Ibadah, Isu Semasa

Mengapa Berkompromi Dengan Arak?

Cara mudah kutip dana ialah mengadakan majlis makan sambil berceramah di hotel. Satu kerusi RM50 atau RM100. Kalau 200 kerusi, penganjur mudah-mudah dapat bersih RM3000 hingga RM10000. Itu tidak termasuk kutipan derma yang dilancarkan dalam majlis tersebut.

Namun begitu timbul persoalan. Bolehkah makan-minum di hotel yang menyediakan minuman keras? Allah melarang keras kerja mengurus, membawa, menghidang, membeli dan meminum arak. Bekerja dan berurusan dengan minuman keras ini salah, maka tidak salahkah majlis-majlis dianjurkan di hotel yang memang ada peti dan botol najis ini.

Apakah kita terlepas pandang kerana kita tidak pernah didedahkan (dihidangkan) mimuman keras secara terbuka dalam majlis-majlis yang dianjurkan. Kalaulah botol-botol arak sewenang-wenang dipamerkan di sudut-sudut tertentu di hotel, sudah pasti kita tidak akan berkompromi lagi.

Walaupun kita tidak terpandang botol-botol dan iklan minuman keras, tetapi kita amat pasti bahawa minuman keras itu berada di sana. Justeru itu, wajarkah kita berada di dewan-dewan indah hotel sambil menikmati hidangan dan ucapan sedangkan secara tidak langsung kita telah membantu survival hotel yang mesra minuman keras?

Kini kita sudah terbiasa mengadakan program ‘makan sambil ceramah’ di hotel. Umat Islam secara individu atau berkeluarga juga kerap berbuka puasa di hotel. Kalaulah perkara ini masuk dalam kategori syubahat sahaja pun, seeloknya gerakan Islam dan umat Islam menjauhi tempat-tempat mesra arak ini. Individu, organisasi dan jabatan kerajaan hendaklah mencari alternatif lain.

Pilihlah hotel atau restoran yang bebas minuman keras. Ingatlah, kalau orang yang menghidangkan arak pun sudah dikira haram, apakah pengunjungnya juga tidak dikira haram? Fikir-fikirkan.

Nota-nota Dakwah Di Kemaman

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

BACA:  Produk Halal, Tuntutan Syarak