Ibadah

Mengapa Tanah Digunakan Untuk Menyucikan Najis Mughallazah?

Kita mengetahui bahawa najis terbahagi kepada tiga, iaitu najis mukaffafah, najis mutawassitah dan najis mughallazah. Setiap daripada najis ini mempunyai kategori yang tersendiri, iaitu ringan, sederhana dan berat.

Najis yang berat ialah anjing, babi dan segala keturunan yang bercampur atau sentuhan dari mereka sama ada laluan mereka (basah), makanan yang bercampur dengan daging anjing atau lembu yang dikacuk dengan khinzir. Apabila salah satunya ada kena mengena dengan dua binatang ini, maka hukumnya terus bertukar menjadi haram sama ada dipegang atau dimakan.

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْتِي دَارَ قَوْمٍ مِنَ الأَنْصَارِ وَدُونَهُمْ دَارٌ ، قَالَ : فَشَقَّ ذَلِكَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالُوا : يَا رَسُولَ اللهِ ، سُبْحَانَ اللهِ تَأْتِي دَارَ فُلاَنٍ ، وَلاَ تَأْتِي دَارَنَا ، فقَالَ : فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَنَّ فِي دَارِكُمْ كَلْبًا ، قَالُوا : فَإِنَّ فِي دَارِهِمْ سِنُّوْرًا ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : إِنَّ السِّنُّوْرَ سَبُعٌ

Maksud: “Nabi SAW pernah masuk ke rumah seorang Ansar dan nabi juga pernah tidak masuk ke rumah seorang Ansar yang lain. Abu Hurairah berkata: Perbuatan tersebut menyebabkan mereka terasa. Mereka berkata: “Wahai Rasulullah, Maha Suci Allah, engkau masuk ke rumah fulan dan tidak masuk ke rumah kami.” Nabi SAW bersabda: “Ini kerana, di dalam rumah kamu ada anjing.” Mereka berkata: “Di dalam rumah mereka terdapat sinnur (sejenis kucing yang disebut juga felidae).” Maka, Nabi SAW menjawab: “Sesungguhnya sinnur itu adalah haiwan liar.” (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Dalam kalam Allah yang lain, ada dalil yang menyebut bahawa khinzir adalah haram, iaitu:

إِنَّمَا حَرَّمَ عَلَيْكُمُ الْمَيْتَةَ وَالدَّمَ وَلَحْمَ الْخِنزِيرِ وَمَا أُهِلَّ بِهِ لِغَيْرِ اللَّـهِ ۖ فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَلَا إِثْمَ عَلَيْهِ ۚ إِنَّ اللَّـهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Mafhum: “Sesungguhnya Allah hanya mengharamkan kepada kamu memakan bangkai, dan darah dan daging babi dan binatang-binatang yang disembelih tidak kerana Allah. Maka sesiapa terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak pula melampaui batas (pada kadar benda yang dimakan itu), maka tidaklah ia berdosa. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Baqara, 2:173)

BACA:  Cerita Lapar, Roti Canai dan Zakat

Melalui kedua-dua dalil ini, dapatlah kita lihat bahawa pengharaman kedua-dua binatang ini tidak dapat disangkal lagi. Oleh itu, umat Islam sentiasa perlu berhati-hati sama ada dari sudut pemakanan agar tidak memakan daging babi dan anjing atau yang ada kaitan dengannya.

Kenapa kedua binatang ini dianggap haram dan najis? Padahal ia adalah makhluk yang telah Allah ciptakan sendiri. Malah, menurut beberapa komen yang telah dilontarkan oleh netizen, kalau sesuatu itu tiada guna, mengapa perlu diciptakan.

Sebenarnya, setiap ciptaan Allah di muka bumi ini adalah sebagai suatu pengajaran dan ujian buat hambaNya. Bagaimana cara kita menghadapinya adalah bergantung kepada iman dan pegangan kita sendiri.

Walaupun telah banyak dalil dan kajian dari sudut Islam dan sains yang telah membuktikan bahawa daging babi dan anjing tidak memberi kesihatan kepada si pemakan, namun masih ada manusia yang menjadikannya sebagai makanan dan bahan masakan lain.

Menurut Dr Zakir Naik, seorang penceramah terkenal mengatakan bahawa bukan Islam sahaja yang meletakkan pengharaman khinzir, malah menerusi kitab suci agama Yahudi, Kristian dan Hindu juga ada menekankan mengenai pengharamannya.

Menurut Pakar Kesihatan Amerika Syarikat, iaitu Dr Joseph Mercola mengatakan bahawa daging babi boleh membahayakan kesihatan terhadap beberapa peringkat. 69 peratus daripada sampel daging babi yang diambil untuk tujuan kajian menunjukkan bahawa ia mengandungi bakteria berbahaya, iaitu yersinia enterocolitica yang boleh mengundang kepada pelbagai masalah kesihatan.

Ia juga dikatakan boleh mengundang risiko beberapa penyakit, iaitu Hepatitis E, multiple sclerosis (MS) dan kanser hati.

Manakala, bagi jilatan anjing pula dikatakan dapat memberikan bakteria yang berbahaya dan kotor serta boleh mendatangkan beberapa penyakit.

BACA:  Pintu Langit Terbuka Kerana Doa Ini…Subhanallhah

Jika disentuh sama ada secara sengaja atau tidak, maka perlu disamak dengan tujuh bilasan (sekali menggunakan air tanah dan enam kali air yang suci)

واعلم أنه لا فرق عندنا بين ولوغ الكلب وغيره من أجزائه فإذا أصاب بوله أو روثه أو دمه أو عرقه أو شعره أو لعابه أو عضو من أعضائه شيئا طاهرا في حال رطوبة أحدهما وجب غسله سبع مرات إحداهن بالتراب

Maksud: “Ketahuilah, tiada perbezaan dalam kalangan kami antara jilatan anjing dan selainnya daripada anggota anjing. Apabila terkena kencingnya, najisnya, darahnya, peluhnya, bulunya, air liurnya atau mana-mana anggota dari anggota badannya yang bersih ketika ia sedang berada pada keadaan apa sekalipun, maka wajib membasuhnya dengan tujuh kali basuhan dan salah satu daripadanya adalah tanah.” (Kitab Al-Minhaj bi Sharh Sahih Muslim)

Jika dimakan atau termakan daging haram ini, adakah perlu berkumur dengan air tanah? Menurut jumhur ulama’, tidak perlu berkumur menggunakan air tanah, tetapi sekadar bertaubat dan insaf dengan tidak mengulanginya lagi.

Menurut Ustaz Muhammad Luqman Mukhtar, beliau berkata bahawa jika dimakan dan menyedarinya, perlulah memuntahkannya dan bersihkan sahaja mulut sehingga tiada rasa atau kesannya sama ada dengan menggunakan air mutlaq yang banyak atau bersama dengan pembersih mulut yang biasa seperti memberus gigi.

Hal ini kerana, samak perlu dilakukan di luar badan sahaja dan pakaian atau tempat yang terkena najisnya. Tiada dalil mengenai samak mulut atau perut. Islam itu indah dan tidak membebankan umatnya.

Hikmah Penggunaan Tanah

Kedua-dua perbuatan ini ialah membersihkan najis. Namun, yang membezakannya ialah terhadap apa ia perlu dibersihkan.

Menurut jumhur ulama’, samak membawa maksud menyamak kulit supaya lembut dan berwarna, manakala sertu pula membawa maksud menyucikan mana-mana bahagian badan yang terkena najis (mughallazah) dengan air bercampur tanah sekali dan air mutlak enam kali.

BACA:  Perbanyak Baca Doa Ini di Malam Lailatul Qadar

Tujuan utama perlu membersihkan najis anjing dan babi dengan air tanah ialah disebabkan tanah merupakan salah satu bahan yang boleh menyeterilikan mikroorganisma.

Malah, menurut beberapa kajian yang telah dilakukan oleh beberapa pakar sains, iaitu satu sampel yang telah dicuci dengan air biasa dan satu sampel telah dicuci dengan air tanah dan air mutlak. Hasil kajian mendapati bahawa sampel yang dicuci dengan air tanah adalah lebih bersih berbanding dengan air biasa sahaja.

Hasil penelitian melalui mikroskop juga menunjukkan bahawa peratus bakteria masih banyak dalam sampel yang digunakan dengan air mutlak sahaja berbanding dengan yang digunakan dengan air tanah.

Tanah juga dikatakan dapat berfungsi sebagai agen yang menghalang bakteria daripada merebak, terutamanya sumber daripada tanah gunung berapi. Malah, dalam kajian lain juga disebut tanah boleh menghapuskan 99 peratus pepijat dalam masa sehari. Kajian ini telah dilakukan oleh ahli peruatan Perancis, iaitu Line Brunet de Course.

Menurut pandangan Imam Syafi’e, Imam Malik dan Imam Ahmad, wajib hukumnya membasuh najis mughallazah ini dengan tujuh kali basuhan, iaitu enam kali air tanah dan sekali air mutlak. Ini adalah berdasarkan dalil daripada hadis Rasulullah SAW, iaitu:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksud: “Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan yang pertama (basuhan) dengan tanah.” (Hadis Riwayat Muslim)

Kesimpulan

Tanah merupakan zat yang paling bersih dan boleh digunakan untuk mengapuskan bakteria. Banyak kajian saintifik yang membuktikan bahawa tanah boleh membersihkan beberapa kotoran dan mematikan bakteria. Oleh itu, ia membuktikan bahawa suruhan Allah dan Islam adalah tiada yang sia-sia.

Rujukan: Mufti Wilayah

 

Sumber: tzkrh.com

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *