Larangan Membaca Doa di Sekolah
Isu Semasa

Larangan Membaca Doa di Sekolah

Larangan Membaca Doa di Sekolah

1. Pihak polis dilaporkan menyiasat tindakan sebuah sekolah di Pulau Pinang yang didakwa melarang bacaan doa sedangkan bacaan doa bentuk Kristian diadakan. Ketua Pengarah Pelajaran turut memberikan amaran kepada sekolah tersebut. Beliau menegaskan bahawa semua pentadbir sekolah perlu mematuhi Akta Pendidikan dan surat-surat siaran kementerian, Akta Pendidikan 1996 dan Peraturan-peraturan Pendidikan (Kurikulum Kebangsaan) 1997.

2. Dalam Islam, doa mempunyai kedudukan yang tinggi di sisi Allah. Allah sendiri yang memberikan saranan agar berdoa kepadanya. Firman Allah:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

“Dan Tuhanmu berkata: Berdoalah kepadaKu, nescaya akan aku perkenankan (doa kamu).” (Ghafir: 60)

3. Bahkan di dalam al-Quran, para Nabi digambarkan sebagai golongan yang sering memanjatkan doa mereka kepada Allah. Malah keseluruhan Nabi Ulul Azmi mempunyai doa mereka yang tersendiri di dalam al-Quran.

4. Rasulullah sendiri melihat doa sebagai sesuatu yang mulia di sisi Allah. Sabda Rasulullah:

لَيْسَ شَيْءٌ أَكْرَمَ عَلَى اللَّهِ تَعَالَى مِنْ الدُّعَاءِ

“Tiada ada yang lebih mulia di sisi Allah seperti doa” (HR al-Tirmizi, dinilai hasan oleh al-Albani)

5. Dalam negara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan, seharusnya setiap kita menghormati hak Muslim yang ingin berdoa di dalam majlis. Rasulullah dilihat meletakkan sempadan yang jelas apabila sesuatu perkara itu melibatkan perkara aqidah, kehormatan dan syiar Islam.

6. Perkara ini dijelaskan oleh Dr. Yusuf al-Qardawi bahawa selain daripada pembayaran jizyah dan pematuhan undang-undang, salah satu tanggungjawab non-Muslim (ahl zimmah) yang perlu dipegang adalah menjaga perasaan (sensitiviti) umat Islam.

Al-Qardawi menjelaskan bahawa dengan itu tidak boleh bagi non-Muslim untuk mencerca Islam, Rasulullah dan al-Quran secara zahir. Bahkan, bagi menjaga sensitiviti Muslim, beliau turut menegaskan makan secara terbuka di dalam bulan Ramadan juga seharusnya dikawal bagi menjaga sensitiviti umat Islam. (Al-Qardawi, Ghayr Al-Muslimin Fi Al-Mujtama’ Al-Islami, (Kaherah: Maktabah Wahbah, 1992), 45-46.)

BACA:  Ratifikasi ICERD Akan Nafikan Kesepakatan Kontrak Sosial – Mufti Perak

7. Ini juga adalah sebahagian dari prinsip rahmatan lil alamin yang mesti diperjelaskan. Jangan pula kita terkeliru dengan konsep rahmatan sehingga terlalu berlembut dan mendiamkan perkara yang seharusnya dipertahankan untuk umat Islam.

Semoga Allah membimbing kita.

Dr. Ahmad Sanusi Azmi

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *