Ibadah, Soal Jawab Agama

Maksud Dua Marhalah Dalam Jamak & Qasar

Soalan:

Apakah yang dimaksudkan 2 marhalah di dalam solat Qasar?

Jawapan:

Firman Allah Taala:

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَن تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ
“Dan jika kamu bermusafir di muka bumi ini, maka tidak berdosa ke atas kamu untuk memendekkan solat (solat empat rakaat dijadikan kepada dua rakaat)”. (Surah An-Nisa’:101)

Nas di atas ini menunjukkan dalil dibolehkan solat qasar ( iatu solat empat rakaat dipendekkan kepada 2 rakaat) hal keadaan alkhauf ( ketakutan) seperti berperang bukan keadaan aman. Namun terdapat Hadis Sohihah dan Ijmak membolehkan solat Qasar hal keadaan aman.

Ya’la bin Umaiyah r.a. telah berkata kepada Sayyidina Umar r.a: “Mengapa kita mengerjakan solat secara Qasar sedangkan kita di dalam keadaan yang aman?” Lalu Sayyidina Umar r.a. menjawab: “Aku telah bertanya kepada Rasulullah s.a.w., Baginda s.a.w. bersabda, solat Qasar itu sebagai satu sedekah (pemberian) yang Allah s.w.t sedekahkan dengannya ke atas kamu maka hendaklah kamu menerimanya atau ambillah sedekah itu. (Hadis Riwayat Imam Muslim 686)

Ulama telah bersepakat pada pensyariatan solat Qasar.

(Rujukan Kitab fiqh Mazahib Arbaa’ Juzuk 1 hlmn 362-363)

Solat Qasar ialah solat empat rakaat (zohor, asar dan isyak) dipendekkan kepada dua rakaat dengan syarat-syarat yang tertentu.

Hukum Safar ada lima:

Wajib : Seperti perjalanan untuk menggugurkan yang kewajipan fardhu haji dan umrah, menuntut ilmu yang wajib dan lain-lain.
Sunat : Seperti menziarahi Nabi dan menyambung silaturrahim
Harus : Seperti perjalanan dengan tujuan untuk berniaga.
Makruh : Seperti perjalanan berniaga kain kafan atau menjual alat muzik dan permainan yang tidak diharamkan.
Haram : Seperti bermusafir tanpa keizinan suami

(Rujukan Kitab At-Taqrirat As-Sadidah hlmn 313)

BACA:  Bacaan Dalam Sujud Sahwi

Marhalah bermaksud perhentian rehat bagi satu perjalanan seharian. Dua Marhalah ialah ukuran perjalanan yang dibolehkan seseorang itu melaksanakan solat Qasar dan Jamak.

Maksud ukuran 2 marhalah itu ialah:

“Jauh perjalanan sekira-kira dua hari perjalanan atau dua malam atau sehari dan semalam perjalanan unta yang membawa barang-barang dagangan ( barat-barat dagangan yangberat di atasnya).” (Rujukan Kitab Matlak Al-Badrain hlmn 92)

“Perjalanan selama dua hari (dua siang) atau dua malam atau sehari semalam dengan unta yang membawa barang dagangan yang berat.” (Rujukan Idaman Penuntut 1/90)

“Perjalanan dua hari atau dua malam atau sehari semalam jika menunggang unta.” (Rujukan Zain ATH-Tholib 1/209)

Manakala jika dirujuk pada Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat hlmn 999, marhalah bermaksud ukuran jarak yang lebih kurang 28 batu atau 45.06 km.

Adapun dua marhalah mengikut ukuran zaman sekarang adalah antara 85km – 90km atau bersamaan 56 batu.

Secara amnya, ukuran 1 marhalah = 2 barid = 24 mil hasyimi (8 farsakh). 1 mil = 1000 depa. Satu depa = empat hasta. Satu hasta = 46.656 cm. Ini bermakna satu depa = 186.624cm (46.656 x 4). Maka 1 mil = 6000 ribu hasta bersamaan 186.624cm (1866.24 meter atau 1.866km) atau 24 jari melintang. Oleh itu, satu marhalah = 24 mil = 44789.76 meter atau bersamaan 44.790km. maka dua marhalah = 89580 meter ( lebih kurang 89 atau 90km).

Adapun menurut Almarhum Syeikh Wahbah az-Zuhaili, dua marhalah itu bersamaan 88.704 km. (Rujukan kitab al-Wajiz 1/266).

Syeikh Muhammad ‘Ali as-Shabuni menganggarkan 84 km. (Rujukan Kitab Al-Fiqh Al-Syarie al-Muyassar hlmn 131)

Menurut Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad al-Kaff, dua marhalah itu bersamaan lebih kurang 82 km dan lebih. (Rujukan Kitab Taqrirat As-Sadidah hlmn 315).

BACA:  Bagaimana Untuk Solat Dalam Situasi Yang Mencabar

Kesimpulannya, jarak dua marhalah di dalam ukuran sekarang disebutkan oleh para ulama di dalam kitab merupakan anggaran. Berkenaan dengan ukuran ini lebih kepada Taqribi (anggaran), bukannya Tahdidi (ketepatan), maka seseorang diharuskan solat Qasar jika sudah mencapai dua marhalah (seperti mana yang telah dijelaskan di atas).

Semoga pencerahan ini memberikan kefahaman dan penghayatan bersama.

 

Sumber: www.ohmedia.my

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *