di wilayah tengah Thailand. Durian tersebut dikatakan telah diambil sehari sebelum sesi itu berlangsung oleh pemilik kebunnya sendiri.

Hebatnya penangan durian sehingga negara-negara lain tidak terkecuali daripada menyambut musim ini. Malah, ada di antara warga asing yang dikatakan sanggup datang ke Malaysia untuk merasa sendiri keenakan durian.

Durian dikatakan mampu menyatukan kaum, namun ia juga dikatakan mampu menimbulkan kemarahan dan perpecahan di kalangan mereka yang anti durian juga. Hal ini disebabkan oleh baunya yang kurang menyenangkan sehingga boleh menimbulkan ketidakselesaan dalam kalangan mereka.

Perkara ini pernah menjadi tular dan kecoh akibat bau durian yang sangat kuat di dalam pesawat sehingga ia dikatakan mengganggu keselesaan penumpang yang lain.

Pesawat tersebut dikatakan menangguhkan perlepasannya akibat bau durian yang datang dari dalam kargo sehingga ia terpaksa dikeluarkan daripada kapal terbang berkenaan. Malah, banyak lagi kes dan situasi yang berkaitan dengan durian telah tular dan menjadi isu hangat dalam kalangan kita.

BACA:  Solat ubat gejala sosial

Bau Durian Dibawa Ke Dalam Solat

Tahukah anda, buah durian yang sudah tua dan terlalu masak mengandungi alkohol. Disebabkan itulah, jika dimakan secara berlebihan, ia boleh memabukkan, malah boleh muntah kerana panas dari dalam. Namun, menurut pandangan ulama’ seperti Mufti Indonesia, Imam Abu Hanifah dan ramai lagi, ia bukanlah alkohol yang sampai kepada hukum haram.

Menurut Imam Abu Hanifah lagi, hukum memakan durian adalah berbalik kepada hukum asal, iaitu harus dan tidak haram. Hal ini kerana, segala jenis buah dan juga jus buah yang tidak diproses seperti arak, iaitu diperam selama tiga hari atau lebih adalah halal untuk dimakan. Namun, perlu diingatkan untuk tidak berlebihan kerana bimbang boleh mengundang mudarat.

Hal ini ada disebut melalui firman Allah dalam kalamnya yang berbunyi:

وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُوا ۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

“Dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas.”
(Surah Al-A’raf, 7:31)

Malah, tidak dapat disangkal lagi bahawa terdapat banyak kebaikan dan khasiat yang akan diperoleh jika kita memakan buah durian. Hal ini telah didasari oleh beberapa buah kajian saintifik yang telah dilakukan oleh pakar-pakar pemakanan mengenai keunikan durian.

Buah durian yang dikatakan mengandungi vitamin A, C, E, B1, B2, kalsium, protein, serat, karbohidrat, kalium dan fosforus dikatakan baik untuk kesihatan dan kecantikan kulit. Malah, antioksidan yang terkandung di dalam durian tersebut boleh mencegah dan menghilangkan jerawat.

Ia juga mengandungi tryptophan yang berfungsi untuk menenangkan fikiran dan tubuh serta boleh mengubati penyakit imsonia. Vitamin B-6 yang juga terkandung di dalam buah durian mampu menghasilkan serotonin yang berfungsi untuk mencegah tekanan secara semulajadi.

BACA:  Puasa Elemen Pemangkin Daya Jihad

Akhir sekali, ia diyakini boleh mengawal keseimbangan gula dalam darah sehingga kadar gula menjadi normal. Walau bagaimanapun, ia tidak digalakkan dimakan oleh golongan yang mempunyai penyakit diabetis dalam jumlah yang banyak kerana ia mengandungi karbohidrat yang tinggi dalam bentuk glokosa dan fruktosa, menurut Dr Zubaidi.

Sebenarnya, banyak lagi khasiat dan manfaat durian yang diperoleh oleh para penggemar durian sehingga ia diiktiraf sebagai buah paling sedap oleh peminat durian yang fanatik. Walau bagaimanapun, pengambilannya perlu dielakkan sebelum ingin menunaikan solat, sama ada berjemaah atau tidak.

Hal ini kerana, baunya yang boleh menganggu kekhusyukan sesiapa sahaja dalam solat. Bukankah Allah telah berpesan bahawa, apabila solat, kita perlu meletakkan dunia dan isinya di luar agar tidak mengganggu ibadah kita.

قَدْ أَفْلَحَ الْمُؤْمِنُونَ
الَّذِينَ هُمْ فِي صَلَاتِهِمْ خَاشِعُونَ

Mafhum: “Dan berjayalah orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang khusyuk dalam sembahyangnya.” (Surah Al-Mu’minun, 23:1-2)

Malah, dalam sebuah hadis nabi juga ada disebut bahawa mereka yang memakan benda-benda yang sangat kuat baunya perlulah dibersihkan mulutnya terlebih dahulu sebelum bersolat.

مَنْ أَكَلَ ثُومًا أَوْ بَصَلًا فَلْيَعْتَزِلْنَا أَوْ لِيَعْتَزِلْ مَسْجِدَنَا

Maksud: “Siapa memakan bawang putih atau bawang, maka jarakkanlah mereka daripada kamu atau jarakkanlah daripada masjid kami.” (Hadis Riwayat Bukhari)

Menurut tafsir Al-Allam Syarh ‘Umdatul Ahkam, makruh hukumnya memakan benda-benda yang berbau jika ingin solat selepasnya. Ia bukan sahaja untuk mengelakkan daripada jemaah lain tidak terganggu, malah malaikat dan makhluk lain di dalam masjid juga.

Oleh itu, muslim dinasihatkan untuk mengelakkan diri daripada memakan durian atau makanan lain yang berbau seperti petai, bawang dan sebagainya sebelum menunaikan solat untuk mengelakkan daripada mulut yang berbau. Inisiatif lain ialah dengan membersihkan mulut untuk menghilangkan bau seperti bersugi atau menggosok gigi dengan bersih.

BACA:  Apa Itu Rukun Qauli , Qalbi Dan Fi’li Dalam Solat..Jom Sama-sama Ulangkaji

Hal ini adalah untuk menjaga kesucian dan maruah diri sendiri selain memberi keselesaan kepada jemaah lain juga.

Kesimpulan

Makan durian secara beramai-ramai adalah tidak salah, malah digalakkan untuk membantu mengeratkan silaturahim. Namun, jika dimakan secara berlebihan dan sehingga mendatangkan kemudaratan kepada diri sendiri atau jemaah lain, ia perlulah dielakkan.

Islam tidak melarang umatnya untuk merasa nikmat dunia, namun perlu berjaga-jaga agar tidak merosakkan ibadah diri sendiri dan orang lain.

Rujukan: Khusyuk Ketika Solat

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *