Tazkirah

Luah Masalah Di Media Sosial – Berdosakah Membuka Aib Sendiri?

Setiap manusia punya masalah dan cabarannya yang tersendiri. Masalah yang dialami ini, jika dipendam sendiri pasti akan menimbulkan tekanan yang melampau kerana ia boleh menjadi suatu beban yang terkumpul dalam diri dan pemikiran seseorang.

Malah, dari segi psikologi dan kesihatan minda manusia juga, seseorang itu perlu meluahkan masalah yang dialami, sekurang-kurangnya untuk menjadikan pemikiran dan mindanya tidak terlalu berat yang boleh mengakibatkan overthinking, iaitu berfikir dengan terlalu banyak.

Kita cenderung untuk memilih orang yang dipercayai seperti kawan baik, ibu atau bapa dan ada juga yang memilih kaunselor sebagai tempat untuk meluah dan meminta pendapat mengenai masalah yang dihadapi.

Namun, seiring dengan perubahan zaman dan kita sedang berada di era 21, semuanya bergantung kepada teknologi. Teknologi adalah salah satu alat yang manusia akan cari dan dijadikan sebagai sebuah tempat pergantungan.

Segalanya diluahkan di media sosial tanpa mengira topik apa, sama ada mengenai perihal diri, keluarga, pelajaran, rumah tangga, kerja dan sebagainya. Kebiasaannya, laman Instagram akan menjadi tempat utama untuk mengadu sama ada ruangan Story atau Caption gambar.

Banyak juga platform yang wujud sebagai sebuah tempat meluah perasaan dan meminta pandangan warga net, yang nama si peluah boleh dijadikan sebagai anonymous, iaitu rahsia seperti IIUM Confession, Kisah Rumah Tangga dan sebagainya.

Kebiasaannya, melalui laman-laman seperti ini, akan wujud pelbagai nasihat dan spekulasi sendiri dan mungkin juga akan wujud komen-komen negatif di ruangan komen tersebut.

Namun, adakah meluahkan masalah ini dikira sebagai membuka aib sendiri dan adakah dikira sebagai berdosa?

Membuka Aib Bergantung Kepada Situasi

Mengapa anda ingin meluahkan masalah? Adakah sekadar sembang kosong dan mengumpat mereka yang berada dalam masalah anda atau untuk mendapatkan pandangan bagi menyelesaikan masalah?

BACA:  Mengapa Kita Mahukan Anak-Anak Kita Menghafal Al-Quran?

Semuanya perlu dititikberatkan dan diambil kira, apa niat anda untuk itu.

“Janganlah engkau sekalian mengumpat orang-orang Islam dan jangan membuka aib mereka, (kerana) sesungguhnya orang yang membuka aib saudaranya yang muslim, maka Allah akan membuka aibnya.”
(Hadis Riwayat At-Tirmidzi, no.1999)

Dari sudut kesihatan, boleh meluahkan masalah untuk melegakan perasaan, namun perlu dilakukan kepada orang yang dipercayai dan diyakini boleh menyimpan rahsia permasalahan anda itu.

Sebagai contoh, jika anda ingin berbicara mengenai rakan sekumpulan anda yang free rider atau tidak melaksanakan tanggungjawab dalam tugasan yang diberikan, ia boleh dibicarakan kepada pensyarah atau mana-mana kaunselor yang diyakini boleh memberi solusi kepada permasalahan tersebut.

Islam melarang umatnya membuang masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah serta berbual kosong yang tidak memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.

Walau bagaimanapun, ia boleh dilakukan jika punya tujuan dan niat yang betul. Malah dalam Islam, terdapat beberapa situasi yang boleh diceritakan aib sendiri atau orang lain, iaitu:

#1 – Membuat aduan apabila dizalimi kepada sultan atau hakim (atau mereka yang sesuai)

#2 – Membantu dalam menentang kemungkaran untuk mengembalikan pelaku maksiat ke jalan yang benar melalui saluran yang betul.

#3 – Menceritakan kepada mufti atau golongan alim untuk tujuan fatwa dan ilmu agama.

#4 – Menyebut sifat yang ada terhadap seseorang seperti orang yang bisu atau buta dan sebagainya dengan tujuan memberi pengenalan kepada orang lain. Tetapi jika boleh dipanggil dengan panggilan yang lebih baik adalah lebih elok.

Islam mewajibkan umatnya untuk menjaga keaiban diri sendiri dan orang lain. Aib sama ada aurat, dosa yang dilakukan oleh diri sendiri atau dosa orang lain.

BACA:  Bacalah 3 Surah Ini Jika Sering Diganggu Jin Atau Syaitan.Kesannya Amat Luar Biasa

Semuanya perlu dijaga dan diselesaikan dengan sebaik mungkin tanpa menyinggung mana-mana pihak dan mengelakkan berlakunya buruk sangka orang lain.

Manusia itu punya hati dan pemikirannya sendiri serta sifatnya yang suka menghukum dan meletakkan spekulasi sendiri tanpa mengetahui keseluruhan cerita.

Disebabkan itu, Islam melarang umatnya untuk menceritkan aib sendiri atau orang lain secara terbuka, bimbang akan terjadi ghibah di media sosial..

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اجْتَنِبُوا كَثِيرًا مِّنَ الظَّنِّ إِنَّ بَعْضَ الظَّنِّ إِثْمٌ ۖ وَلَا تَجَسَّسُوا وَلَا يَغْتَب بَّعْضُكُم بَعْضًا ۚ أَيُحِبُّ أَحَدُكُمْ أَن يَأْكُلَ لَحْمَ أَخِيهِ مَيْتًا فَكَرِهْتُمُوهُ ۚ وَاتَّقُوا اللَّـهَ ۚ إِنَّ اللَّـهَ تَوَّابٌ رَّحِيمٌ

Mafhum: “Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan janganlah sesetengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan-larangan tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat lagi Maha Mengasihani.” (Surah Al-Hujurat, 49:12)

Kesimpulan

Meluahkan masalah, membuka aib dan meminta penyelesaian perlu dilakukan terhadap orang yang betul-betul dipercayai dan diyakini.

Jika anda sakit perut, pasti akan pergi berjumpa doktor sebagai ikhtiar untuk merawat masalah anda dan bukannya kepada polis atau bomba. Silap hari bulan, anda akan diketawakan dan dijadikan bahan bualan kerana salah tempat mengadu.

Begitu juga dengan perkara ini. Allah telah menutup aib kita dengan sebaik-baiknya, menjadi tanggungjawab kita untuk menjaga aib diri sendiri dan manusia sekeliling.

BACA:  Lima Perkara Yang Membatalkan Perkahwinan Secara Automatik

Wallahu a’alam.

 

Sumber: tzkrh.com 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *