Tazkirah

Larangan Wanita Mengenakan Wangian Kuat

Abu Musa Al Asy’ari berkata bahawa Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Apabila seorang wanita memakai wangian, lalu keluar melalui orang-orang agar mereka mencium wanginya, maka wanita itu adalah adalah begini dan begitu (maksudnya ciri wanita pelacur).” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2710, hasan sahih, Musnad Ahmad, no. 18757, Sunan Abu Daud, no. 3642, Sunan An-Nasai, no. 5036)

Al-Imam al-Munawi rahimahullah menyebutkan bahawa yang dimaksudkan dengan hadith di atas adalah perempuan yang memakai minyak wangi yang terzahir dan kuat baunya kemudian keluar dari rumah lalu melewati satu kaum iaitu lelaki-lelaki ajnabi dan memang itu tujuannya, maka perempuan itu adalah penzina dari sudut mendapatkan dosanya. (Faydh al-Qadir, Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 3/147)

Al-Imam al-Munawi juga menyebutkan: “..Dan perempuan jika mengenakan wangian lalu melewati satu majlis (yang padanya terdapat lelaki-lelaki) maka dia mampu menaikkan syahwat lelaki-lelaki dan mendorong untuk memandang kearahnya, maka setiap yang memandang kearahnya, maka matanya telah melakukan zina. Perempuan itu mendapat dosa kerana telah memancing pandangan ke arahnya dan menjadikan hati lelaki tidak tenang. Makanya, dia adalah sebab berlakunya zina mata dan dia termasuk penzina.” (Faydh al-Qadir, Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, 5/27)

BEZA WANGIAN LELAKI DAN WANITA

Imran bin Hushain dia berkata: Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda kepadaku: “Sesungguhnya wangian lelaki yang terbaik adalah baunya semerbak namun warnanya tidak terlihat, sedangkan wangian wanita yang terbaik adalah yang nampak warnanya namun baunya tidak tercium.” (Sunan At-Tirmidzi, no. 2712, hasan gharib, Sunan An-Nasai, no. 5028)

Dalam riwayat lain Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Ketahuilah, minyak wangi bagi laki-laki itu beraroma tetapi tidak berwarna, sedangkan minyak wangi bagi wanita itu berwarna tetapi tidak beraroma.” Sa’id berkata: “Menurutku bahawa ucapan beliau tentang minyak wangi wanita itu difahami dalam keadaan saat dia keluar rumah, ada pun jika wanita itu sedang bersama suaminya, maka dia boleh mengenakan wangian sesuka hatinya.” (Sunan Abu Daud, no. 3527, Musnad Ahmad, no. 19125)

BACA:  12 Adab Silaturrahim di Hari Raya Aidilfitri

TIDAK DITERIMA SOLAT WANITA KE MASJID DENGAN MEMAKAI WANGIAN KUAT

Dari Abu Hurairah bahawasanya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Janganlah kalian menghalangi kaum wanita itu pergi ke masjid-masjid Allah, akan tetapi hendaklah mereka itu pergi tanpa memakai wangi-wangian.” (Sunan Abu Daud, no. 478)

Abu Hurairah berkata lagi: “Saya bertemu seorang wanita dan mencium bau harum darinya. Saya lalu berkata: “Wahai Budak Al-Jabbar, apakah engkau datang dari masjid?” Wanita itu menjawab: “Ya.” Abu Hurairah bertanya lagi: “Kerana ingin ke masjidkah kamu memakai wangian?” Wanita itu menjawab: “Ya.” Abu Hurairah lalu berkata: “Sesungguhnya aku mendengar kekasihku, Abu Al-Qasim shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Tidak akan diterima solat seorang wanita yang memakai wangian kerana ingin pergi ke masjid ini, sehingga dia kembali dan mandi sebagaimana dia mandi dari junub.” (Sunan Abu Daud, no. 3643, Musnad Ahmad, no. 9558)

Dalam riwayat lain Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda: “Siapa pun wanita yang memakai wangian, maka janganlah dia hadir bersama kami dalam solat Isyak, solat fardhu yang akhir.” (Sahih Muslim, no. 675, Sunan Abu Daud, no. 3644)

Kesimpulan: Wanita boleh mengenakan sedikit wangi-wangian yang tidak terzahir (kuat) baunya. Ini juga bagi menjaga penampilan wanita tersebut apabila berada di khalayak dan menutup bau badan. Begitu juga dibolehkan bagi pemakaian bedak, deodorant, sabun dan sebagainya. Elakkan dari menggunakan wangian yang kuat baunya sehingga boleh menarik perhatian dan syahwat lelaki ajnabi yang boleh menyebabkan fitnah dan juga boleh mengheret kepada lembah maksiat yang lain. Ini seperti mana yang terdapat di dalam hadith yang menyamakan perempuan sebegini sebagai penzina. Wallahua’lam.

BACA:  Surah Yang Boleh Diamalkan Semasa Hamil Untuk Menjaga Emosi Ibu

Rujukan: Ensiklopedia Hadith 9 Imam & Mufti Wilayah Persekutuan

 

Sumber: Facebook Oh! Media 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *