Isu Semasa, Keluarga

Menikahkan Anak Perempuan Tanpa Rela – Prof Madya Dato Dr Mohd Asri bin Zainul Abidin

Dalam Mazhab al-Syafi’i secara khususnya, bapa dan datuk merupakan wali mujbir yang bermaksud wali (pelindung) yang boleh memaksa anak perempuan berkahwin sekalipun tanpa kerelaan anak perempuan berkenaan. Dalam kata lain, sekalipun anak perempuan tidak mengenali siapakah suami itu dan tidak tahu apakah risiko atas perkahwinan tersebut. Atas pegangan Mazhab Syafii, kita mendapati banyak kes-kes paksaan kahwin dalam masyarakat Nusantara terutama pada zaman dahulu yang mana wanita tidak banyak mempunyai pilihan. Filem P. Ramlee, ‘Penarik Baca’ merupakan satu kritik social atas amalan tersebut yang berleluasa pada zaman itu. Di Indonesia, filem ‘Perempuan Berkalong Serban’ juga menceritakan bagaimana seorang kiyai menikahkan anak perempuannya walau tanpa kerelaan. Ini semua dianggap boleh dan sah, atas pegangan di sisi Mazhab Syafi’i. Bahkan beberapa pandangan dalam mazhab yang lain juga menganggap sah pernikahan tanpa rela anak perempuan itu. Hal ini juga membawa kepada kalangan bapa menikahkan anaknya yang masih kecil dan mereka hanya tahu mereka dikahwinkan apabila tiba masanya. Untuk menjawab hal ini, saya ingin menyebut beberapa hal di sini;

1. Kita menghormati ketokohan al-Imam al-Syafii r.h (meninggal 204H) sebagai tokoh ilmuwan yang agung. Kita juga menghormati Mazhab Syafii sebagai mazhab yang diamalkan oleh majoriti penduduk di negara ini, NAMUN seperti yang selalu saya tegaskan, kita tidak boleh fanatik tanpa menilai semula pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana mazhab. Masyarakat moden khususnya, tidak boleh terikat dengan hanya satu mazhab, sebaliknya hendaklah melihat Islam dalam kerangka yang lebih luas. Dunia yang global ini, bagaikan satu kampong sahaja. Manusia terdedah kepada realiti yang baharu dan pelbagai. Maka, pendapat dan kesimpulan dari mazhab dan tokoh yang pelbagai hendaklah dilihat dan disemak secara seimbang dalam mencari pendapat yang lebih kukuh dari segi dalilnya. Demikian hukum-hakam dalam Islam itu semestinya zahir padanya keadilan, hikmah dan tidak membawa kepada keadaan yang lebih buruk. Itulah sifat Islam yang termaktub dalam al-Quran dan al-Sunnah. Pandangan-pandangan yang diberikan oleh mana-mana tokoh terdedah kepada penilaian dari segi hujah nas dan konteks semasa ataupun realiti yang ada.

BACA:  Cahaya Islam bersinar di Korea Selatan

2. Dr Yusuf al-Qaradawi ketika menolak pendapat yang memboleh bapa memaksa anak perempun berkahwin mengulas: “Siapa tahu, jika al-Syafi’i r.a. hidup di zaman kita dan melihat kemajuan pengetahuan dan ilmu yang dicapai oleh anak gadis hari ini, sehingga mereka mampu menilai lelaki yang datang meminang mereka, atau jika mereka kahwin tanpa kerelaan akan menyebabkan kehidupan rumah tangga menjadi neraka, barangkali jika (ai-Imam) al-Syafi’i melihat hal ini dia akan mengubah pendapatnya seperti mana dia telah mengubah banyak pendapatnya”. (al-Qaradawi, Al-Fatawa al-Mu’asarah, 337-338, Beirut: Dar Ulil al-Nuha).

3. Kita lihat kepada hadis-hadis Nabi s.a.w, baginda tidak membenarkan paksaan dalam perkahwinan. Sekalipun pada zaman itu, paksaan ke atas wanita dalam pelbagai keadaan berlaku dalam masyarakat Arab, Parsi dan selain mereka, namun Islam datang memansukhkan paksaan ke atas wanita dalam menentukan pilihan hidup mereka. Dalam hadis dararipada Ibn ‘Abbas,
أَنَّ جَارِيَةً بِكْرًا أَتَتْ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَذَكَرَتْ أَنَّ أَبَاهَا زَوَّجَهَا وَهِيَ كَارِهَةٌ فَخَيَّرَهَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ
“Seorang gadis dara datang kepada Nabi s.a.w memberitahu bahawa bapanya mengahwinkannya sedangkan dia tidak suka, maka Nabi s.a.w memberikan pilihan kepadanya (sama ada untuk meneruskan atau menolaknya) (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah , dinilai sahih oleh al-Albani).

Maka dalam Sahih al-Bukhari yang merupakan kitab rujukan hadis yang terpenting ada Bab Iza Zauwaja Ibnatahu wahiya karihah fanikahu mardud (Apabila bapa mengahwinkan anak perempuannya, sedangkan anak perempuan itu tidak suka maka nikah itu ditolak).

4. Dalam hadis yang lain riwayat al-Bukhari dan Muslim, Nabi s.a.w bersabda:
لاَ تُنْكَحُ الأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ ، وَلاَ تُنْكَحُ البِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ
“Jangan dikahwinkan janda sehingga mendapat arahannya (dia meminta) dan jangan dikahwinkan anak dara sehingga diminta keizinannya”.
Al-Bukhari dalam kitab sahihnya meletakkan hadis ini dengan tajuk: باب لا ينكح الأب وغيره البكر والثيب إلا برضاها iaitu bermaksud “bab; bapa dan selainnya tidak boleh menikahkan anak dara ataupun janda tanpa kerelaan”.

BACA:  Makanan terbuang di Makkah cukup untuk jutaan kanak-kanak

5. Syeikh al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) ketika mengulas tentang paksaan anak perempuan berkahwin dengan kuasa wali mujbir, beliau menyebut: “Adapun menikahkan wanita dalam keadaan dia benci maka ini menyanggahi prinsip Islam dan akal yang waras. Allah tidak mengizinkan wali (bapa/datuk) memaksa anak perempuan atas sesuatu pembelian atau sewaan tanpa keizinannya, tidak juga boleh memaksa makanan, minuman dan pakaian yang dia tidak mahu. Bagaimana pula boleh memaksanya atas persetubuhan dan pergaulan dengan orang yang dia benci?! Memaksa pergaulan dengan orang yang dia benci bergaul dengannya?! Allah menjadikan hubungan antara suami isteri itu cinta dan kasih. Jika perkahwinan itu tidak menghasilkan kecuali kebencian dan berpaling daripada suaminya, mana di manakah cinta dan kasih dalam perkahwinan itu?” [Ibn Taimiyyah, Majmu’ al-Fatawa, 16/239. Riyadh: maktab al-‘Abikan].

6. Jelas dalil-dalil mensyaratkan kerelaan wanita dalam perkahwinan. Kerelaan itu hendaklah dilihat dalam konteks yang sebenar pada tempat dan waktunya. Anak perempuan yang bawah umur, yang tidak memahami realiti apa yang dia persetujui, tidak boleh dianggap rela. Realiti dan cabaran kehidupan zaman ini dan dahulu juga tidak sama. Untuk hidup di zaman moden, di negara kita, anak perempuan perlukan pendidikan dan pelajaran yang secukupnya. Jika dia masih lagi di sekolah rendah, bagaimanakah dia akan meneruskan dunia pelajarannya jika dia berkahwin di peringkat itu. Wali yang menikahkan anak kerana kemiskinan yang mana dia mahu perolehi keuntungan tertentu, tidak layak menjadi wali. Wali itu bermaksud pelindung. Dia sudah tidak menjadi pelindung. Bahkan dia sudah menjadi pemangsa.

7. Ingin diulangi di sini apa yang sarjana besar Islam al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah (meninggal 751H) sebut: “Sesungguhnya syariah Islam itu binaan dan asasnya adalah atas segala hikmah dan kebaikan untuk manusia di dunia dan akhirat. Syariah Islam itu segalanya keadilan, kebaikan dan hikmat. Maka setiap perkara yang terkeluar dari keadilan kepada kezaliman, dari rahmat kepada yang berlawanan dengannya, dari kebaikan kepada kerosakan, dari hikmat kepada sia-sia maka ianya bukan syariah Islam sekalipun diberikan takwilan untuknya”. (Ibn Qayyim al-Jauziyyah, I’lam al-Muwaqqi’in, 3/3, Beirut: Dar al-Jail).

BACA:  Calvary Church, Gereja terbesar di Malaysia dan Asia!

8. Sekali lagi ditegaskan, betapa perlu kita bersifat terbuka dalam menilai pandangan-pandangan agama sekalipun dari mazhab yang kita terbiasa dengannya. Islam itu hujah. Islam diutuskan untuk kebaikan manusia bukan untuk sebaliknya. Maka, segala nas, tafsiran nas dan pendapat dari apa aliran sekalipun, hendaklah dilihat dalam konteksnya yang betul. Jangan kita letakkan teks pada konteks yang salah. Kita tidak wajar terlalu terikat dengan sesuatu mazhab tetapi yang mesti kita lakukan berusaha memahami hujah-hujah para sarjana dari apa mazhab sekalipun selagi tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah.

 

Sumber: Facebook DrMaza.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!