Kesihatan

Makan Lewat Malam Punca Obesiti, Risiko Cepat Mati

MALAYSIA dikenali sebagai syurga makanan. Lantas ramai masyarakat menikmati pelbagai pilihan sajian semahu-mahunya tanpa mengira waktu termasuk lewat tengah malam.

Kesan amalan tidak sihat menyebabkan individu terdedah kepada penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti penyakit jantung, kencing manis (diabetes), kegemukan, kanser, tekanan darah tinggi, strok, gangguan sistem pernafasan dan diabetes Jenis 2.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata budaya makan malam menyumbang pengambilan sajian berlebihan menyebabkan tubuh tidak menggunakan kalori berlebihan dan disimpan sebagai lemak dalam badan.

Katanya, tabiat makan berlebihan antara punca obesiti yang semakin meningkat dalam kalangan rakyat di negara ini.

“Keadaan itu membimbangkan dan sudah menjadi perkara yang biasa dan trend masa kini.

“Kesannya pada kesihatan apabila organ penghadaman dibebankan untuk proses pencernaan. Proses penghadaman tidak sempurna menyebabkan pertambahan lemah sekali gus meningkatkan berat badan,” katanya kepada BH.

Hadkan waktu operasi restoran

Dr Noor Hisham berkata, kerajaan prihatin mengenai data peningkatan individu obesiti dalam kalangan rakyat Malaysia.

“Oleh itu, kita mengadakan polisi mengehadkan waktu operasi kedai makanan atau restoran sehingga jam 12 tengah malam. Cadangan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kabinet Bagi Persekitaran Hidup Yang Sihat (JKPHS) dan secara prinsipnya dipersetujui.

“Namun, pelaksanaan polisi memerlukan lebih banyak sesi libat urus (engagement) bersama pihak berkepentingan seperti pengusaha kedai makan, golongan belia dan masyarakat umum bagi mendapatkan maklum balas mengenainya,” katanya.

Kementerian Kesihatan (KKM), menjelaskan rakyat negara ini mengamalkan “mindful eating” di mana jenis makanan, bahagian (portion), kekerapan, waktu dan cara penyediaan amalan pemakanan yang sihat serta seimbang.

“Bagi memudahkan masyarakat mengamalkan amalan pemakanan sihat dengan praktikal, kementerian sudah memperkenalkan Pinggan Sihat Malaysia dengan konsep “Suku-suku Separuh” sejak 2016,” katanya.

BACA:  Khasiat Daun Dukung Anak Untuk Dapatkan Zuriat

Kerjasama pelbagai pihak

“Kementerian memandang serius penyakit NCD, malah Pelan Strategik Kebangsaan bagi Penyakit Tidak Berjangkit (NSP-NCD) 2016-2025 dirangka untuk mengukuhkan program pencegahan dan pengawalan penyakit NCD (termasuklah diabetes) di Malaysia.

“Berdasarkan situasi diabetes semasa, NSP-NCD memfokuskan tiga skop utama bagi menanganinya atau sekurang-kurangnya mengurangkan jumlah pesakit.

“Antaranya menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dengan mengurangkan faktor risiko NCD seperti merokok dan obesiti, meningkatkan aktiviti saringan untuk mengesan kes diabetes dan mengukuhkan kualiti pengurusan pesakit itu,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pada masa sama tindakan KKM menerusi Komuniti Sihat Pembina Negara (KOSPEN) dilihat dapat menangani masalah NCD melalui perluasan dan pemantapan intervensi penyakit di dalam komuniti.

Katanya, KKM turut meningkatkan kualiti perkhidmatan NCD di kemudahan kesihatan primer melalui pendekatan Konsep Doktor Keluarga (FDC) dan pasukan Penjagaan Kesihatan Primer Dipertingkatkan (EPHC).

Kempen gaya hidup sihat

“Kita juga meluaskan tempat awam sebagai tempat larangan merokok dan memperbanyakkan aktiviti saringan faktor risiko NCD.

“Di sekolah pula dilancarkan kempen memantapkan aktiviti pencegahan obesiti, selain bekerjasama majikan bagi mengukuhkan program pencegahan NCD di tempat kerja di sektor kerajaan dan swasta.

“Kerjasama juga diadakan dengan kementerian lain, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), badan profesional dan masyarakat penting bagi mencapai sasaran tiada peningkatan dalam prevalen diabetes dan penurunan beban penyakit NCD global, menjelang 2025,” katanya.

Kini, tumpuan KKM adalah memberi penekanan kepada perubahan tabiat masyarakat membudayakan cara hidup sihat serta mewujudkan persekitaran hidup cergas dengan slogan ‘Sihat Milikku’ dan ‘Kesihatan Kita, Milik Kita, Tanggungjawab Kita’.

“Jawatankuasa Kabinet Bagi Persekitaran Hidup Yang Sihat (JKPHS) dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail membuktikan komitmen kerajaan terhadap masalah penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes,” katanya.

BACA:  Petua Bagi Wanita Haid Tidak Teratur ,Cyst Dan Sukar Hamil . Ramai Yang Dah Cuba !

Fakta: Kajian Malaysia Adult Nutrition Survey (MANS) 2014

Dianggarkan 31.9 peratus orang dewasa – makan lewat malam

Peratusan tinggi di bandar bandar (33.8 peratus), berbanding luar bandar (27.7 peratus).

Kajian Tholin terbitan The American Journal of Clinical Nutrition 2009

Tabiat makan malam meningkatkan risiko obesiti

Peningkatan mengikut jantina:
– Lelaki (2.5)
– Wanita (2.8 )

Kajian saintis M E Gluck Columbia University College of Physicians & Surgeons, St. Luke’s/Roosevelt Hospital, 2008

Menyebabkan individu berpenyakit berkaitan metabolik

Mengalami peningkatan berat badan 6.2 kilogram (kg) dalam tempoh 3.4 tahun.

Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) pada 2015

Dianggarkan 17.5 peratus atau 3.6 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun dan ke atas menghidap diabetes.

 

Sumber: www.bharian.com.my

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!