Tazkirah

Kesan Kaki Bani Salamah Menuju Masjid Nabawi Diabadikan Al-Quran

“Aku bangga dengan mereka kerana banyak sungguh tapak kaki mereka memijakku demi melakukan manasik Haji dan mengimarahkan Masjidil Haram serta Masjid Nabawi.”

Jika bicara bumi boleh didengari, pasti itulah lafaz kebanggaannya dengan aktiviti para jemaah haji semasa berada di 2 Tanah Suci ini.

Pada suatu hari Rasulullah S.A.W membaca ayat ke 4 surah al-Zalzalah:

يَوْمَئِذٍ تُحَدِّثُ أَخْبَارَهَا

Pada hari itu (bumi pun) menceritakan khabar berita-nya
Surah al-Zalzalah 99:4

Rasulullah kemudiannya bersabda yang bermaksud:

“Tahukah kamu apa khabar berita bumi itu?” Para sahabat menjawab: ” Hanya Allah dan RasulNya mengetahui.” Baginda menyambung: “Khabar berita-nya adalah ia bersaksi atas semua hamba terhadap apa yang mereka lakukan atasnya. Lalu bumi berkata: Dia melakukan perkara itu dan ini pada hari sekian dan sekian. Itulah perkhabarannya”
Sunan al-Tirmidhi & Musnad Ahmad

Apabila bercerita mengenai “langkah kaki” ke Masjid, saya teringat kisah Bani Salamah mengadu kepada Rasulullah S.A.W jauhnya jarak kampung mereka dari Masjid Nabawi.

Mereka berhasrat untuk berpindah berhampiran masjid Nabawi agar cepat mereka sampai sejurus azan dikumandang. Pindah berdekatan juga mengurangkan penat dan memendekkan langkah mereka.

Sejurus selepas dinyatakan hasrat itu, baginda S.A.W berpesan bahawa;

Setiap langkah ditulis sebagai pahala. Semakin panjang langkah mereka ke Masjid, semakin panjanglah senarai pahala mereka
Sunan al-Tirmidhi, Musnad Ahmad, Mustadrak al-Hakim

Allah lalu menurunkan ayat ini:

إِنَّا نَحْنُ نُحْيِي الْمَوْتَى وَنَكْتُبُ مَا قَدَّمُوا وَآَثَارَهُمْ وَكُلَّ شَيْءٍ أحْصَيْنَاهُ فِي إِمَامٍ مُبِينٍ

Sesungguhnya Kami menghidupkan orang-orang yang mati, “dan kami tuliskan segala yang mereka telah kerjakan serta segala kesan tapak kaki (perkataan dan perbuatan) yang mereka tinggalkan. Dan (ingatlah) tiap-tiap sesuatu kami catitkan satu persatu dalam Kitab (ibu Suratan) yang jelas nyata.
Surah Yasin 36:12

BACA:  15 Kebaikan Membaca dan Mengamalkan Al-Quran

Selain kesan “tapak kaki dan langkah” yang melangkah ke tempat baik atau buruk, kesan peninggalan dalam ayat ini turut ditafsirkan sebagai “Legasi Peninggalan” seseorang manusia selepas mati. Ia dikukuhkan sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

Sesiapa yang merintis dalam Islam satu amalan yang baik, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya pahala seperti pahala orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun pahala mereka itu. Dan sesiapa yang merintis dalam islam satu amalan yang buruk, lalu diamalkan amalan tersebut (secara meluas) selepasnya, maka ditulis baginya dosa seperti dosa orang yang mengamalkannya selepasnya tanpa dikurangi sedikitpun dosa mereka itu.
Sahih Muslim

Inilah satu contoh lain bagaimana al-Quran dalam bicara Tafsirnya mampu memberi motivasi untuk kita berjasa semasa hidup dan selepas mati.

Kefahaman sebegini akan dibuka Allah jika kita membaca al-Quran dengan mata hati yang terbuka luas dan bukannya sekadar ritual kosong.

Banyak sungguh kaki kita menapak ke arah kebaikan sepanjang musim haji bermula dari langkah tawaf, saie, wuquf Arafah, melontar Jamrah, berjemaah ke Masjidil Haram serta Masjid Nabawi dan sebagainya.

Selepas pulang haji, kekalkan semangat ini agar bumi berterusan tersenyum menanggung jasad kita. Jasad hamba Allah yang berterusan mengimarahkan majlis ilmu, memenuhi surau masjid dengan solat berjemaah dan memanjangkan langkah melakukan amal soleh. Insya Allah!

 

Sumber: Tazkirah.net 

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

error: Content is protected !!