≡ Menu

Makan cara sihat ikut sunnah nabi

KITA berpantang dan mengawal tabiat makan apabila diserang penyakit. Lebih teruk jika doktor hanya membenarkan kita makan dalam kuantiti sedikit atau makanan tertentu.

Hakikatnya, amalan mengawal tabiat pemakanan selepas jatuh sakit adalah tindakan salah. Kita patut mengawal pemakanan seawal usia remaja, bukan apabila memasuki fasa 40-an.

Tabiat pemakanan yang boleh diteladani ialah mengikut sunah Rasulullah s.a.w. Jika dikaji, amalan pemakanan baginda amat bertepatan dengan al-Quran bermaksud: “… makan dan minumlah, dan janganlah berlebih-lebihan…” (Surah al-A’raf, ayat 31).

Petua menjaga kesihatan cara Rasulullah turut mengambil kira sistem tubuh manusia. Sebagai mesin, ia memerlukan bahan bakar iaitu makanan untuk membolehkannya melaksanakan kerja, tetapi kuantiti makanan yang masuk ke perut mesti dikawal.

Sebenarnya, menjaga dan mengawal perut daripada makan terlalu banyak adalah kaedah pencegahan penyakit yang berkesan. Sebab itu ramai ilmuwan perubatan dan tabib zaman lampau sering bermadah ‘lapar itu ubat’.

Mengambil makanan dalam kuantiti banyak adalah amalan buruk kerana ia memberatkan organ dan sistem pencernaan sehingga ia lemah dan tidak mampu mencerna secara teratur dan berkesan.

Makanan dalam jumlah yang banyak menyebabkan pelbagai penyakit. Justeru, kaedah rawatan dan pencegahan penyakit yang terbaik sepatutnya bermula dari perut – pastikan kuantiti dan jenis makanan yang masuk ke perut terkawal.

Nabi Muhammad ada menyebut ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. Selain kuantiti makanan, petua kesihatan Nabi turut mengambil kira isi padu makanan.

Baginda lebih mengutamakan makanan lembut, terutama jika baru sembuh atau melalui proses pemulihan. Dalam satu hadis daripada Siti Aisyah r.a, beliau berkata: “Jika Rasulullah diberitahu si fulan sakit dan tidak ada nafsu makan, baginda bersabda: Berikanlah kepadanya ‘talbiinah’! Kata baginda lagi, Demi Allah, ia mencuci perut seseorang seperti kamu membersihkan mukamu daripada kotoran!”

Talbiinah ialah sejenis makanan masyarakat Arab menyerupai bubur atau susu. Ia lembut dan tidak membebankan perut. Bagi kita di sini, mungkin oat dicampur susu sesuai sebagai makanan yang lembut dan tidak membebankan perut serta fungsi pencernaan.

Makanan ini juga kaya serat dan banyak membantu proses penghadaman.

Disiplin pemakanan yang diamalkan Rasulullah biasanya mengelak makanan itu mendatangkan penyakit kepada individu yang sihat, manakala bagi mereka yang mengalami masalah kesihatan, ia mengelak penyakit menjadi semakin serius.

Contoh peristiwa Nabi Muhammad s.a.w mengajar pemilihan makanan ketika sakit ialah sebagaimana hadis riwayat Ibnu Maajah dari Ummul Mundzir Qois al Anshoriyah, katanya:

“Suatu hari Rasulullah berkunjung ke rumah kami bersama Ali k.a yang ketika itu baru sembuh daripada sakit. Kami mempunyai buah daliah (sejenis buah-buahan di tanah suci), lalu Rasulullah mengambil dan memakannya dan Ali juga memakannya.

“Baginda berkata kepada Ali: Engkau baru saja sembuh daripada sakit.

“Lalu Ali berhenti memakannya. Kemudian saya buatkan masakan dari gandum dan saya berikan kepada mereka berdua, maka Rasulullah s.a.w bersabda: Ali, nah, ini lebih sesuai bagimu!”

Larangan Rasulullah kepada Ali yang baharu sembuh daripada sakit agar tidak memakan daliah sebagaimana dalam hadis di atas adalah kaedah pencegahan atau berpantang. Buah-buahan yang sifatnya mudah terurai mungkin memberi mudarat bagi mereka yang baru sembuh.

Ketika baru pulih daripada sakit, perut belum cukup kuat kerana ia sibuk bekerja menghakis sisa penyakit dari dalam perut dan badan.

Sebaliknya, Rasulullah menggalakkan Ali mengambil masakan daripada gandum kerana air daripada gandum itu dapat menguatkan tubuh.

Namun, baginda membenarkan pengambilan makanan yang tidak sesuai, tetapi dalam kuantiti sedikit sekadar menghilangkan keinginan.

Perkara menarik mengenai kaedah makanan seimbang yang diajarkan Rasulullah ialah baginda tidak membataskan pada satu jenis makanan saja. Contohnya, baginda menyeimbangkan makanan bersifat panas dengan sejuk.

Dari segi komposisi makanan, baginda tidak pernah mengambil susu dan ikan atau susu dan telur atau daging dan susu atau antara makanan yang kedua-duanya mempunyai sifat panas atau sifat dingin serentak.

Baginda juga tidak mengambil dua jenis makanan yang mempunyai sifat cepat dicernakan dan lambat dicernakan, serentak.

Rasulullah tidak mengambil makanan yang masih dalam keadaan panas atau makanan yang disimpan semalaman, makanan awet atau diasinkan seperti acar kerana semua itu memudaratkan kesihatan.

Kita juga patut mengelak mengambil makanan segera dan minuman berkarbonat, walaupun sedap, tetapi memudaratkan apatah lagi mengandungi perasa tiruan dan sintetik.

Rasulullah gemar makanan yang mengandungi unsur manis semula jadi dan madu malah baginda suka mengambil buah-buahan sebagai makanan tambahan.

Mengenai madu, Nabi mempunyai disiplin pengambilan madu yang baik untuk dicontohi, iaitu mengambilnya pada waktu pagi sebelum sarapan.

Madu dicampurkan dengan air dingin sebelum diminum. Ini bertujuan mencairkan lendir dan membersihkan sistem pencernaan.

Selain jenis dan kuantiti makanan, satu aspek lain penjagaan kesihatan Rasulullah s.a.w ialah cara baginda duduk ketika makan, iaitu dalam posisi ‘mutawarikan’, iaitu meletakkan pinggul pada kedua-dua tumit dan menempatkan telapak kaki kiri di atas punggung kaki kanan.

Postur badan penting dalam menentukan kebaikan ketika pengambilan makanan. Contohnya, baginda melarang

makan sambil bersandar sebagaimana sabdanya bermaksud: “Saya tidak makan sambil bersandar.”

Baginda juga melarang minum sambil berdiri, kecuali jika dalam keadaan terpaksa. Baginda mempunyai disiplin khusus dari segi minuman.

Berdasarkan petunjuk Nabi s.a.w, makruh minum selepas melakukan olahraga atau sebaik selesai melakukan sesuatu kerja berat atau sebaik habis makan atau sebelum makan. Semua itu tidak baik untuk kesihatan. Sebaliknya, biarkan beberapa detik berlalu apabila selesai aktiviti berat atau makan, kemudian minum.

Rasulullah s.a.w mempunyai petua unik ketika minum. Dalam satu hadis dari Anas bin Malik bermaksud: “Rasulullah minum dengan tiga kali nafas. Baginda berkata: Hal itu lebih melegakan dan lebih menyihatkan.”

Maksud bernafas tiga kali ketika minum ialah dengan menjauhkan bekas atau cawan dari mulut, lalu bernafas atau seolah-olah menghisap air yang sedang diminum. Larangan bernafas di dalam gelas ketika minum ditemui dalam hadis bermaksud:

“Jika seseorang di antara kalian minum maka janganlah bernafas di dalam gelas minuman, tetapi hendaklah direnggangkannya dari bibir.”

Dan, pasti yang paling penting dan mungkin dilupakan kita apabila makan atau minum ialah membaca ‘basmalah’ (membaca Bismillah) dan mengucapkan ‘hamdalah’ (Alhamdulillah) apabila selesai. Ia banyak keberkatan dari segi kesihatan.

Rahsia besar Rasulullah s.a.w yang patut menjadi teladan ialah baginda tidak pernah mencela makanan yang tidak disukainya atau kurang enak. Ini terkandung di dalam hadis bermaksud:

“Anas berkata: Rasulullah tidak pernah mencela makanan. Jika berselera dimakannya, dan jika tidak maka ditinggalkannya.”

Justeru, semua orang tidak wajar menunggu hari tua atau berusia lewat 40-an untuk memulakan amalan pemakanan sihat. Mulakanlah sekarang!

Kepentingan menjaga pemakanan dapat difahami daripada hadis Nabi saw yang diriwayatkan at-Turmudzi dari Abdullah al-Ashory, Rasulullah saw bersabda bermaksud:

“Sesiapa dalam keadaan badan sihat, aman dalam penghidupan dan ia memiliki makanan sehari-hari yang cukup, maka seolah-olah dunia ini miliknya.”

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

{ 27 comments… add one }
  • lailaleiman May 28, 2011, 8:04 am

    Assalamu’alaikum, a very informative article. Jazak Allah khairan

  • Zamri July 17, 2011, 2:28 pm

    Kesihatan yang baik bemula dengan cara pemakanan yang baik.. Info yang menarik untuk dikongsi bersama..

  • Aqilah August 10, 2011, 2:50 am

    pemakanan membentuk peribadi seseorang..

  • intanterpileh September 18, 2011, 5:15 pm

    mohon share….timekaseh

  • Fortico November 4, 2011, 1:23 pm

    Artikel yang bagus,menyehatkan dan sarat manfaat, terima kasih ,,,salam fortico susu kolostrum

  • sabree November 29, 2011, 9:19 pm

    terima kasih. tips untuk menjaga pemakan sihat

  • nizatulsyuhada December 7, 2011, 10:59 am

    tips yang bagus . mohon share . terimakasih

  • Mohd. Hatta December 12, 2011, 12:44 pm

    kehebatan amalan pemakanan rasullah meransang kesihatan. Mohon berkongsi lagi, inshallah.

  • Abu Masnur January 4, 2012, 1:39 pm

    Saya tidak menjumpai sebarang nas/dalil dari al-Quran mahupun Hadis (melalui pencarian Google) tentang Rasulullah saw tidak memakan susu bersama makanan-makanan tertentu seperti yang disebutkan di atas. Artikel ini juga tidak memberikan dalil untuk dakwaan lain yang dikaitkan dengan amalan RasululLah untuk saya buat rujukan. Mohon pencerahan.

    • monocle May 3, 2012, 11:05 pm

      setuju. psl pengambilan susu dgn mknn yg disebut di atas. kalo bagus letak la dalil lrangan nabi pasal hal tu ke.

      • Apa Nama June 4, 2014, 2:49 pm

        Dia tak kata pun Rasulullah larang.

  • ni February 17, 2012, 1:01 pm

    huu.mknlah nsi

  • AYIEESLUMBER February 20, 2012, 9:20 pm

    Nak tambah skit leh ? ni mase time2 santai2 blajar dgn sorang sahabat larrr . . . berkaitan dengan cara minum , Rasulullah S.A.W minum dengan tidak mendoggakkan kepalanya . Hmmm . Berkaitan dengan makanan pula yang dapat saia kongsikan disini , semua makanan yang halal dimakan kita semua makan . Tp Baginda Rasulullah S.A.W menyarankan agar kita mengurangkan makan makanan laut .

  • HAMDAN HAMIDIN March 30, 2012, 5:34 pm

    Cara permakanan org yahudi ada mengikut sunnah permakanan Nabi Muhammad. dengan cara permakanan ini bangsa meraka menjadi bangsa yang bijak.

  • man83 April 12, 2012, 1:28 pm

    penuh pengajaran dan perkongsian ilmu yg amat bermanfaat. moga sy dan keluarga dpt mengamalkannya kalau x semua sekurang2nya satu amalan mulia baginda Rasulullah s.a.w. . Semoga tuan dan keluarga dirahmati Allah swt. aminn.

  • Maimunah bt Mohd Amin May 2, 2012, 10:02 pm

    Banyak ilmu yg kita dpt dari article ni, trutama untuk keluarge yang mengimpikan kebahagian dunia dan akhirat. Tahniah dr berjaya menyebarkan banyak kebaikan…Trime kash.

  • Qutuz May 27, 2012, 3:02 am

    ‘perut adalah tempat bermula pelbagai penyakit’. bukanlah hadis,Contoh hadis rekaan juga adalah kata2 dari org2 pakar yg dinasabkan kpd Nabi Muhammad,sy sdg mencari dalilnya,Minta pihak tuan juga ikut mcari.Takut sy tersalah,,,

  • ishak August 9, 2012, 9:24 am

    Artikel yang menarik tetapi perlu fakta tentang kesahihannya. Perlu ada rujukan yang muktabar. Kalau tidak takut kita cuma menyebarkan cerita cerita rekaan yang telah kita baca.

  • Akma September 22, 2012, 6:04 am

    suka saya membaca artikel ini. boleh dijadikan panduan pemakanan secara sihat dan ikutan seperti sunnah Rasulullah SAW..Insya Allah… 🙂
    Akma recently posted..Tidurlah wahai Anak

  • izati mahadi October 25, 2012, 1:27 pm

    best bila baca artikel ni sbb dia buat saya insaf dan tahu tentang pemakanan yang betul mengikut sunnah nabi

  • Mohammad Firdaus December 31, 2012, 8:33 am

    Hukum asal dalam persoalan makan dan minum adalah harus, melainkan setelah tertegaknya dalil yang menunjukkan sebaliknya.

    Dalam persoalan yang diajukan, dalil yang menunjukkan larangan tidak ada. Cuma al-Imam Ibn al-Qayyim di dlm Zad al-Ma’ad ada menyebut tentang pemakanan Nabi SAW, dimana baginda tidak menggabungkan antara Laban dan Ikan, Laban dgn benda masam lain dan seumpamanya, namun beliau juga tidak menyertakan sebarang dalil.

    Wallahu a’lam perkara seumpama ini dikembalikan kpd pakar pemakanan, jika terdapat kajian yg membuktikan ia boleh membawa mudharat maka ketika itu ia termasuk dlm perkara yang dilarang.

    Jika menggabungkan makanan tersebut mndatangkan mudharat kpd sebahagian kecil orang, tidak pada sebahagian besar yang lain. Maka hukum umumnya ketika itu tetap harus, kerana sesuatu hukum dibina di atas Ghalib (kebiasaan berlaku) bukan Nadir (jarang2 brlaku).

  • CtNur February 26, 2013, 1:22 pm

    SHARING IS CARING

  • shamsuddin hj osnan August 29, 2013, 11:35 am

    article yg menarik rapi Nampak gambar sayur2 dan buah2 tapi tak tunjuk sukatan dan bila patut makan.Y.A.W.U.E You are what you eat.Selawat atas Junjungan Rasululah

  • kamal September 17, 2013, 1:53 pm

    Mohon Share Tuan Utk Dikongsi Bersama
    kamal recently posted..KESILAPAN HATHIB SEBAGAI PENGAJARAN.

  • MyCherita February 21, 2014, 4:14 pm

    alhamduliah, perkongsian yg sgt bagus, 1st time sampai sini..salam ukhwah,salam perkenalan..
    MyCherita recently posted..Sunnah Hari Jumaat

  • Ummu Hanan July 10, 2014, 2:22 pm

    Artikel yang baik untuk dibincangkan.. Mungkin juga artikel ini membantu sedikit sebanyak dalam memahami diet Rasulullah..^_^

    http://nurkids2u.blogspot.com/2014/06/jangan-tertipu-dengan-diet-rasulullah.html
    Ummu Hanan recently posted..Makanan Sunnah VS Amalan Pemakanan Sunnah

  • Maisarah October 21, 2014, 3:26 pm

    Boleh jadi panduan…. terima kasih berkongsi.

Leave a Comment

CommentLuv badge