Tazkirah, Tokoh Islam

Kisah Tentang Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar Yang Lapar

Ada suatu kisah menyentuh hati yang saya dapati dari perkongsian Sheikh Omar Sulaiman di video The Daily Reminder. Pada suatu malam Rasulullah SAW keluar dari rumahnya. Kebiasaannya Rasulullah SAW jarang berada di luar rumah pada waktu tersebut. Lalu baginda mendapati ada dua orang yang cukup dikenalinya juga berada di masjid. Mereka adalah Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar, sahabat baik baginda sendiri.

Lalu baginda bertanya, apakah yang membuatkan mereka keluar dari rumah pada waktu malam begini.

“ما أخرجكما من بيوتكما هذه الساعة؟”

Lantas mereka menjawab:

“الجوع يا رسول الله”

“Lapar Ya Rasulullah”

Rasa lapar yang membuatkan kami keluar dari rumah dan berada di masjid.

Lalu Rasulullah SAW berkata kepada mereka:

“وأنا والذي نفسي بيده..لأخرجني الذي أخرجكما”

“Aku juga..aku juga keluar dengan sebab yang sama kalian keluar dari rumah”

Rasa lapar juga yang menyebabkan Rasulullah SAW keluar dari rumah. Bayangkanlah Rasulullah adalah seorang Rasul, yang tidak pernah menutup pintu rumahnya dari orang yang memerlukan baginda, yang sentiasa mencari baginda, namun keadaan baginda yang lapar tidak disedari pun oleh orang lain.

Begitu juga dengan sahabat baginda yang sentiasa berkhidmad kepada masyarakat. Pada malam tersebut ketiga-tiga orang yang dikasihi Allah ini tidak dapat melelapkan mata kerana lapar!

Begitulah kebiasaan orang yang sentiasa berkhidmad untuk orang lain. Mereka menjaga kebajikan orang lain, namun kerap kali kebajikan mereka tidak disedari oleh orang lain. Dalam hal ini, Rasulullah tidak pernah menunjukkan kesusahan baginda. Baginda selalu tersenyum, baginda tidak pernah mengadu atau meminta-minta, sehinggakan tiada orang yang menyedari keperluan baginda.

Lalu Rasulullah SAW, Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar berjalan ke rumah penduduk Ansar yang dikenali dengan kemurahan hati. Mereka dipelawa masuk dan dimuliakan dengan air, kurma dan juga dimasakkan biri-biri bagi mengisi perut mereka pada malam itu.

BACA:  Bagaimana Wanita Boleh Bersedekah?...Baca Ini Dan Ketahuilah Cara Wanita Boleh Bersedekah

Dalam keadaan itu, Rasulullah SAW memandang ke arah kedua-dua sahabat yang sangat baginda sayangi lalu berkata;

“والذي نفسي بيده..لتسألن عن هذا يوم القيامة
أخرجكم من بيوتكم الجوع
ثم لم ترجعوا حتى أصابكم هذا النعيم”

“Aku bersumpah dengan Tuhan yang menguasai diriku,
Kalian akan ditanya tentang hal ini (tentang nikmat pada malam ini) pada hari kiamat kelak,
Apa yang membuatkan kalian keluar dari rumah adalah rasa lapar,
Kemudian kalian tidak pulang ke rumah sehinggalah kalian disentuh dengan nikmat dari Allah ini”

Ada beberapa perkara yang dapat kita pelajari daripada kisah ini:

#1- Sebutlah Alhamdulillah

Sebutlah Alhamdulillah walau dalam apa jua keadaan kita. Contohilah Rasulullah SAW, baginda telah bersyukur kepada Allah jauh sebelum baginda mendapat nikmat dan bantuan daripada Allah. Bagaimana? Baginda sentiasa bersyukur walau dalam apa keadaan sekalipun. Baginda tidak mengadu dan merungut dengan apa yang diberikan Allah.

#2- Sebutlah Nikmat Yang Diberikan Allah

Sebut di sini bukan bermakna menunjuk-nunjuk kepada orang, tetapi mengingati sekian banyak nikmat yang diberikan oleh Allah kepada kita setiap saat dan setiap masa.

Memang kita tidak mampu mengira kesemua nikmat yang Allah berikan namun kita mampu untuk bersyukur atas nikmat yang diberikan. Catatlah setiap hari paling kurang tiga perkara yang dapat anda syukuri. Apabila berlalunya masa, anda akan menyedari sebenarnya hidup anda sentiasa dirahmati Allah dan anda akan menjadi seorang yang lebih bersyukur.

وَأَمَّا بِنِعْمَةِ رَبِّكَ فَحَدِّثْ

Adapun nikmat Tuhanmu, maka hendaklah engkau sebut-sebutkan (dan zahirkan) sebagai bersyukur kepadaNya.
(Surah Ad-Dhuha, 93:11)

#3- Lihatlah Sudut Kebaikan Yang Ada

Sentiasa melihat sudut kebaikan dalam apa jua situasi atau kesusahan yang anda harungi. Sebutlah sesuatu yang baik walau orang di sekeliling anda berkeluh kesah dengan keadaan yang dialami.

BACA:  Subhanallah!! Inilah Sejarah Asal Usul Solat Terawih Daripada 8 ke 20 Rakaat

Latih diri anda untuk memerhatikan sesuatu yang tidak disedari oleh orang lain. Latih diri untuk bersyukur dalam keadaan susah dan senang, dan dalam keadaan lapang atau sempit.

#4- Usah Rasa Berhak Dengan Apa Yang Anda Rasa Patut Dapat

Rasa berhak di sini lebih berbentuk keinginan peribadi seperti penghormatan dan kemuliaan. Lihatlah Rasulullah SAW, walaupun baginda dalam keadaan lapar baginda tidak merasa berhak untuk mendapat kesenangan,sedangkan Rasulullah SAW sendiri telah menjalankan tanggungjawab dan berkhidmat kepada orang ramai.

Rasulullah SAW tidak berfikir bahawa orang perlu melayan baginda dengan sekian sekian layanan. Baginda hanya bersyukur dengan keadaan baginda dan mengharapkan pertolongan hanya dari Allah SWT.

Kita boleh melatih diri untuk bersyukur. Mulalah dengan perkara yang paling dekat diri kita. Nafas yang dihembus, makanan yang dapat disuap ke mulut, mata yang dapat melihat, kudrat yang masih ada dan kita dapat melakukan banyak perkara. Sesungguhnya rasa syukur itu tanda bahawa kita menyedari diri kita adalah hamba dan tiada sekelumit pun yang kita punya. Wallahua’alam.

 

Sumber: Tazkirah.net 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *