Isu Semasa

Minda: APD 2011 mampu tangani isu logo halal

MAKANAN halal! Mungkin di kebanyakan negara ia tidak menjadi isu, sama ada disebabkan nilai dan konsep itu sudah lama terpahat dalam amalan dan kepercayaan masyarakat atau istilah itu sememangnya asing sehingga tiada siapa peduli mengenainya.

Bagi Malaysia, sebuah negara berbilang kaum dengan Islam mewakili 61.3 peratus rakyatnya, isu makanan halal sering kali berbangkit akibat pelbagai faktor, termasuk kurangnya kesedaran dan sensitiviti antara satu sama lain.

Namun, di sebalik situasi itu, secara tidak langsung menjadikan konsep halal semakin popular diketahui dan mula disedari umum, sehingga masyarakat bukan Islam di Malaysia sudah mula memilih makanan halal kerana bagi mereka ia lebih terjamin kebersihannya.

Masyarakat Islam tentunya lebih prihatin terhadap konsep halal, terutama ketika premis makanan seperti kedai makan, kafe dan restoran semakin bercambah, ditambah dengan kehadiran produk bervariasi baru dalam pelbagai warna dan perisa.

Tetapi sekiranya anda singgah di sebuah premis dan memesan menu diingini mampukah anda memastikan cara penyediaan menepati garis panduan halal atau tahap prihatin anda menurun sebaik hidangan berada di depan mata?

Demikian juga apabila anda meneliti jenis ramuan pada tin minuman dan bungkusan makanan digenggam, mungkin sesetengah pihak tidak bermasalah untuk menterjemahkannya, tetapi tidak mustahil istilah saintifik itu sukar difahami rakyat kebanyakan.

Sudah tentu dalam situasi ini pemeriksaan, pemantauan dan penelitian daripada pihak lain diperlukan, sekali gus memberikan pengesahan halal kepada sesebuah premis serta produk makanan dan minuman yang dijual.

Justeru, banyak pihak tampil memberikan pengesahan halal kepada produk dijual walaupun Halal Malaysia dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) mendominasi pengesahan halal pada produk makanan dan minuman, termasuk premis makanan.

BACA:  Hukum ibadat korban dan hikmatnya

Kepelbagaian pengesahan halal itu bagaimanapun boleh mengakibatkan kekeliruan dan manipulasi pihak berkepentingan. Oleh itu, mulai Januari tahun depan, semua pengusaha restoran dan premis makanan di negara ini tidak lagi dibenarkan menggunakan perakuan dan logo halal selain daripada Jakim dan MAIN, sekali gus menyelaraskan pengeluaran sijil, logo dan pengesahan halal.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan itu dibuat berikutan Akta Perihal Dagangan (APD) 2011 yang diluluskan Parlimen pada Julai lalu.

Katanya, bermula tarikh itu juga kementerian akan melakukan penguatkuasaan dan mana-mana pihak yang didapati bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM100,000 (individu) dan RM250,000 (pertubuhan) atau tiga tahun penjara atau kedua-duanya sekali.

“Bermakna mulai 1 Januari 2012, tidak ada lagi logo halal selain daripada Jakim yang boleh digunakan terutama di premis makanan dan restoran.

“Logo lain yang digunakan pengusaha restoran akan terbatal dengan sendirinya pada tengah malam 31 Disember 2011 dan kalau ada yang menggunakannya kita boleh mengambil tindakan,” katanya, baru-baru ini.

Penguatkuasaan peraturan itu menunjukkan ketegasan kerajaan dalam aspek halal haram membabitkan makanan dan minuman, sekali gus tidak berkompromi untuk melindungi kepentingan masyarakat pengguna.

APD 2011 mengandungi beberapa peruntukan seperti berkaitan salah laku amalan perdagangan, perlanggaran cap dagangan, pelantikan pihak berkuasa berwibawa untuk perakuan dan pengecapan barang serta penalti.

Perkara lain mengikut akta itu ialah peruntukan bagi mengatasi isu penyalahgunaan sijil dan perakuan halal dengan mewujudkan perundangan subsidiari seperti Perintah Perihal Dagangan (takrifan ‘halal’) serta (perakuan dan penandaan ‘halal’ bagi makanan dan barangan) 2011.

Dengan berkuat kuasanya perundangan itu sudah tentu ia akan meningkatkan keyakinan pengguna terhadap pengesahan halal pada produk yang dibeli, malah sekiranya masih ada kekeliruan, mudah untuk melakukan semakan.

BACA:  Budak baca ayat al-Quran elak dirogol

Bagi pengusaha, peraturan itu tidak wajar dianggap membebankan dalam meraih keuntungan komersial, sebaliknya harus dilihat secara positif dengan penuh kesedaran dan rasa tanggungjawab bersama.

Presiden Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (Presma), Noorul Hassan Saul Hameed, berkata pihaknya menyambut baik pelaksanaan peraturan itu, namun soal kepatuhan bergantung kepada pengusaha sendiri.

“Kami tidak boleh memaksa mana-mana pihak kerana perkara ini lebih bersifat individu, cuma yang boleh kami bantu ialah memberikan galakan kepada ahli untuk mendapatkan pengesahan halal Jakim.

“Malah, selama ini pun kami sentiasa mengadakan kempen dan penerangan, memberikan nasihat kepada ahli di seluruh negara mengenai keperluan sijil halal yang diiktiraf dan kepentingan pengguna.

“Sambutan ahli amat menggalakkan. Sepatutnya bagi seorang Islam tidak berbangkit dalam soal halal kerana kita ada tanggungjawab pada agama,” katanya.
Menurutnya, Presma yang mempunyai 3,000 ahli sering mengadakan perbincangan berkaitan halal dengan pihak Jakim.

Bagi Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr Maamor Osman, pelaksanaan APD 2011 itu adalah satu langkah baik dalam menguatkuasakan peraturan berkaitan penggunaan sijil dan logo halal.

Namun, katanya, penggunaan logo halal Jakim dan peraturan yang baik sekali pun kurang memberi kesan sekiranya masih wujud sikap menipu di kalangan pengusaha.
“Kalau masih ada yang nak menipu, mungkin sewaktu pemeriksaan dilakukan (saja) mereka tunjuk yang betul,” katanya.

Katanya, PPIM kerap menerima aduan dan laporan berkaitan aspek halal produk makanan, malah kadangkala naik muak dengannya.

“Jadi, yang penting (bagi orang Islam) masak sendiri di rumah, kerana ia memang sah halal,” katanya.

Apa pun, dengan penguatkuasaan APD 2011, masyarakat pengguna mengharapkan ia mampu mendisiplinkan pengusaha supaya lebih peka dan bertanggungjawab, sekali gus menangani persoalan berkaitan halal haram dalam pemakanan dengan lebih berkesan.

BACA:  Siapa layak dapat kelebihan Lailatul Qadar?

Penulis Ketua Biro Putrajaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!