General

Khidmat Doula: Apa Kata Mufti?

Pada Februari 2018, tular kes kematian bayi yang dilahirkan di rumah yang dikaitkan dengan khidmat doula. Namun setelah siasatan dijalankan, pihak berkuasa mengesahkan bahawa punca kematian tersebut bukanlah kerana khidmat doula. Namun begitu, isu tentang doula ini tidak terhenti di situ sahaja.

Masih ada pihak yang berpendapat bahawa tidak ada salahnya menggunakan khidmat doula ini sebagai peneman dan juga penyambut kelahiran bayi. Mereka ingin merasai pengalaman melahirkan anak tanpa tekanan, intervensi ubat dan juga kebebasan memilih posisi kelahiran.

Semalam, 22 Februari 2019, TV Al-Hijrah sekali lagi menyediakan pentas perbincangan tentang isu ini dibawah tajuk Doula: Peneman Ibu Atau Pengganti Doktor.

Siapakah Doula?

Menurut penjelasan American Pregnancy Organization, doula merupakan seorang pelatih profesional yang membantu memberikan sokongan dari segi emosi, pendidikan (contohnya, ilmu kehamilan, cara meneran, cara bernafas) dan fizikal (secara sentuhan seperti urutan). Sokongan ini diberikan kepada ibu yang hamil, akan bersalin, atau telah bersalin.

Doula bukanlah bidan tetapi peneman atau pendamping yang akan memberi sokongan tambahan kepada ibu untuk membantu para ibu mempunyai pengalaman bersalin yang selamat dan menenangkan.

Wujudkah Doula Bertauliah Di Malaysia?

Khidmat doula ini memang sudah ada digunakan di negara-negara barat seperti di Kanada, Amerika Syarikat dan juga Australia. Namun di Malaysia, belum wujud kesatuan doula yang berdaftar dan diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Di luar negara, doula menggalakkan kelahiran bayi di hospital dengan dibantu oleh doktor. Mereka tidak mempunyai hak untuk mengambil alih peranan doktor atau bidan terlatih kerana jika berlaku sebarang komplikasi semasa kelahiran secara bersendirian seperti berlaku pendarahan, janin stres di dalam kandungan, uri terlekat, dan juga kelahiran songsang – ia memerlukan tindakan segera oleh pakar dan jika terlambat, boleh mengancam nyawa ibu dan bayi.

BACA:  Kisah Nabi Sulaiman Lupa Mengucapkan Insya Allah

Apa Kata Mufti?

Pihak Mufti Wilayah Persekutuan juga telah mengeluarkan pendapat bahawa penggunaan khidmat doula adalah tidak boleh dilakukan tanpa pemerhatian doktor atau bidan yang terlatih.

Selain itu, alasan tidak mahu melahirkan anak di hospital kerana isu aurat sepatutnya tidak timbul kerana dalam prinsip Maqasid Syariah, nyawa adalah jauh lebih penting maslahatnya berbanding aurat dalam situasi tersebut. Malah, kini telah ada hospital-hospital yang menawarkan cara bersalin dengan menutup aurat serta adanya inovasi seluar bersalin yang lebih mesra aurat.

Dalil Yang Boleh Dirujuk

Pihak Mufti juga telah mengetengahkan hadis-hadis yang boleh dirujuk apabila berlakunya masalah seperti ini:

Daripada Amru’ bin Syu’aib, daripada bapanya, daripada datuknya bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ تَطَبَّبَ، وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ، فَهُوَ ضَامِنٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengubati dan tidak diketahui daripadanya (tidak mahir) ilmu perubatan, maka dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).”
(Riwayat Abu Daud, no. 2633)

Mulla ‘Ali al-Qari menjelaskan kalimah (وَلَا يُعْلَمُ مِنْهُ طِبٌّ) dengan katanya:

مُعَالَجَةٌ صَحِيحَةٌ غَالِبَةٌ عَلَى الْخَطَأِ فَأَخْطَأَ فِي طِبِّهِ وَأَتْلَفَ شَيْئًا مِنَ الْمَرِيضِ

Maksudnya: “(Dia tidak mengetahui) Rawatan yang sahih, yang kebiasaannya boleh membawa kepada kesalahan. Maka dia tersilap dalam rawatannya dan menyebabkan terjadi sesuatu yang buruk (atau kecacatan/kematian) pada pesakit. (Lihat Mirqat al-Mafatih Syarh Misykat al-Masabih, 6/2293)

Al-Muzhiri menjelaskan,

مَنْ شرع في علم الطب ولا يكون مشهورًا فيه، فإذا عالج مريضًا فهو ضامن

Maksudnya: Barangsiapa yang memasuki ilmu perubatan dan dia tidak menjadi masyhur dalamnya (tidak menguasainya), jika dia mengubat pesakit, dia bertanggungjawab (atas apa-apa yang terjadi).” (Lihat al-Mafatih Syarh al-Masabih, 4/217)

Kesimpulannya, tidak dinafikan wujud pihak yang mempunyai kelayakan latar belakang profesional seperti bakal doktor atau mereka yang menerima kursus perbidanan dan kejururawatan yang diiktiraf yang juga mengambil peranan sebagai ‘doula’, berlainan dengan ‘doula ekstremis’ yang dikatakan seolah-olah ingin mengambil alih peranan doktor.

BACA:  Wajibkah Muallaf Tukar Nama Selepas Memeluk Islam?

Ditegaskan sekali lagi bahawa tugas mereka bukanlah pengganti doktor yang menyambut kelahiran bayi secara berseorangan di rumah. Mereka hanyalah peneman yang boleh bersama-sama memberi sokongan bersama doktor dan bidan semasa proses kelahiran.

Sumber rujukan:

Bayan Linnas Siri Ke-125: Hukum Menggunakan Khidmat Doula

 

Sumber: tzkrh.com

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!