Ibadah

Mengapa Surah Al-Taubah Tidak Dimulakan Dengan Bismillah

Surah Al-Taubah merupakan antara surah-surah terakhir yang diturunkan kepada Rasulullah SAW. Ia diturunkan selepas Surah Al-Maidah pada tahun 9 Hijrah. Surah ini diturunkan dalam tiga peringkat iaitu:

Peringkat Pertama

Dalam bulan Rejab tahun 9 Hijrah seebelum berlakunya peperangan Tabuk.

Peringkat Kedua

Semasa Rasulullah SAW serta umat Islam sedang membuat persiapan untuk menghadapi peperangan Tabuk

Peringkat Ketiga

Selepas kembalinya Rasulullah SAW dan umat Islam dari peperangan Tabuk iaitu pada akhir tahun 9 Hijrah sebelum musim haji.

Para ulama’ berbeza pendapat mengapa Surah al-Taubah ini tidak memiliki Basmalah di permulaan ayat.

Isyarat Pembatalan Perjanjian

Diriwayatkan dari Al-Mubarrid dan lain-lainnya: “Menjadi tabiat orang Arab apabila mereka memeterai sesuatu perjanjian atau piagam kemudia mereka membatalkannya, mereka akan mengutuskan sepucuk surat yang tidak dimulai dengan Basmalah”

Semasa turunnya Surah Al-Taubah yang mana menjadi titik pembatalan janji antara Rasulullah SAW dan para musyrikin, Rasulullah SAW telah mengutuskan Saidina Ali untuk membacakan surah tersebut tanpa memulakannya dengan Basmalah sebagai mesej pembatalan perjanjian dengan kaum Musyriqin.

Pertikaian Para Sahabat Ketika Menyusun Al-Quran

Pendapat yang dikemukakan oleh para ulama’ ialah tentang pertikaian para sahabat ketika Saidina Uthman bin Affan mahu menulis dan menyeragamkan al-Quran. Setengah daripada mereka berpendapat bahawa Surah Al-Anfal dan Al-Taubah adalah satu. Manakala yang lain pula berpendapat kedua-duanya adalah dua surah yang berasingan. Dengan sebab itu dibiarkan sahaja kedua-duanya berasingan tanpa menulis Basmalah sebagai jalan tengah terhadap kedua-dua pendapat.

Al-Imam Fakh al-Razi pula membahagikan perbahasan tentang sebab ketiadaan Basmalah (di awal Surah Al-Taubah) kepada lima pendapat dalam Kitab al-Tafsir al-Kabir:

Pendapat Pertama

BACA:  Melahirkan Anak yang Soleh dalam Islam

Berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas dari Saidina Uthman bin Affan bahawa Rasulullah SAW telah wafat tanpa sempat menerangkan tentang kedudukan sebenar surah al-Taubah.

Pendapat Kedua

Berdasarkan apa yang diriwayatkan dari Ubay bin Ka’ab bahawa beliau berkata: “mereka berselisih pendapat kerana di dalam Al-Anfal disebutkan tentang perjanjian yang dimeterai sedang di dalam Al-Taubah disebut pembatalan janji. Jadi, daku letakkan bersebelahan antara keduanya (lantaran kesesuaian isi kandungan di antara dua surah tersebut)”

Pendapat Ketiga

Berdasarkan perbezaan pandangan di antara para sahabat sama ada surah Al-Anfal dan Al-Taubah satu surah ataupun dua surah yang berasingan. Sebahagiannya berpendapat kedua-duanya adalah satu surah kerana ia diturunkan mengenai peperangan dan jihad. Kedua-dua surah tersebut tergolong dari surah-surah tiwal yang berjumlah tujuh surah. Pendapat ini jelas kerana ayat kedua-duanya berjumlah 206 ayat.

Pendapat yang lain mengatakan bahawa kedua-duanya adalah surah berasingan. Ini kerana setelah berlaku perselisihan antara sahabat, mereka telah meninggalkan ruang (tanpa Basmalah) sebagai mengambil kira pendapat yang mengatakan kedua-duanya berasingan. Begitu juga mereka tidak menulis Basmalah sebagai mengambil kira pendapat yang mengatakan kedua-dua surah adalah satu.

Pendapat Keempat

Ibn Abbas berkata, aku telah bertanya Saidina ‘Ali mengapa Basmalah tidak ditulis antara kedua-duanya? Saidina ‘Ali menjawab: “Basmalah bererti aman sedangkan surah Al-Taubah diturunkan berkenaan dengan pedang(peperangan) dan pembatalan janji. Dengan itu ia tidak ditulis.

Pendapat Kelima

Sebahagian ulama’ berpendapat, semasa Allah SWT menurunkan surah Al-Taubah dalam keadaan Allah mengetahui bahawa manusia akan berselisih pendapat tentang Basmalah sama ada ia satu ayat dari Al-Quran atau sebaliknya. Lalu, Allah SWT memerintahkan supaya Basmalah tidak ditulis di sini sebagai suatu kenyataan bahawa bahawa Basmalah adalah merupakan ayat pada setiap awal surah.

BACA:  Perjalanan hati tentukan kualiti ibadat

Oleh kerana Basmalah bukan satu ayat dari Surah Al-Taubah, ianya tidak ditulis. Ini menunjukkan bahawa Basmalah yang ditulis pada setiap awal surah adalah merupakan ayat dari setiap surah.

Walaupun begitu, Imam Al-Suyuti mempunyai pendapat yang berbeza iaitu beliau mengatakan bahawa Basmalah tidak ditulis kerana Rasulullah SAW tidak pernah memerintahkan para sahabat berbuat demikian. Al-Qinuji menambah lagi bahawa pendapat yang paling benar ialah Basmalah tidak ditulis kerana semasa Jibril diperintahkan untuk menurunkan surah ini, ia tidak diturunkan bersama-sama dengan Basmalah. Allahu’alam.

 

Sumber: Tazkirah.net

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *