Hukum

Mengapa Belalang Halal Dimakan?

Terdapat sebuah hadis sahih dah terkenal yang mengatakan bahawa belalang halal dimakan. Malah, pada zaman Baginda SAW, para sahabat yang keluar berperang juga dikatakan akan mengikat perut dengan memakan belalang.

سَأَلْتُ عَبْدَ اللَّهِ بْنَ أَبِي أَوْفَى عَنْ قَتْلِ الْجَرَادِ، فَقَالَ غَزَوْتُ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم سِتَّ غَزَوَاتٍ نَأْكُلُ الْجَرَادَ

Maksud: “Aku bertanya ‘Abdullah bin Abi Aufa tentang membunuh belalang, dia menjawab: “Aku pernah pergi berperang bersama Rasulullah sebanyak enam kali dan kami memakan belalang.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 4357)

Menurut perbahasan ulama’, hukum memakan belalang adalah harus dan boleh dimakan begitu sahaja, iaitu tidak melalui proses penyembelihan.

Menurut Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, 9/27, belalang tidak perlu disembelih kerana saiznya yang kecil dan mustahil untuk dilakukannya. Maka, syarat penyembelihan itu gugur.

أُحِلَّتْ لَنَا مَيْتَتَانِ الْحُوتُ وَالْجَرَادُ

Maksud: “Dihalalkan bagi kita dua jenis bangkai: “Ikan dan belalang.” (Hadis Riwayat Ibn Majah, no. 3218)

Kebiasaannya, anak-anak kecil yang bermain di kawasan kampung atau sawah padi akan menangkap belalang untuk digoreng. Malah, ada yang akan terus memakannya begitu sahaja.

Hal ini tidak menjadi permasalahan, asalkan keadaan makanan tersebut bebas dari kekotoran atau bahan yang boleh memudaratkan seperti lumpur dan sebagainya.

Belalang Dari Sudut Sains

Belalang merupakan haiwan yang darahnya tidak mengalir. Umum mengetahui, darah membantu mengangkut zat makanan, hormon dan juga memberikan metabolisme pada badan.

Pada darah juga terdapat bakteria, sama ada baik atau jahat yang akan membantu menyeimbangkan aliran darah.

Darah yang melalui pembuluh darah dalam badan manusia mahupun haiwan lain akan membantu mengepam jantung untuk terus berfungsi.

BACA:  Hukum Membuang Sampah Ke Dalam Tong Sampah Jiran

Disebabkan itulah, sebelum haiwan dimakan, ia perlu disembelih terlebih dahulu bagi menghentikan aliran darah sekali gus mengelakkan bakteria mereka merebak ke seluruh daging haiwan dan menjadikan ia selamat dimakan.

Berbeza dengan serangga. Mereka mempunyai haemolymph, iaitu cecair yang membawa nutrisi dan zat makanan yang fungsinya adalah lebih kurang sama dengan haemoglobin.

Walau bagaimanapun, ia tidak membawa oksigen kerana serangga tidak bernafas melalui paru-paru. Saiznya yang kecil membuatkan mereka bernafas melalui kulit atau sistem trakea yang juga dikenali sebagai sistem saluran terbuka.

Jika haemoglobin memiliki zat besi yang akan menyebabkan darah menjadi warna merah, cairan haemolymph pula menyebabkan warna serangga berubah.

Seperti kita melihat ada belalang yang warnanya hijau atau kuning. Ia adalah disebabkan faktor cairan yang terkandung di dalam badan mereka.

Menurut beberapa kajian lagi seperti Scientific American – Perbezaan Darah Manusia dan Serangga yang dilakukan oleh DeSalle pada 2017, cairan ini terdiri daripada 90 peratus kandungan air dan selebihnya adalah gula, zat besi dan sebagainya.

Ia adalah sama dengan ikan yang tidak mempunyai pembuluh darah dan tidak akan menyebabkan dagingnya rosak akibat kuman yang terperangkap di dalam darah.

Wallahu a’alam.

Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *