Isu Semasa

Kempen Beli Produk Muslim Dilancarkan

KUALA LUMPUR – Orang Islam sepatutnya menjadikan pembelian produk keluaran muslim sebagai salah satu jihad walaupun mungkin lokasinya agak jauh atau harga sedikit mahal berbanding barangan biasa.

Menurut Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, orang Islam sepatutnya tidak terlalu berkira untuk mendapatkan produk keluaran muslim.

Dalam pada itu, bagi memudahkan pengguna dan peniaga, PPIM katanya bakal memperkenalkan satu aplikasi mudah alih yang memaparkan maklumat mengenai produk keluaran muslim.

Ini sejajar dengan Kempen Beli Produk Muslim yang dianjurkan oleh PPIM bersama Gerakan Pembela Ummah ke seluruh negara.

Kempen tersebut, menurut Nadzim, adalah satu platform menggabungkan usahawan, peniaga dan pengguna untuk manfaat semua pihak.

Aplikasi berkenaan dijangka dilancarkan selewat-lewatnya pada bulan Syawal depan.

“Ini bukan satu kempen yang rasis tetapi kalau bukan orang Islam yang menyokong produk keluaran muslim, siapa lagi?

“Tambahan pula, sebagai seorang Islam, mencari makanan yang halalan taiyyiban adalah satu kewajipan,” katanya semasa sidang media selepas pelancaran Kempen Beli Produk Muslim di sini hari ini.

Majlis disempurnakan Timbalan Mufti Wilayah Persekutuan, Hashim Salleh.

Menurut Nadzim, aplikasi mudah alih itu bakal menyenaraikan produk-produk dan keluaran usahawan muslim dan lokasi untuk mendapatkannya.

“Produk keluaran muslim bukan terhad kepada makanan dan minuman sahaja tetapi merangkumi semua jenis barangan.

“Hari ini contohnya, kita ada cat dan semburan anti-kuman yang mana kita tahu bukan untuk dimakan tetapi asalkan ianya dikeluarkan oleh orang Islam, kami mengiktirafnya sebagai produk keluaran muslim,” katanya.

Dengan itu, Nadzim menyeru semua usahawan dan pengeluar produk muslim untuk menyertai kempen berkenaan bagi menggerakkan ekonomi umat Islam dan dalam masa yang sama memberikan lebih banyak pilihan halalan taiyibban kepada pengguna. – MalaysiaGazette

BACA:  Senarai Cawangan AzZainMart Pasaraya Muslim

 

Sumber: https://malaysiagazette.com

Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *