Tokoh Islam

Menyingkap Sejarah Rasul 1: Nabi Adam

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً ۖ قَالُوا أَتَجْعَلُ فِيهَا مَن يُفْسِدُ فِيهَا وَيَسْفِكُ الدِّمَاءَ وَنَحْنُ نُسَبِّحُ بِحَمْدِكَ وَنُقَدِّسُ لَكَ ۖ قَالَ إِنِّي أَعْلَمُ مَا لَا تَعْلَمُونَ

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): “Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumphkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya.”
(Surah Al-Baqara, 2:30)

Pasti kita semua pernah mendengar mengenai kisah Nabi Adam iaitu manusia pertama yang telah diciptakan sendiri oleh Allah SWT. Istimewanya ialah, sejarah penciptaannya sering dikaitkan dengan syurga, namun berdasarkan satu kesilapan sahaja yang dilakukan, baginda dan isterinya telah diperintahkan untuk keluar dari syurga. Baginda ialah Nabi Adam a.s yang telah dicipta sebagai khalifah pertama di muka bumi.

Sejarah penciptaan Nabi Adam a.s telah dirakam melalui kalam Allah dalam surah Al-Baqarah, ayat 30 hingga 38 dan juga surah al-A’raf, ayat 11 hingga 25. Banyak juga kisah Nabi Adam yang telah dikisahkan dalam beberapa riwayat, antaranya ialah:

Maksud: “Imam Ahmad mengatakan bahawa Yahya dan Muhammad meriwayatkan kepadanya dari Auf dari Qusamah bin Zuhair dari Abu Musa dari Nabi SAW, bersabda: “Allah menciptakan Adam berasal daripada segenggam tanah dari segala unsur. Oleh sebab itu, anak cucu Adam lahir sesuai dengan warna tanah. Di antara mereka ada yang berwarna (kulit) putih, merah, hitam dan sebagainya. Ada pula yang buruk dan ada yang bagus. Ada yang mudah (berakhlak baik), ada pula yang sedih dan seterusnya.” (Hadis Riwayat Baihaqi dan Tirmizi)

Penciptaan Adam A.S

Penciptaan Nabi Adam a.s telah dimuliakan oleh Allah SWT dengan menggunakan ‘tanganNya’ sendiri dan ditiupkan roh ke dalam dirinya. Tangan di sini bukanlah bermaksud seperti tangan manusia, kerana zat Allah tidak sama dengan zat manusia. Ia bererti kuasa Allah yang berupaya mencipta apa sahaja yang diinginkannya dengan hanya menyebut “jadilah!”

BACA:  Galaksi Baru Yang Dijumpai Wanita Turki Ini Dinamakan Sempena Namanya

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي خَالِقٌ بَشَرًا مِّن صَلْصَالٍ مِّنْ حَمَإٍ مَّسْنُونٍ
فَإِذَا سَوَّيْتُهُ وَنَفَخْتُ فِيهِ مِن رُّوحِي فَقَعُوا لَهُ سَاجِدِينَ

“Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: “Sesungguhnya Aku hendak menciptakan manusia dari tanah liat yang kering, yang berasal dari tanah kental yang berubah warna dan baunya. “Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya, serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan) ku, maka hendaklah kamu sujud padanya.”
(Surah Al-Hijr, 15:28-29)

Penciptaan Nabi Adam adalah melalui tanah seperti yang telah diceritakan melalui ayat di atas. Malah terdapat beberapa riwayat bahawa, terdapat beberapa tanah yang telah digunakan oleh Allah untuk menjadikan Adam. Oleh sebab itu, manusia dikatakan boleh bertahan dan tinggal di beberapa jenis tempat dan musim seperti sejuk, panas, musim luruh, di dalam air dan sebagainya.

Walau bagaimanapun, penciptaan Adam pada awalnya telah dipersoalkan oleh Malaikat dengan alasan manusia ialah golongan pemusnah dan perosak. Ini adalah berdasarkan kalam Allah yang bermaksud:

Mafhum: “Adakah Engkau (Ya tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?”
(Surah Al-Baqara, 2:30)

Namun, sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui terhadap segala sesuatu. Nabi Adam a.s telah tinggal di syurga bersama dengan Hawa, yang telah diciptakan tidak lama selepas Nabi Adam.

Kehidupan Nabi Adam Di Bumi

Kisah Malaikat dan Iblis yang telah diperintahkan oleh Allah untuk bersujud kepada nabi Adam juga ada diceritakan melalui Al-Quran. Kita sedia maklum bahawa malaikat ialah makhluk yang paling taat dan tidak pernah mengingkari Allah SWT, namun Iblis telah ingkar dengan arahan tersebut.

Mafhum: “Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami berfirman kepada malaikat: “Sujudlah kamu kepada Adam.” maka mereka sujudlah melainkan iblis, ia berkata: “Patutkan aku sujud kepada (makhluk) yang Engkau jadikan dari tanah (yang di adun)?”
(Surah Al-Isra, 17:61)

BACA:  Sirah Rasul: Nabi Idris, Manusia Pertama Menulis

Dengan angkuhnya iblis mengingkari arahan Allah SWT. Dengan sebab peristiwa itu, Iblis telah dihalau dari syurga oleh Allah dan iblis juga telah meminta kepada Allah untuk menyesatkan anak cucu nabi Adam sehingga hari kiamat.

Mafhum: “Ia berkata lagi: “Khabarkanlah kepadaku, inikah orangnya yang Engkau muliakan mengatasiku? Jika Engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat, tentulah aku akan memancing menyesatkan zuriat keturunannya, kecuali sedikit (di antaranya).”
(Surah Al-Isra’, 17:62)

Dengan sebab inilah iblis telah berdendam dengan Adam dan segala keturunannya dan akan menyesatkan manusia. Disebabkan itulah Nabi Adam a.s telah dihalau dari syurga kerana Iblis telah menggoda nabi Adam dan Hawa untuk makan buah yang dilarang oleh Allah daripada mendekatinya.

Mafhum: “Setelah mereka memakan (buah) pohon itu, terdedahlah kepada mereka berdua aurat masing-masing, dan mereka mulailah menutupnya dengan daun-daun (dari) syurga.”
(Surah Al-A’raf, 7:18)

Kemudian, Nabi Adam dan isterinya telah tinggal di muka bumi bersama dengan isterinya. Ada riwayat yang mengatakan bahawa Nabi Adam a.s telah hidup selama 1000 tahun. Namun, tiada riwayat yang sahih berkenaan umur baginda dan juga isterinya.

Ada yang berbahas bahawa bagaimana Nabi Adam a.s boleh hidup di muka bumi dalam keadaan tidak mengetahui apa-apa. Namun, sebenarnya, Allah SWT telah mengajarkan beberapa perkara sebelum diturunkan ke bumi.

وَعَلَّمَ آدَمَ الْأَسْمَاءَ كُلَّهَا ثُمَّ عَرَضَهُمْ عَلَى الْمَلَائِكَةِ فَقَالَ أَنبِئُونِي بِأَسْمَاءِ هَـٰؤُلَاءِ إِن كُنتُمْ صَادِقِينَ

Mafhum: “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: “Terangkanlah kepadaKu nama benda-benda ini semuanya jika kamu golongan yang benar.”
(Surah al-Baqara, 2:31)

Sepanjang tempoh awal berada di bumi, Nabi Adam a.s sentiasa memohon ampun terhadap Allah di atas dosanya yang telah melanggar perintah Allah dengan memohon buah yang dilarang. Setelah beberapa lama memohon ampun, akhirnya Allah mengampunkan baginda, berdasarkan firmanNya yang bermaksud:

BACA:  Abu Zayd Al-Balkhi: Tokoh Psikologi Pertama Dunia

Mafhum: “Kemudian Nabi Adam menerima dari Tuhannya beberapa kalimah (kata-kata pengakuan taubat yang diamalkannya), lalu Allah menerima taubatnya; sesungguhnya Allah, Dia lah yang Maha Pengampun (penerima taubat), lagi Maha Mengasihani.

Wujudkah Makhluk Lain Sebelum Adam Di Bumi

Berdasarkan tafsir daripada Imam Abu Jarir al-Tobari, semua kehidupan telah diciptakan sebelum penciptaan Adam. daripada Ibn Abbad, makhluk pertama yang mendiami bumi ialah jin. Jin ialah golongan yang telah membuat kerosakan dan menumpahkan darah.

Menurut Imam Ibn Kathir pula, jin telah dicipta sebelum Nabi Adam a.s dan sebelumnya ada juga makhluk lain yang tinggal di bumi, iaitu al-Hinn dan al-Binn. Bangsa ini telah dibunuh oleh jin serta dihapuskan daripada bumi.
Menurut Imam Fakhruddin al-Razi pula, ada yang berpendapat bahawa malaikat mengetahui berkenaan manusia yang berbuat kerosakan daripada bangsa jin yang selalu menumpahkan darah.

ثُمَّ جَعَلْنَاكُمْ خَلَائِفَ فِي الْأَرْضِ مِن بَعْدِهِمْ لِنَنظُرَ كَيْفَ تَعْمَلُونَ

Mafhum: “Kemudian Kami jadikan kamu (wahai umat Muhammad) khalifah-khalifah di bumi menggantikan mereka yang telah dibinasakan itu, supaya Kami melihat apa pula corak dan bentuk kelakuan yang kamu akan lakukan.
(Surah Yunus, 10:14)

Kewafatannya

Menurut sebuah hadis yang telah diriwayatkan dari Ibn Abbas dan Abu Hurairah, usia nabi Adam adalah bersesuaian dengan catatan Luh mahfuz, iaitu 1000 tahun.

Abdullah bin (imam) Ahmad mengatakan riwayat yang diterima dari Hadbah bin Khalid dari Hammad bin Salamah dari Hamid al-Hasan dari Yahya, bahawa: Setelah roh Adam dicabut, para malaikat yang lain telah mengajarkan anak-anak Adam cara untuk memandikan, mengkafani dan menyapukannya dengan menggunakan balsam. Mereka juga yang telah menggali kubur dan liang lahad untuknya. Maka, setelah selesai solat, jenazah Adam telah dibawa ke dalam liang lahad untuk dikuburkannya. Para malaikat berkata: “Wahai anak Adam, inilah sunahmu.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

 

Sumber: tzkrh.com 

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *