Tazkirah

Mari Lakukan Amal Soleh Sebelum Datang 7 Perkara

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ: بَادِرُوا بِالْأَعْمَالِ سَبْعًا هَلْ تَنْتَظِرُونَ إِلَّا فَقْرًا مُنْسِيًا أَوْ غِنًى مُطْغِيًا أَوْ مَرَضًا مُفْسِدًا أَوْ هَرَمًا مُفَنِّدًا أَوْ مَوْتًا مُجْهِزًا أَوْ الدَّجَّالَ فَشَرُّ غَائِبٍ يُنْتَظَرُ أَوْ السَّاعَةَ فَالسَّاعَةُ أَدْهَى وَأَمَرُّ

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda: “Segeralah melakukan amal soleh (sebelum datang) tujuh perkara. Apakah yang kamu perlu tunggu melainkan kefakiran yang akan melupakan kamu (daripada beramal), atau kekayaan yang akan menimbulkan rasa angkuh yang melampui batas, atau penyakit yang merosak (sehingga sukar untuk beramal soleh), atau masa tua yang menimbulkan kenyanyukan dan keuzuran, atau kematian yang cepat (secara tiba-tiba), atau adanya Dajjal sebagai makhluk jahat yang paling ditunggu-tunggu, atau datang hari kiamat dan hari kiamat itu lebih berat dan lebih sukar.”
(HR Tirmizi, No: 2306) Status: Hadis Sahih

#1- Kefakiran Yang Akan Melupakan Daripada Beramal

Kefakiran atau kesusahan sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada amal. Hari ini kita dapat melihat terlalu banyak masalah berlaku disebabkan faktor taraf hidup yang semakin tinggi contohnya di kawasan perumahan PPRT. Bilik yang tidak cukup untuk ahli keluarga akan memberi kesan kepada penjagaan aurat dengan ahli keluarga. Suasana yang tidak sihat serta pedapatan yang tidak cukup untuk menampung perbelanjaan pula akan memberi kesan kepada fokus serta perhatian.

Kesemuanya berkait rapat antara satu sama lain. Tanpa disedari, hal ini sebenarnya dapat memberi kesan kepada kualiti amalan dan ibadah.

#2- Kekayaan Yang Akan Menimbulkan Rasa Yang Angkuh Melampau Batas

Ujian yang ada bukan hanya tentang kemiskinan malah juga kekayaan. Orang yang benar-benar tahu bagaimana diuji dengan harta adalah orang yang pernah merasainya. Dan orang yang paling beruntung diuji adalah orang yang menyedari dan kembali ke jalan yang diredhai Tuhan.

BACA:  Hukum Memuat Naik Gambar Tidak Menutup Aurat Di Media Sosial

#3- Penyakit Yang Merosakkan Badan Sehingga Sukar Beramal

Islam sentiasa menggesa umatnya supaya menjaga kesihatan seperti tidak berlebihan dalam makan, tidak tidur selepas Subuh, riadah dan sebagainya. Peliharalah amal kita ketika sihat dengan sebaik-baiknya.

#4- Masa Tua Yang Menimbulkan Kenyanyukan Dan Keuzuran

Kita sentiasa berdoa agar dipanjangkan umur. Sebaiknya kita melanjutkan lagi doa tersebut dengan ‘dipanjangkan umur dalam keredhaan dan keberkatan’. Waktu tua adalah waktu di mana kudrat dan kekuatan kita semakin berkurang. Masa muda adalah masa terbaik untuk meningkatkan kuantiti serta kualiti ibadah.

#5- Kematian Yang Tiba-Tiba

Kematian datang secara tiba-tiba, tidak ada yang tahu bila, di mana dan bagaimana keadaan kita ketika itu. Peringatan tentang kematian datang untuk membuatkan kita lebih berwaspada dengan apa yang kita lakukan sepanjang hidup.

#6- Kehadiran Dajal

Dalam sebuah hadis sahih disebutkan,

مَا بَيْنَ خَلْقِ آدَمَ إِلَى قِيَامِ السَّاعَةِ خَلْقٌ أَكْبَرُ مِنَ الدَّجَّالِ

“Tidak ada satu pun makhluk sejak Adam diciptakan hingga terjadinya kiamat yang fitnahnya (cubaannya) lebih besar dari Dajjal.” (HR. Muslim no. 2946). An Nawawi rahimahullah menerangkan, “Yang dimaksud di sini adalah tidak ada fitnah dan masalah yang lebih besar daripada fitnah Dajjal.

#7- Hari Kiamat

“Manusia bertanya kepadamu tentang Hari Kebangkitan. Katakanlah: “Sesungguhnya pengetahuan tentang Hari Kebangkitan itu hanya di sisi Allah.’ Dan tahukah kamu wahai (Muhammad), boleh jadi hari Kebangkitan itu sudah dekat waktunya.”
(Al-Ahzaab: 63)

Hari kiamat adalah hari yang tidak diketahui namun ia suatu janji yang pasti. Hari itu adalah hari kemuncak segala kemungkaran, tersebarnya kebodohan dan penzinaan berlaku secara berluasa. Pada waktu itu sudah pasti cabaran untuk melakukan amal ibadah sangat sukar.

BACA:  13 Petua Hebat Didik Sahsiah Diri Anak Menjadi Soleh Solehah

Segala peringatan ini sebenarnya menggesa dan mengingatkan kita supaya sentiasa melakukan persediaan. Dalam banyak-banyak destinasi yang ingin kita tuju dalam hidup ini, destinasi akhirat adalah destinasi yang paling pasti. Semoga Allah menyampaikan kita ke akhirat nanti dalam keadaan kita mempunyai amal yang mampu membantu dan menyelamatkan diri.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *