Nasihat, Remaja

Mendedahkan Aurat Ketika Bersukan

MENDEDAHKAN AURAT KETIKA BERSUKAN

ISLAM menganjurkan umatnya supaya sentiasa memelihara kesihatan dan meningkatkan kekuatan tubuh badan sertaketajaman akal. Kerana itu Islam menggalakkanaktiviti-aktiviti riadah yang mampu meningkatkan kekuatan fizikal dan mental.

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallammerupakan qudwah (ikutan) yang terbaik dalamhal ini. Dalam kitab-kitab hadits dan sirah, banyak riwayat yang menyatakan bahawa Baginda menggemari dan menganjurkan sukan-sukan yang berbentuk olahraga, pertahanan diri dan ketenteraan seperti berlumba lari, berenang, memanah, menunggang kuda, beradu senjata, dan sebagainya.

Sungguhpun demikian, Islam tidak sekali-kali membiarkan umatnya terbiar begitu sahaja untuk melakukan sesuatu perkara tanpa memberikan sebarang bimbingan, garispandu atau batasan. Maka kerana itulah, tiap sesuatu itu ada batasannya yang perlu dijaga dan diperhatikan, termasuk juga dalam perkara sukan dan bersukan.

Walaupun bersukan itu pada dasarnya adalah harus, sama ada ia dilakukan atas dasar memelihara kesihatan atau sekadar mengisi masa lapang, namun ia boleh menjadi tertegah bahkan haram dalam keadaan-keadaan tertentu terutama jika ia bertentangan dengan hukum, ajaran, tatacara, syariat dan adab-adab Islam. Antara batasan yang sering dipandang ringan ketika bersukan ialah perintah menutup aurat.

Tidak Ada Keringanan Untuk Mendedahkan Aurat Ketika Bersukan

Aurat merupakan satu mahkota kehormatan tidak kira bagi perempuan mahupun lelaki. Dari itu ia wajib dijaga bukan sahaja ketika mengerjakan sembahyang, bahkan ia wajib dijaga pada sepanjang masa hatta dalam rumah sekalipun. Menjaga aurat itu sangat tinggi nilainya, sehinggakan apabila seseorang itu menutup aurat dengan sempurna, identitinya sebagai seorang Islam akan terserlah dan akan dipandang dengan penuh rasa mulia dan hormat. Sebagai contoh, jika kita terlihat seorang perempuan yang menutup auratnya dengan sempurna misalnya, maka perkara paling awal yang akan terdetik dalam hati kita ialah perempuan tersebut adalah seorang yang berugama Islam dan dia adalah seorang muslimah yang baik.

BACA:  Bolehkah Seorang Muslim Melakukan Prank ?

Apa dia aurat? Dari segi bahasa, aurat berasal daripada perkataan Arab yang bererti aib atau sesuatu yang memalukan. Menurut istilah syara‘ pula, aurat ialah bahagian tubuh manusia yang wajib ditutup dan dilindungi daripada pandangan orang ramai. Aurat lelaki ialah di antara pusat dengan dua lutut. Sementara aurat perempuan pula ialah seluruh anggota tubuh badannya melainkan muka dan dua tapak tangan (luar dan dalam) sehingga dua pergelangan tangannya.

Dari definisi aurat itu sendiri dapat difahami bahawa mendedahkan aurat itu merupakan satu perbuatan yang mendatangkan aib dan memalukan. Jadi orang yang sihat perasaannya, sempurna akhlaknya dan waras akal fikirannya secara fitrah dan semulajadinya pasti akan menjaga auratnya dengan sempurna dan pasti akan segera menutupi auratnya yang terdedah itu dengan apa jua cara sekalipun.

Menurut syara‘, hukum menutup aurat itu adalah wajib, dan mendedahkannya pula adalah haram dengan nas al-Quran, hadits dan ijma‘ umat Islam dan merupakan satu dosa besar. Mendedahkan aurat menyebabkan orang itu sentiasa dalam laknat Allah Subhanahu wa Ta‘ala dan sentiasa dalam dosa selagimana dia belum bertaubat, belum menyesali dan belum berniat untuk meninggalkan perbuatan tersebut.

Hendaklah diingat bahawa tidak ada kelonggaran untuk membuka aurat ketika bersukan. Alasan-alasan seperti panas, rimas, sukar membuat pergerakan dan sebagainya jika menutup aurat ketika bersukan tidak sekali-kali diterima oleh syara‘.

Dari itu, ketika bersukan hendaklah memakai pakaian yang bersesuaian, menutup aurat, tidak menjolok mata dan tidak menimbulkan fitnah.Perlu diingat dan ditekankan di sini bahawa pakaian yang jarang, nipis atau ketat sehingga menampakkan warna kulit atau susuk tubuh adalah ditegah dan tidak memadai walaupun pada zahirnya ia seolah-olah menutup bahagian aurat.

BACA:  Inilah 11 Tips Untuk Memenangi Hati Ibu Bapa..Anak-anak Sila Amalkan.

Tidak ada kelonggaran menurut syara‘ dalam hal menutup aurat ketika bersukan ini sungguhpun di antara sesama lelaki ataupunsesama perempuan. Abu Sa‘ed al-KhudriRadhiallahu ‘anhu berkata bahawa RasulullahShallallahu ‘alaihi wasallam telah bersabda:

Maksudnya : “Janganlah seorang lelakimemandang akan aurat seorang lelaki (yang lain) dan janganlah seorang perempuan (memandang) akan aurat seorang perempuan (yang lain).” (Hadits riwayat Imam Muslim)

Daripada Mu‘awiyah bin Haidah Radhiallahu ‘anhu, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda:

Maksudnya: “Jagalah auratmu kecuali dari isterimu atau hamba-hamba perempuan yang engkau miliki.” (Hadits riwayat Imam Abu Daud, at-Tirmidzi dan Ibnu Majah)
Selain memastikan aurat terjaga dengan sempurna, wajib juga menjaga syarat-syarat lain yang telah digariskan oleh syara’ dalam hal berpakaian seperti:

  1. Tidak menyerupai pakaian lawan jenisnya.
  2. Tidak menyerupai pakaian atau cara berpakaian orang kafir.Maksudnya di sini ialah apa-apa pakaian atau sesuatu yang dipakai oleh orang kafir sebagai cogan khas atau ciri pengenalan bagi mereka, contohnya di sini seperti ‘scapular’, iaitu sejenis potongan kain atau aksesori tertentu yang dipakai khusus oleh pengabdi ugama Kristian.
  3. Tidak memakai pakaian yang mempunyai gambar, lambang atau unsur yang bertentangan dengan syariat Islam seperti lambang salib, minuman keras dan sebagainya.
  4. Khusus bagi perempuan pula, jangan dia memakai pakaian yang mempunyai wangiwangian dan jangan pakaian itu berhias-hias kerana yang demikian itu akan menarik perhatian lelaki dan sekaligus mengundang fitnah.
  5. Manakala bagi lelaki pula, jangan pakaiannya itu diperbuat daripada benang sutera. Dari itu, dengan sendirinya, apa saja jenis sukan yang mensyaratkan untuk memakai pakaian yang tidak memenuhi kehendak syara‘ apatah lagi bertentangan dengannya seperti sukan yang mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mendedahkan aurat atau mewajibkan pesertanya memakai pakaian yang mengandungi lambang salib dan sebagainya adalah wajib ditinggalkan.
BACA:  Berpakaian Tetapi Telanjang

Maka sebagai merealisasikan rasa taqwa dan takutkan Allah Subhanahu wa Ta‘ala, marilah kita menutup aurat dengan sempurna dan menghindarkan apa sahaja bentuk dan jenis pakaian yang melanggar aturan hukum syara‘ pada sepanjang masa termasuk ketika melakukan aktiviti sukan. Jangan hendaknya aktiviti sukan yang pada asalnya diharuskan oleh syara‘ itu menjadi satu aktiviti yang mendatangkan dosa akibat kealpaan kita dalam menjaga adab berpakaian. Biar dalam kita berusaha mendapatkan sihat itu kita turut sama mendapatkan berkat dan redha Allah. Jangan pula kerana inginkan sihat, laknat pula yang kita dapat!

WALLAHU’ALAM

Gambar hiasan credit www.szlihin.com

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

8 Comments

  1. assalam alaikum wbt.
    (bukan peminat tegar bola, tapi kalau dh dduk dpn tv ada game bola, mmg layan. n gambar kt post ni, pengkomen anggap gambar fifa yer. baca dengan nada gembira sbb bnyk lawak yang diselitkan dalam komen dibawah 🙂 )

    Post yang baik, penuh dengan informasi tentang aurat dan sukan.

    Cuma agak kecewa dengan gambar yang diselitkan pada permulaan post. Seperti sedia maklum bulan jun 2014 merupakan detik permulaan bagi world cup FIFA 2014 @Brazil. Semangat kesukanan dengan hormon adrenalin yang memuncak menaikkan lagi keasyikan dan minat terhadap sukan bola sepak. Bangun pagi-pagi hingga masuk tidur semula, kotak serebrum banyak dihabiskan memikirkan bola sepak. Sebahagiannya ada yang tersungkur hingga lalai terhadap Islam, ada juga yang menjadikan FIFA sebagai medan tarbiah qiamulail seperti fasa exam yang dijadikan medan kesufian oleh student Muslim.

    Perlu faham kondisi dan perasaan peminat sukan bola sepak sebelum mengulas sukan tersebut. Post ini, sememangnya tiada kebatilan cuma strategi dakwah yang janggal untuk peminat bola sepak. Seakan-akan menggunakan bola sepak untuk kepentingan Islam(ibadah khusus), walhal Islam itu sifatnya menyeluruh. Sihat tubuh badan, berdaya saing, berstrategi, teamwork, dan banyak lagi elemen Islam yang wajar disentuh bagi mengulas FIFA. Memang tajuk yang ditulis selari dengan isi tulisan tetapi deria penglihatan lebih mudah merangsang pemikiran untuk membaca, lalu pembaca tertipu dengan iklan gambar tersebut. Lebih sesuai diletakkan gambar sukan tadika Pasti yang memaparkan kanak-kanak bertudung dan menutup aurat ketika bersukan(gurau je, jgn marah 🙂 ). Apabila pembaca selesai membaca, dikhuatiri pemikiran sekular boleh menular dengan beranggapan bahawa ‘islamic sport’ hanya berlegar pada tutup aurat. Peminat sukan menjangkakan tulisan yang lebih kritikal dengan ulasan secara khusus pemain-pemain, sejarah FIFA, atau strategi perlawanan yang mungkin boleh dikaitkan dengan dalil-dalil menyeru kepada persahabatan, berstrategi dalam peperangan dan sebagainya. Lebih bertambah buruk, ditakuti pembaca yang baru berjinak-jinak dengan islam tidak merasakan kebersamaan Islam dengan dirinya disebabkan satu perkara tidak menutup aurat, lalu hanyut memasuki dunia liberal.

    Secara ringkasnya, comment ini menegur beberapa perkara:
    1) Gambar yang menipu peminat FIFA, andai di-post bukan musim FIFA, boleh diterima kerelevenan.
    2) Tiada ulasan matang yang kritikal tentang FIFA walaupun terselit gambar pemain FIFA
    3) Islamic Sport hanya disempitkan pada bab tutup aurat.

    Seperti tulisan dalam link dibawah, mengulas siri anime dan dikaitkan dengan prinsip hidup. Islam is a way of life

    Sekian drp Hamba Allah yang sebenarnya tidak seberapa pun dalam bab agama.
    Peace no wars.

  2. Artikel yg jelas megenai aurat dalam bersukan.Namun, penulis terlalu “takut” untuk membuat kesimpulan.

    Bayak sangat artikel sebegini yg dikupas cantik oleh para ilmuan , namun masih gagal menyatakan pendirian mereka denagn alasan ‘pembaca mempunyai akal untuk menilai sendiri”

    Apbila didapati kandungan babi ada dalam coklat,maka dengan lantang pihak Jabatan Ugama Islam mengistiharkannya HARAM untuk umat islam memakan coklat berkenaan.

    Sebagai contoh permainan bolasepak atau pun sukan renang ( lelaki dan perempuan ) yg jelas mendedahkan aurat tidak pula disebut HARAM untuk disertai oleh Orang islam.

    1. sangat setuju dengan statement nya.. Halalu bayinun wal haromu bayinun..

  3. Salam ustaz

    mohon tulis berkenaan aurat ketika bersalin

    ramai benar ibu dan anggota perubatan menggunakan alasan darurat

    adakah benar ustaz?

    terima kasih

    1. Saya setuju dengan pendapat/persoalan ini. Kesian kepada muslimah yang nak melahirkan anak terpaksa dedahkan aurat depan doktor/nurse/pekerja lelaki di hospital..

      Sedangkan doktor/nurse/pekerja perempuan banyak tapi kenapa mesti ada doktor/nurse/pekerja lelaki menyibuk nak uruskan muslimah bersalin?

  4. terima kasih atas perkongsian ni..memang ramai yang terlepas pandang atau mungkin mengambil remeh tentang isu ni..

  5. Terima kasih dengan penjelasan yg detail ini.Moga sama2 mengambil manfaat dari artikel ini

  6. kaki adalah salah satu aurat wanita ..bagaimana seorang pelajar perempuan apabila di sekolah perlu memasuki ke makmal dengan membuka stokin .. kerana takut berbau kerana memakai kasut sekolah ..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *