≡ Menu

Kematian Boleh Menjengah Secara Tiba-Tiba, Bersediakah Kita?

Baru-baru ini kawan saya menceritakan pengalaman pahit manisnya ketika bercuti di sebuah pulau yang cukup cantik di Terengganu, iaitu Pulau Perhentian. Katanya, dengan bercuti dan mengembara di muka bumi ini, kita akan dapat mencari banyak keindahan dan hikmah yang tersembunyi yang diciptakan Allah. Dekatnya kita dengan tuhan apabila setiap ciptaan Allah akan dapat mengingatkan kita kepadanya.

Namun, saya tertarik untuk menceritakan sebuah kisahnya, iaitu ibarat pengalaman mati hidup semula. Apabila dia menceritakan ceritanya itu dengan penuh perasaan dan semangat, saya dapat rasakan apa itu kematian.

Kisahnya berlaku pada waktu malam, ketika dia ingin pulang ke chalet yang didiaminya di Kampung Nelayan. Dalam perjalanannya dari Long Beach, ombak sangat kuat dan laut bergelora dengan kencangnya. Ia mengakibatkan bot kecil yang dinaikinya hampir terbalik dan pada waktu itulah dia merasakan hanya Allah yang dapat membantunya.

Penumpang-penumpang di atas bot kecil itu hanya mampu meminta pertolongan daripada Allah sahaja. Apabila berada di tengah laut, tiada harapan dan daya lain yang boleh diharapkan melainkan kepada kuasa dan keajaibanNya.

Pada waktu itulah, dia mula mengenangkan dosa dan segala perbuatan yang pernah dilakukan. Adakah cukup amalnya untuk dibawa berjumpa tuhan jika benar ajalnya pada malam tersebut? Adakah dia sudah melunaskan hutangnya kepada orang-orang yang pernah memberinya hutang?

Kambing Aqiqah Murah Indonesia

“Bagaimana jika aku meninggal dalam keadaan yang dimurkai Allah? Bagaimana jika solatku ada yang masih lompong-lompong dan tidak sempurna di mata Allah?”

BACA:  5 Proses Menggenggam Taqwa Setelah Melalui Sebulan Universiti Ramadan

Bagaimana, bagaimana dan bagaimana. Hanya itu persoalan yang menerawang di mindanya. Saya sebagai pendengar kepada ceritanya dapat merasakan ketakutan dan tangisan di hatinya.

Jauh di sudut hatinya, dia mengharapkan agar Allah memberi keampunan kepadaNya. Dia dan kawannya berdoa, beristighfar dan mengucap dengan banyaknya hanya untuk menagih simpati dan menumpang harap kepada Allah.

Apabila mendengar ceritanya, saya juga terfikir, kalaulah saya yang berada di tempatnya, tiada apa yang akan diharapkan kecuali pertolongan dari Tuhan. Mungkin belum bersedia untuk menghadapi kematian, Namun, hakikatnya di sini, kematian akan tiba pada bila-bila masa dan dalam keadaan yang tidak dijangka.

وَمَا كَانَ لِنَفْسٍ أَن تَمُوتَ إِلَّا بِإِذْنِ اللَّـهِ كِتَابًا مُّؤَجَّلً

“Dan (tiap-tiap) makhluk yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah, iaitu ketetapan (ajal) yang tertentu masanya (yang telah ditetapkan oleh Allah).”
(Surah ali-Imran, 3:145)

Kita sering mendengar kematian yang datang menjengah dengan tiba-tiba, kadang-kadang tanpa diketahui penyakitnya. Ada yang meninggal di dalam solat, ada yang tidur buat selamanya dan ada yang mati ketika sedang bersukan. Pelbagai cara yang kadang-kadang tidak terfikir akal, kematian boleh datang.

Ada yang semalam baru sahaja sembuh dari penyakit, namun hari ini dikhabarkan sudah tiada buat selamanya. Ada yang selama ini sihat dan segar sahaja tanpa sebarang penyakit, namun tiba-tiba sudah ditarik nyawanya.

Malah, sebenarnya kebanyakan kematian boleh berlaku yang diakibatkan oleh perbuatan yang kita suka. Pernah, saya mendengar berita seorang lelaki yang suka melakukan aktiviti lasak dan ekstrem akhirnya meninggal dunia akibat jatuh ketika ingin melintasi antara dua bangunan. Pernah juga kita dikejutkan berita pendaki tegar yang akhirnya meninggal dunia ketika mendaki gunung serta banyak lagi kisah kematian yang berlaku.

BACA:  Keadaan Seseorang Ketika Dalam Kubur

Disebabkan itulah, kita pernah disuap dengan perkataan, kita akan mati dalam perkara yang kita cinta. Hal ini tidaklah bermaksud Allah menegah atau menakutkan kita daripada melakukan perbuatan tersebut, namun ia merupakan sebuah peringatan kepada kita supaya berhati-hati dalam sesuatu perkara dan tidak lalai.

Setiap perkara yang dilakukan perlulah berpada-pada dan tidak dilakukan secara melebih-lebih. Biarlah apa yang dilakukan itu dapat mendekatkan diri kepada Allah dan bukannya semakin menjauh. Mudah sahaja untuk sentiasa meletakkan Allah di hati.

Sebagai contoh, mulakan sesuatu dengan membaca Bismillah. Sebelum naik kenderaan, bacalah bismillah atau jika menghafal doa sebelum menaiki kenderaan, maka bacalah ia. Semasa dalam perjalanan, janganlah terlalu leka dan sentiasa bersabar jika menghadapi ujian seperti jalan yang sesak dan sebagainya. Apabila telah tiba di destinasi dengan selamat, maka ucaplah syukur padaNya.

Mudah sahaja untuk ingat kepadaNya. Letakkan Allah dalam setiap perbuatan, nescaya Allah akan melindungi kita, dengan izinNya. Itulah sunnah

وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ نَسُوا اللَّـهَ فَأَنسَاهُمْ أَنفُسَهُمْ ۚ أُولَـٰئِكَ هُمُ الْفَاسِقُونَ

Maksud: “Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka.” (Surah Al-Hashr, 59:19)

Kesimpulan

Kematian boleh datang pada bila-bila masa sahaja, sama ada kita bersedia atau tidak, sudah cukup amalan atau belum. Bersedia atau tidak, ia tidak menjadi isu, namun bagaimana pengakhiran kita, itulah yang menjadi tanda tanya. Ia merupakan pengakhiran kepada amalan hidup kita. Oleh itu, berdoalah agar dikurniakan husnul khatimah supaya kehidupan kita di alam sana akan tenang dan aman damai.

BACA:  Subhanallah!! Inilah 4 golongan yang selalu dirindukan syurga Allah.

قُل لَّن يَنفَعَكُمُ الْفِرَارُ إِن فَرَرْتُم مِّنَ الْمَوْتِ أَوِ الْقَتْلِ وَإِذًا لَّا تُمَتَّعُونَ إِلَّا قَلِيلً

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Kalaulah kamu melarikan diri dari kematian atau dari pembunuhan maka perbuatan melarikan diri itu tidak sekali-kali mendatangkan faedah kepada kamu; dan kalaulah kamu pada hari ini terlepas sekalipun, maka kamu tidak juga akan menikmati kesenangan hidup melainkan sedikit masa sahaja.”
(Surah Al-Ahzab, 33:16)

 

Sumber: tzkrh.com

Kambing Aqiqah Murah Indonesia
Loading...
Berminat menulis berkaitan Islam? Hantarkan artikel anda di sini: www.islamituindah.my/hantar-artikel